Tuesday, November 10, 2009
Kebangkitan: Hadis Pertama
Jangan Suka Menyalahkan Orang Lain
“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Jika ada seseorang berkata, “orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka”. H.R Muslim
Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Riyadhus Shalihin: “Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahwa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram”.
“Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya”.
Hadis ini diletakkan di awal buku supaya menjadi suatu peringatan kepada kita kerana di dalam hadis-hadis akhir zaman terkandung pelbagai realiti umat yang hilang nilai diri. Maka, apabila kita menyorot dan menghurai hadis-hadis tersebut hendaklah berlindung diri kepada Allah dari bangga dan ujub kerana baiknya kita tetapi harus merenung dan menilai diri sendiri di manakah letaknya kita.
Moden ini, kita cenderung untuk melihat betapa salahnya orang. Betapa teruknya orang tanpa sedar hakikatnya mereka itu adalah cerminan diri kita. New World Order membentuk pemikiran kita supaya lebih banyak berdebat, mengkritik dari mencari penyelesaiannya melalui filem-filem, media-media dan pelbagai lagi medium yang tanpa sedar meracuni pemikiran kita dari membentuk suatu keadaan mencari kesejahteraan. Menjauhkan kita dari berjalan melata melebarkan ”SALAM”. Manusia diasah nilai haiwannya menjadi rakus. Tuding menuding. Saman menyaman.
Apakah keadaan semakin baik? Apakah masyarakat kita menjadi masyarakat yang prihatin? Masyarakat yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat. Ambil tahu tentang kemelaratan, kesengsaraan dan serangan umat itu sendiri. Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak ada lagi orang yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat? Inilah apa yang menjadi perancangan utama salibiah, zionisme. Menghilangkan perasaan kepedulian terhadap kesedaran bertuhan. Menghapuskan rasa peduli, kasih mengasihi di antara sesama manusia.
Berkenaan huraian Imam Nawawi yang kedua, orang seperti yang dihuraikan adalah sesuatu yang baik. Orang itu adalah orang yang punya kesedaran. Orang yang melihat dan berfikir tentang umat. Menganalisis, mencari punca, mencari jalan penyelesaian dan menyebarkan kesedaran.
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyebut dalam ucapan beliau dalam muktamar ABIM, orang semakin hilang kesedaran tentang dosa, tentang akhirat. Dalam suasana seperti inilah perlunya kita tampil dengan semangat baru membina masyarakat yang beragama. Masyarakat yang beragama kalau hendak diungkapkan barangkali ada bermacam-macam versi. Yang dimaksudkan dengan masyarakat yang beragama seperti yang terdapat dalam ayat 112 surah At-Taubah.
”Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman”. (rujuk ayat 111 untuk mengetahui siapakah ”mereka” yang disebut dalam ayat 112)
Masyarakat yang sentiasa bertaubat, mengoreksi diri, bermuhasabah. Masyarakat yang sentiasa mengabdi kepada Ilahi, masyarakat yang God Conscious. Masyarakat yang sedar peranannya terhadap perkara ma’ruf dan mungkar. Masyarakat yang segala tindak tanduknya segala langkahnya dipenuhi dengan kesedaran tentang hukum-hakam, nilai-nilai dan prinsip-prinsip ketuhanan.
Inilah yang menjadi kekuatan umat yang terdahulu. Umat zaman kegemilangan, zaman kemurnian Islam. Yang mengawal mereka bukanlah undang-undang, bukanlah pihak berkuasa tetapi ialah kepekaan, kepedulian masyarakat yang apabila melihat gejala-gejala penyelewengan, penyimpangan mereka spontan akan bertindak. Masyarakat yang tidak tidur, tidak terpedaya dengan proganda dan permainan ilusi musuh-musuh Islam. Mereka menjadi ”The Enlightened Soul” (TES). Dato’ Dr. Siddiq Fadzil juga menghuraikan tentang TES. Seperti berikut:
Menurut Ali Shariati mereka ini bukan sekadar intelektual atau ilmuwan kerana banyak ilmuwan, banyak intelektual hilang kesedaran diri dan kesedaran kemasyarakatan. Yang disebut sebagai TES, jiwa yang mengalami pencerahan adalah yang punya kesedaran tentang hakikat dirinya dan punya sensitiviti dan kepekaan terhadap masyarakat. Jiwanya terpanggil untuk membela dan membina masyarakat. Ayat 20 dari surah Yasin menceritakan tentang manusia yang punya kepekaan yang mendalam. Yang sensitif. Yang sentiasa terpanggil untuk membina dan membela ummat.
”Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ”Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”
Dari ayat tersebut menyatakan datang dari hujung kota, bermakna dari jauh dia datang dengan susah payah (dengan bergegas). Kalimah yas’a memberi makna berusaha dengan susah payah dari jauh. Dia datang dengan keadaan tersebut untuk mendatangi kaumnya yang menolak seruan rasul dan menyeru supaya kaumnya mengikut ajaran utusan-utusan (rujuk ayat 13, perkataan mursalin). Siapa orang ini? Inilah TES yang al-Quran sebut sebagai ”rojulun” yang menunjukkan orang ini bukan orang besar, bukan orang kenamaan, bukan somebody.
Kita harus menjadi orang yang seperti ini. Bermakna tidak perlu menjadi orang besar untuk punya jiwa TES. Orang yang punya jiwa seperti ini punya matlamat, punya misi untuk memberikan pencerahan kepada orang lain. Dengan kata tindakan kita harus mencerahkan massa, masyarakat.. Tanwir ul ummah. Memberikan pencerahan, kesedaran kepada umat. Membangkitkan umat memanfaatkan cahaya.
Sekiranya kita tidak membina masyarakat yang sedar, masyarakat yang God Conscious, maka tidak akan ada lagi orang yang peka dan sensitif terhadap apa yang berlaku kepada umat. Terbiarlah umat berada dalam keadaan lalai dan ingkar terhadap Tuhan.
Sunday, November 8, 2009
Kebangkitan
Siapakah yang mengawal minda kita? Siapakah yang mengawal urusan harian kita? Siapakah yang mengawal urusan kewangan kita? Pemakanan kita? Siapakah yang mengawal kitar hidup kita? Menentukan apa yang boleh kita buat dan apa yang tidak boleh kita buat. Siapa yang meletakkan piawaiannya? Apakah pandangan alam kita? Hanifkah (luruskah) atau belok-belok? Manusia yang menjadi robot, robot yang dimanusiakan.
Saat tidak berjaya memenangi umat Islam dalam siri perang Salib dek kerana perjuangan tentera Islam itu yang dahagakan kematian syahid, musuh Islam bertekad menghancurkan hati murni umat Islam. Serangan 5 S.
Sekularisma, materialisme, hedonisme, liberalisme, dan pelbagai isme yang menyerang. Semuanya atas satu dasar membawa manusia jauh dari matlamat asal kewujudan. Melalaikan kita dari mengingati Tuhan yang Ahad. Melekakan kita dengan dunia, menjauhkan kita dari berfikir kehidupan yang kekal. Modenisasi. Globalisasi. Millenium. Teknologi.
Pelbagai permasalahan timbul. Setiap orang tidak terlepas. Pasti menjadi sasaran. Umat seakan hilang kebebasan menuju Tuhan. Diri terbelenggu mempersekutukan Tuhan yang Esa dengan segala macam dunia. Tenggelam dalam ilusi yang diciptakan. The system. Mind Control. New World Order.
Berdasarkan buku Empat Puluh Hadis tentang Peristiwa Akhir Zaman. Terbitan Pustaka Al-Wasit. Siri ini akan membawa kita bermuhasabah dan melihat apakah yang sebenarnya telah berlaku disekeliling dalam kehidupan kita….
“Ya Allah, kami berlindung pada Allah dari menyekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun daripada sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun daripada (menyekutukanMu) dengan sesuatu yang tidak kami ketahui”
Thursday, November 5, 2009
Hungry Man
"We do not like to see you so sad. Ask us for whatever you wish and you shall have it"
The man said, "I want to have good sight"
The vulture replied, "You shall have mine"
The man said, "I want to be strong"
The jaguar said, "You shall be strong like me"
Then the man said, "I long to know the secrets of the earth"
The serpent (snake) replied, "I will show them to you"
And so it went with all the animals. and when the man had all the gifts that they could give, he left.
Then the owl said to the other animals, "Now the man knows much and is able to do many things"
The deer said, "The man has all that he needs. Now his sadness will stop"
But the owl replied, "No, I saw a hole in the man. Deep like a hunger he will never fill. It is what makes him sad and what makes him want. He will go on taking and taking until one day the world will say:” I am no more and have nothing left to give"."
Do you know what this story is about? Get it?
Rujukan petikan dialog – The Arrival, episode 23
Tuesday, November 3, 2009
Tuhan, Aku Tidak Tahu
Beberapa hari ini hangat dengan isu berkisar perihal Dr. Asri, JAIS, YADIM, Persatuam Peguam Syarie, 13 NGO, memorandum, perlantikan sebagai pengarah YADIM dan macam-macam lagi. Tidak mahu banyak komen.
Sebahagian mungkin sudah masak dengan hal-hal berkaitan, manakala sebahagian lagi masih terpinga-pinga. Ada yang responsif ada yang buat tidak tahu. Ada yang tajam, ada yang sinis dan ada yang O.K la. Ada yang sokong ada yang lawan. Menarik untuk dijengah dan dibaca adalah artikel Ust Hasrizal bertajuk Justifikasi Seorang Teman (rujuk laman web beliau)
Aku? Aku tidak tahu.
Saat fajar menjelma, diri ini berbisik kepada Tuhan, dalam dingin embun dinihari,
"Wahai Tuhanku, sungguh aku tidak akan pernah tahu apa yang Kau aturkan buat kami. Aku berada dalam keadaan sungguh tidak tahu. Ya Allah, ummat ini. Ya Allah, ad-deen ini, Islam. Wahai Tuhanku, saat aku berada dalam ketidaktahuan ini, pimpinlah daku menuju jalan redhaMu. Palingkan aku diatas ketaatan kepadaMu. Tetapkan hatiku hanya padaMu"
"Tuhanku, dalam kami menghadapi cabaran dan hari-hari mendatang, berikan kami petunjuk, pandulah kami dalam membuat keputusan yang terbaik. Keputusan yang membawa kebaikan kepada ummah, kepada alam ini sama ada yang kami ketahui atau tidak"
"Wahai Tuhan, aku tidak tahu kerana itu aku berserah padaMu..."
Seminar Pendidikan Tinggi Islam: Membina Generasi Ulu'l Albab
PKPIM-ABIM-WADAH komited terhadap aspek pendidikan Islami yang menjadi tunjang utama dalam perjuangan kami. Justru itu, seminar ini adalah suatu manifestasi kepada perjuangan itu. Kehadiran peserta amat memberangsangkan dimana dewan auditorium dipenuhi dengan pecinta-pecinta ilmu pelbagai lapisan umur sehingga kerusi tambahan terpaksa disediakan.
Antara pembentang-pembentang kertas kerja yang menjayakan seminar itu adalah Prof. Emiritus Dr. Osman Bakar, Al-Fadhil Ustaz Uthman El-Muhammady, Dr. Ahmad Satori Ismail, Prof. Nik Aziz Nik Pa, Dr. Yap Sin Tian dan Prof Dr. Sidek Baba. Secara umum, kertas kerja yang dibentangkan berkisarkan tentang siapakah Ulu al-Albab, pendidikan al-Hikmah dan cabaran pendidikan yang liberatif.
Seminar yang berlangsung pada jam 9 pagi dimulai dengan ucaptama yang menampilkan ilmuwan yang banyak berjasa, Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Intipati ucapan beliau berkisarkan ‘Ulu al-Albab: Model Keintelektualan Islam yang Murni dan Masa Depannya yang Dinantikan’. Beliau menekankan konsep ‘intelek murni’ bagi tujuan memudahkan masyarakat awam dan bukan Islam mendekati wacana ilmiah Islam dalam menerangkan dan memahami konsep Ulu al-Albab.
Apakah yang dimaksudkan dengan intelek murni Ulu al-Albab (UA)? Dalam kertas kerja yang disediakan, beliau menyebut “intelek murni UA ternyata ialah intelek yang amat bimbang, bukan terhadap pertimbangan atau sanjungan manusia, tetapi terhadap pertimbangan negatif Ilahi yang membawa kepada kehinaan yang paling memalukan di hadapan Allah (S.W.T).......UA bukanlah ilmuwan atau cendikiawan yang dihimpit oleh penyakit ‘ujub atau inginkan sanjungan dan pujian manusia kerana merasakan kehebatan yang terdapat pada dirinya.”
Dalam perenggan lain, Prof .Muhammad Kamal menyebut, “ intelek-intelek murni inilah yang telah menggabungkan ilmu agama dengan ilmu dunya dan ilmu alam tabi’i sebagai asas pembangunan peradaban Islam yang bersepadu di zaman kegemilangannya.”
Umum telahpun mengetahui peri pentingnya pendidikan dalam melahirkan masyarakat manusia yang beramal soleh dan beradab. Namun, persoalan utama ialah penghayatan terhadap falsafah kependidikan ini yang masih lagi gersang dikalangan masyarakat. Faktor luaran seperi indusri pendidikan telah melahirkan golongan masyarakat yang berlumba-lumba menimba illmu untuk kepentingan peribadi, pendidikan humanis-sekular yang menolak kewujudan Tuhan telah melahirkan manusia-manusia ingkar dan angkuh dan pebagai faktor lain yang merugikan.
Sehubungan dengan itu, pendidikan Islami hadir sebagai alternatif kepada kepincangan-kepincangan pendidikan acuan Barat. Falsafah pendidikan Islam bertitik tolak daripada Falsafah tauhid, dimana pada akhirnya ia melahirkan manusia dan ilmuan yang disebut didalam al-Quran sebagai ULU AL-ALBAB. Jadinya, pemerkasaan pendidikan Islami harus dijayakan dari semasa ke semasa oleh semua pihak. InsyaAllah.
Bismillahirrahmanirrahim,
“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak didengar, dan amal yang tidak diterima.
Ya Allah, keluarkanlah kami dari kegelapan prasangka, muliakanlah kami dengan cahaya kefahaman, bukakanlah pengertian ilmu kepada kami dan bukalah untuk kami pintu-pintu anugerah-Mu, wahai Zat yang Paling Penyayang.
Ya Allah, terangilah pandangan kami dengan Al-Qur’an. Dan dengannya lapangkanlah hati kami dan dapatlah kiranya beramal dengannya. Lancarkanlah lidah kami dalam mengucapkannya, dan teguhkanlah hati kami dengannya dan percepatkanlah kefahaman kami dengannya serta teguhkanlah tujuan kami dengannya dengan sebab daya dan kekuatan-Mu, kerana tiada upaya untuk menjauhkan maksiat, melainkan dengan pertolongan-Mu, Ya Tuhan Maha Pengasih sekalian yang berkasih sayang.
Ya Allah, kami menitipkan kepada-Mu ilmu yang telah Engkau ajarkan kepada kami, maka perkenankanlah kiranya Engkau mengembalikannya lagi kepada kami ketika kami memerlukannya. Dan janganlah hendaknya Engkau melupakannya, wahai Tuhan semesta alam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”
rujukan: momentumuiam.blogspot.com
Tuesday, October 6, 2009
Isu Sebat Kartika: JAG dan SIS jangan masuk campur
Isu sebat Kartika ini bermula apabila model yang berusia 30-an itu telah ditangkap oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) atas kesalahan meminum arak (tiger beer) secara terbuka di Hotel Legend, Cherating, Kuantan pada 11 Julai 2008 yang lalu.
Kartika telah didakwa di Mahkamah Syariah dan dijatuhi hukuman denda RM 5000 (atas permintaan si pesalah sebagai ganti kepada hukuman penjara atas beberapa alasan yang diterima) dan sebatan sebanyak enam kali.
Hukuman sebat yang dijatuhkan adalah hukuman maksimum yang telah termaktub di dalam undang-undang Syariah Islam dibawah Seksyen 136 dan Enakmen Adat Melayu 1982 (dengan pindaan) 1987:
“ sesiapa yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat enam kali.”
Memang jelas, Mahkamah Syariah telah menjalankan tugasnya dengan baik. Namun, sebaliknya berlaku, apabila pihak yang tidak berotoriti telah masuk campur seperti JAG dan SIS. Kedua-dua pihak tanpa segan silu mempertikaikan hukuman yang telah dijatuhkan seterusnya telah mencabar kredibiliti Mahkamah Syariah itu sendiri yang seharusnya tidak berlaku.
Perlu diperjelaskan disini bahawa hukuman sebat ini tidak melanggar hak asasi manusia apatah lagi diskriminasi terhadap wanita yang diuar-uarkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain telah termaktub di dalam undang-undang Syarak, hukuman ni diperkukuhkan lagi dengan persetujuan dan penerimaan Kartika terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatasnya. Beliau dengan rela hati bersedia untuk disebat dan mahu hukuman itu dipercepatkan setelah ditangguhkan buat kali pertama bagi menghormati bulan Ramadhan yang lalu.
PKPIM UIAM menggesa agar JAG dan SIS, janganlah jadi seperti ‘lebih sudu daripada kuah’ dan jangan masuk campur urusan Mahkamah Syariah. Kami juga menggesa agar mereka tidak diberi ruang yang berlebihan dalam media arus perdana dan media haruslah bijak menapis segala bentuk kenyataan yang mengelirukan orang Islam dan bukan Islam di Malaysia ini.
3 Oktober 2009/Sabtu
momentumuiam.blogspot.com
Wednesday, September 30, 2009
Majlis Jamuan Aidilfitri WADAH, ABIM, PKPIM & AGENSI
Majlis Jamuan Aidilfitri 1430 H
WADAH, ABIM, PKPIM & AGENSI
Dengan Kerjasama
Masjid Negara
Presiden & Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat
Pengerusi & Lembaga Pengarah
dengan hormatnya mengundang
PIMPINAN DAN SELURUH AHLI PKPIM DARI KAMPUS & BGN
menghadiri
Majlis Jamuan Aidilfitri 1430 H
Tempat & Tarikh:
DEWAN SYARAHAN MASJID NEGARA
JALAN PERDANA KUALA LUMPUR
KHAMIS, 1 OKTOBER 2009 / 12 SYAWAL 1430H,
JAM 11:30 PAGI – 4:00 PETANG
Sunday, September 20, 2009
Apabila
Apabila diri dimalukan oleh musuh jenama teman,
sakitnya hati, peritnya jiwa,
Allah ada, Allah ada, Allah bersama,
Sirna aku, pergilah aku bersama salahku,
Biar dipalit padaku, itu silapku, itu nodaku,
Salahku denganmu, dosaku dengan manusia,
hanya kau yang bisa, memaafkan,
aku layak menerima malu itu,
aku layak menerima marahmu,
biarpun dihadapan manusia,
tidak sanggupku dihadapan Tuhan,
tidak sanggup…
bagaimana harus aku berhadapan dengan Tuhan?
Ya Allah, Aku tidak tahu, tidak tahu apa lagi…
Aku berada dalam tidak tahu,
Luahan dan perasaan,
Apa terbuku, apa terpendam,
Ya Allah aku redha, aku redha,
Ya Allah aku akui, aku akui,
Tiada lagi mampu mengungkap
Cumalah, aku akui, lemahnya aku,
Silapnya aku, dosaku, dangkalnya aku,
Redha, aku redha, apa diatur olehMu,
Apa jua yang kau putus,
Diamlah aku dari banyak bicara,
Diamlah aku dari tindakan, diamlah…
Tunduk mengakui…
Friday, September 18, 2009
Kawalan Ilusi
Saya: Kita ada badan gabungan yang setiapnya berbeza. Jadi kena bijak mengatur untuk setiapnya dan memanfaatkan yg sedia ada.
Dia: Baik. Saya yakin dengan kebolehan dan kelebihan awak. Saya jenis terbuka tidak
rigid sangat. Suka bincang.
Saya: Ada satu cerita. Saya nak ambil kata-kata dalam cerita tu.
Dia: Baik, apa dia?
Saya: Dari drama Band of Brothers, berbunyi begini. I cherish the memories of a question my grandson asked me the other day, when he said “Grandpa, were you a hero in the war?” grandpa said “no, but I served in a company of heroes”. I, serve in a company of mujahid! Company of leaders! Company of fighters!
(Saya berkata begitu bertujuan bagi mengimbangi kata pujiannya tadi)
Dia: So at the same time, you are also one of the heroes too.
Saya: Begitu juga awak.
Dia: Ya, semestinya saya dan Yi juga.
(Ah, lain pula jadinya… he he he. Kami bertiga berbakti dalam satu badan dan bidang tugas yang sama)
Dia: Erm… nak tanya sedikit boleh?
Saya: Ya, silakan.
Dia: Awak, Jak dan Bu ada bincang apa-apa pasal masa depan organisasi ni tak?
Saya: Ada, dengan Jak. Dengan Bu tak mendalam.
Dia: Apa yang dibincangkan?
Saya: Salah satunya zakat setahun. Ada satu lagi tapi biar Jak yang cerita sendiri. Yang lain dalam perbincangan lagi.
Dia: Kenapa mesti Jak? awak pun boleh cerita kan?
(Uh, nampaknya dia mahu tahu juga. Sebenarnya Jak lebih tahu hal yang satu lagi kerana itu saya buat ayat mengelak. Salah faham susah nanti)
Saya: Sekarang saya tengah siapkan pelan "hala tuju dan masa depan organisasi"
Dia: Wah..hebat bunyinya tu!
Saya: Bunyi memang hebat, nak laksana kita kena wujudkan company of heroes.
(Seperti biasa cakap memang senang. Teringat usrah bersama seorang abang. Dia pesan “Cakap memang senang, jadi banyaklah bekerja”)
Dia: Ha ha ha.. tau tak apa. Organisasi ni tukar nama kepada “Company of Heroes” pun Ok.
(Tersenyum saya bersendirian. Teman saya ini ada hal yang tersimpan dalam hatinya. Sepertinya hendak diluah)
Dia: Hai, apalah nak jadi dengan organisasi ni. Dah tiada orang.
Saya: Kan awak ada.
Dia: Memang lah ada tapi berapa kerat saja. Ni pun dah kena 'kerat'. Huhu
Saya: Inilah yang dipanggil “Illusion of control”. Tahu tak apa tu?
(Terima Kasih kepada abang Noryzal dan Kungfu Panda)
Dia: Tak tahu, mohon dijelaskan.
Saya: Bahasa mudah persepsi. Tapi lebih tepat paradigma yang mengawal. Perang Badar adalah contoh terbaik. Apa ada pada perang Badar?
Dia: Tentera sedikit tapi boleh menang.
Saya: Ya tapi sunnah alam selalunya sedikit memang akan kalah.
Dia: Tentera-tentera tu menang sebab punya iman yang sangat tinggi. Tak setara dengan kita ni. Jauh sangat nak capai.
Saya: Itu contoh untuk diikuti. Untuk diambil pelajaran dan pengajaran. Kalau tak ada contoh nak sandar pada apa? Nak jadikan apa sebagai kayu ukur? Itulh kayu ukurnya. Kalau tak tentu Allah tak datangkan contoh tu kerana pengajarannya kebergantungan dan keimanan pada Allah. Yang sukarnya ialah menyakini kudrat dan iradah Tuhan. Tapi tak mustahil atas kuasa Dia kan? Kita kata kita tak mampu tu ada sebabnya
Dia: Masalah utama bukan keyakinan sekarang ni. Keyakinan tu mesti ada tapi kekuatan atau kapasiti tu yang menyebabkan tak kukuh.
Saya: Jadi apa masalahnya sebenarnya? Kerana apa kita kata begitu? Kerana apa kekuatan tidak kukuh?
Dia: Salah satu orang-orangnya. Selain kekuatan dalaman (rohani) banyak lagi.
Saya: Diri kita pula bagaimana? Kuncinya dah ada pun. Tak mengapa. (Saya tidak mahu memaksa. Membiarkan dia berfikir sendiri lebih baik)
Dia: Tengah mencari kunci yang betul.
Saya: Kita pun salah satu dari "orang-orangnya" tadi.
Dia: Hmm..ya.
Saya: Nak mendapat ruhani kena mujahadah kan? Nak dapat taqwa dan iman pun kena mujahadah.
Dia: Emm…
(Nampaknya dia lebih banyak diam kali ini)
Saya: Moga dapat kuncinya.
(Perbualan malam itu diakhiri dengan doa)
“Ya Allah moga apa yg aku nukilkan ini adalah yg benar, tidak menghadirkan dosa dan murkaMu. Salam mujahadah”
Pandangan Alam
Dia: Salam, kenapa tak tidur lagi?
Saya: Awak pula kenapa tak tidur lagi?
Dia: Tak menjawab soalan. Saya nak selesaikan untuk esok. Ada aktiviti. Tak selesai-selesai lagi.
(Teman yang ini seorang yang aktif beraktiviti)
Saya: Sama alasan dengan awak. Ada kerja yang perlu diselesaikan.
Dia: Kacau ke? Sambung la buat kerja.
(Kalau dah bertanya begitu, ada lah bendanya tu…)
Saya: Tidak juga.
Dia: Tanya sedikit boleh?
Saya: Ya, silakan.
Dia: Awak tak suka perempuan letak gambar dalam friendster kan?
Saya: Ya saya.
(Pertanyaan yang membuat saya terkedu sebentar)
Dia: Saya pernah terbaca bulletin awak papar di friendster. Ermm… nak tanya. Nak mintak pandangan sebenarnya sebab saya kan letak gambar aktiviti banyak dalam tu kan. Ermm. pandangan seorang lelaki la, kalau macam tu tak boleh juga ke? Tak tahu…
(Boleh rujuk paparan buletin friendster saya)
Saya: Kita tukar dari pandangan seorang lelaki kepada sudut pandang Islam. Itu yg seharusnya.
(huh, bagaimana agaknya ya jika beri pandangan dari seorang lelaki? Barangkali huraiannya berbeza)
Dia: Sebenarnya, saya letak di situ senang kawan-kawan nak ambil, dan kalau nak masukkan dalam blog persatuan macam lembab sikit.. sebab itu perlu dimuat naik di situ dulu. Lagi pun, biar orang tengok, orang tertarik. Entah la, saya dalam dilema juga sebenarnya. Takut jadi fitnah.
(Teman ini memberi justifikasi dalam kerisauannya. Tentang fitnah berapa ramai yang peduli? Jika tidak pada diri, pada orang lain. Lebih teruk pada Islam itu sendiri)
Saya: Sebab itu dalam paparan itu saya tanya sebab mengapa kita papar gambar-gambar kita.
Dia: Hmm, entah. Saya risau juga.
Saya: Kerana itu perlu tengok sudut pandang Islam. Atas tujuan kegunaan persatuan tiada masalah.
(Atas tujuan yang dibenarkan syarak. Saya kira saudara saudari lebih tahu berbanding saya)
Dia: Tapi macam banyak pula. Hmm, tak apalah, nanti pandailah saya buang yang mana tak berkenaan.
Saya: Tidak apa, dalam friendster tu saya cuma bertanya kerana saya pun bukanlah reti sangat.
(Ilmu cetek, tidak berani mengulas panjang)
Dia: Baik… apa pun, terima kasih ya.
Saya: Sama-sama saling mengingati. It is good to have such concerns. Kita ini berada dalam suasana gelombang ketidakpedulian. The society are not functioning as it should be. Such concern is weird. Dagang atau asing.
(Ketidakpedulian cuma sebahagian kecil dari bahagian hal utamanya)
Dia: Dagang? Pada pendapat awak, apa yang menyebabkan gelombang ketidakpedulian itu ada?
Saya: Pelbagai perkara.
Dia: Antaranya?
Saya: Serangan pemikiran. Pada masa ini siapakah yang membentuk pandangan alam kita (worldview)?
Dia: Maksudnya? Err, banyak kot. Kawan-kawan, media. Entah.
Saya: Ya banyak. Kawan-kawan, media itu adalah antara medium atau faktor membentuk pandangan. Sumber yang mencipta pandangan alam itu yang perlu kita tahu. Contoh, hantu. Filem seram. Pontianak, macam-macam nama hantu. Cerita-cerita hantu.
(Banyak contoh lain, tapi contoh ini yang terfikir)
Dia: Haa. Ya. Selepas itu? Oh, maksudnya? Apa yang nak dibuktikan?
(Bertalu-talu pertanyaan. Teman ini bersemangat ingin tahu lanjut)
Saya: Tidak lain dan tidak bukan memberi gambaran hantu menakutkan, ghost are frightening. Boleh mencederakan manusia, membunuh. Ini adalah salah. Mengapa?
Dia: Sebab hantu mana boleh bunuh orang, kan?
Saya: Betul. Ada penjelasannya. Pertama, kita mesti ada ilmu tentang jin dan syaitan. Kedua, kita kena tahu kedudukan manusia, jin dan syaitan. Ketiga, aqidah kita pada Tuhan.
(Hantu nama panggilan oleh orang Melayu. Tapi pandangan alam hantu itu menakutkan, jadi pada saya penggunaan hantu tidak sesuai dalam memberi pendidikan tentang makhluk ghaib. Guna istilah yang ada dalam Quran lebih tepat)
Dia: Ha, betul…Saya bersetuju.
Saya: Cerita-cerita seperti itu memberi gambaran yang salah kepada kita tentang jin dan syaitan. Jadi siapa sebenarnya yang memberi ilmu tentang jin dan syaitan pada adik-adik, anak-anak, kawan-kawan, masyarakat kita?
Dia: Betul-betul. Tambahan sekarang banyak sangat cerita-cerita mengarut tentang hantu.
Saya: Tanya pada adik-adik, kawan-kawan, jin dan syaitan tu sebenarnya bagaimana dan apa?
Dia: Anak saudara saya jawab, jin and syaitan tu hantu.
Saya: Itulah yang saya maksudkan. Pendidikan yang salah. Dalam al-Quran banyak diceritakan tentang jin dan syaitan. Apa yang ada dalam Quran itu yang perlu kita sampaikan pada mereka.
(Dari asal kejadian jin dan syaitan, keingkaran hinggalah ke matlamat menyesatkan manusia. Dari ingatan Allah hinggalah cara menghalang hasutan jin dan syaitan. Inilah yang kita terlupakan untuk mendidik anak-anak kita)
Dia: Apa pendapat awak pula, bila media mendakwa, masyarakat lah yang kena pandai pilih cerita yang ditonton. Macam mana?
Saya: Semua harus main peranan. Kita kena ingat Islam menyeluruh. Jadi media ada peranan dalam memberi maklumat yang benar. Jika hanya membiarkan masyarakat memilih, bagaimana kita nak pastikan mereka pilih yang benar?
Dia: Hmm, susahkan bila manusia dah bersifat nafsi-nafsi ni.
Saya: Itu point kepada gelombang ketidakpedulian tadi.
Dia: Hmm, faham sekarang.
Saya: Gelombang yang memberi kesan dalam banyak hal dalam hidup kita. Insya Allah, mungkin di waktu lain kita berkongsi hal lain. Gelombang zionism.
(Individualistik adalah kesan dari serangan Zionisme itu sendiri dengan menghadirkan penyakit al-wahn dalam hati umat Islam. Cinta dunia dan takut mati)
Dia: Boleh-boleh. Saya suka orang berkongsi cerita macam ni dengan saya, tak buang masa.
Saya: Kita sama-sama kongsi cerita, kan? Kalau awak ada sebiji epal, saya pun ada sebiji epal kita tukar, masih setiap orang dapat satu tapi kalau awak ada satu ilmu, saya pun ada satu, kita kongsi masing-masing dapat dua kan?
(Terima kasih kepada a.k.u kerana majukan mesej tentang epal ni (^,^))
Dia: Nasib baik epal, kalau durian, semua awak dapat.
(Ai, terkena pula pada akhir-akhir perbualan… durian memang sedap!)
Thursday, August 20, 2009
Harus Aku Meraikanmu
Kerana itulah kau,
itulah diri yang dicipta Tuhan mengikut kehendakNya,
siapalah aku mahu kau menjadi seperti apa ku mahu,
kehebatan itu adalah apabila,
aku reda sebagaimana kau sedia ada,
maka aku meraikannya,
apalah warna warninya,
andai kita semua sama sahaja,
kelebihan mu itulah penutup kekurangan ku,
kelainan diri kita itulah penyeri tautan,
Perbezaan kita adalah suatu keistimewaan
Meski terkadang terasa,
Biarpun terkadang terguris,
Itulah yang menjadi memori,
Terpamit rasa terpalit jiwa,
Membuat kita lebih mengenali,
menjadikan kita lebih memahami,
jiwa kau umpama jiwaku,
jiwa ku umpama jiwa kau,
Aku begini dan kau begitu,
Dalam diri aku ada kau,
dalam diri kau ada aku,
itulah kita yang sebenarnya,
yang diumpamakan cerminan sesama,
cubit paha kanan, merasa juga paha kiri,
petanda iman itulah saling menyayangi,
tidak harus aku berkecil hati,
andai kau memutus lain dariku,
harus aku berlapang dada,
harus aku bergembira atas putusan mu itu,
harus aku meraikan
Wednesday, August 19, 2009
Mencari Al-Qadar bukan 14 Ogos
Teman: Sanah hilwah.
Teman: Friendster cakap hari ni birthday awak, wuwu.
Saya: Friendster cakap, tak boleh percaya. saya tak cakap pun.
Teman: Eh, birthday awak bukan hari ni eh? bila?
Saya: 12 Zulhijjah. Itu tarikhnya saja. (hari diri ini lahir adalah puluh tahun dulu. Jadi mana boleh lahir tiap-tiap tahun)
Teman: Semakin hari, semakin dekat dengan kematian.
Saya: Birthday ke tak birthday ke kita tetap dlm perjalanan menuju ke kematian.
Teman: Betul. Hmm, saya baru balik ziarah pusara Ust Asri (Rabbani) tadi. Tau tak... tadi, waktu Ust Asri nazak dia mintak Quran hmm SubhanAllah
Saya: a lesson to learn
Menjelang pertambahan usia,
Mendatang juga hal yang pasti dirasai,
Mencari pencerahan diri,
Menanti maghrib satu Ramadhan,
Bukan menanti 12 malam 14 Ogos
Saat ini bulat tekad
Menjiwai keasyikan Lail al-Qadar
Yang bakal berlalu melambai
Andai tidak digapai,
Merintih dalam doa...
Sunday, August 2, 2009
Surat Kepada Teman
Kepada temanku,
Assalamu alaikum, moga sentiasa dalam afiat dan rahmat yang esa. Doaku teman dan keluarga berada dalam redha Ilahi.
Teman, dahulu saat awal pertemuan kita, tidak pernah aku menanyakan kepadamu bagaimana kau menjadi jinak menagih kesejahteraan dan kebahagiaan dari suatu cara hidup yang diberi nama “Islam”. Juga tidak pernah aku bertanyakan padamu perjalanan hidupmu. Yang ku tahu, kau telah “Sejahtera”. Telah sejahtera diri, telah tunduk hati mengakui KeEsaan Allah s.w.t. aku tidak peduli siapa engkau yang dahulu. Aku hanya tahu, perakuan syahadah mu melayakkan kau mendapat hak sebagai seorang muslim. Hak sebagai saudaraku yang perlu aku tunaikan. Ikatan yang perlu dijaga bersama. Meski engkau tidak pernah meminta dan tidak akan meminta, namun ia tetap menjadi amanah dan perananku.
Hakikatnya, apa yang berlaku, aku tidak mampu menunaikan hak mu sepenuhnya. Aku pun tidak tahu apakah pernah aku memberikan hak mu. Saat aku ke menuju arahku, kita jarang berhubung. Apatah lagi bila kita sudah sama-sama berada di tempat yang sama. Organisasi yang sama. Sehingga kini aku gagal.
Pernah aku hadir ke bilikmu, sebenarnya bukan atas urusan yang lain, tetapi untuk bersua denganmu. Menatap wajahmu. Mendengar tawa ceria mu seperti yang pernah kita lalui suatu ketika dahulu. Tapi, ya, itu dahulu bukan sekarang. Nun jauh di dalam sanubari aku diselubungi rasa bersalah. Bersalah kerana jurang antara kita sudah seakan dalam. Juga bersalah kerana komunikasi kita tidak lagi petah dan dekat. Bertemu sekadar tersenyum atau lebih dari sekadar melihat dari jauh. Pelukan dan kemesraan semakin kering.
Teman, ingat lagi video yang kau buat untuk ku? Bermelodikan lagu Bingkisan Rindu, nyanyian Far East,
Antara kita tiada rahsia,
Susah dan senang kita bersama,
Terpatri namamu, kau takkan ku lupa,
Sudah bertahun lama,
Kita tidak lagi bersua,
Hanya tinggal kenangan,
Yang tak mungkin kita lupa,
Kirimkan gambar selalu,
Seiringan hembusan bayu,
Sekadar pengubat rasa rindu,
Di kalbu,
Pantas masa berlalu,
Meninggalkan kita semua,
Kembali sedari bertambah usia kita,
Potret lama masih ku simpan,
Ku bingkaikan kenangan,
Hingga terkadangku,
Tersenyum sendirian,
Perjalanan kita masih jauh,
Jalan nan berliku,
Bakal kita tempuh,
Imbaslah kenangan semalam,
Jadi azimat,
Penguat semangat,
Menempuh masa hadapan,
Harapanku kau kan bahagia selalu,
Padaku engkau penghibur duka,
Mengubat hati resah kecewa,
Di kala malamku kau bawa cahaya,
Sematkanlah bingkisan rindu dikalbu,
Teman, ku yakin dalam menempuh masa hidupmu, kematangan telah berakar dijiwa dan akalmu. Ketabahan dan keteguhan sudah tersemat dalam diri. Segenggam tabah tidak pernah dilepaskan. Ku berhajat agar kita kembali erat dalam setiap nafas.
Sekian dariku, umi dan abah menyampaikan salam padamu.
Dari Ridhwan,
(Boleh dapat “A” tak surat ni? (“,) )
* Hati dan perasaan yang tidak stabil boleh saja mengganggu gerak kerja, maka oleh itu perkukuhkan dan sucikan supaya akalnya boleh berfikir ”BESAR”.
Sunday, July 26, 2009
Rahsia
Bilakah saatnya?
Apakah bisa lidah berbicara?
Apakah bisa diluahkan?
Saat itu apa mungkin kena pada masa
Kena pada tempat
Kena pada orang
Barangkali kegusaran membelenggu
Ini bukan suatu hebahan
Ini suatu rahsia
Biarlah ditanggung beban ini berseorangan
Biar seksa hanya di batin ini
Jauhlah menyendiri berfikir sendiri
Keputusan yang diragukan pastinya
Berputus dalam gelumang gusaran hati
Dalam pudar keseimbangan emosi
Yang memahami pasti mengerti
Yang simpati akan peduli
Mana bisa kau lari menyendiri bersembunyi
Aku rela berdiri berada disisi
Bangkit gapai tanganku!
Tautkan! Jangan dilepas!
Aku tidak akan melangkah kaki pergi
Saat jatuh kita sama-sama bangkit
Umpama semangat Laskar Pelangi
Jangan alah dirumpun betung
Ayuh, berlari dalam rimbunan duri!
Menari dalam ombak menggunung!
Tegar bertahan mengharung tsunami!
Wujudnya kita bukan bersendiri
Wujudnya kita dalam lingkungan insani
Kelompok insan yang ada peranan
Kelompok insan yang berkaitan
Tidak dapat tidak
Kau dan aku ada kaitan
Peranan aku pada kau
Peranan kau pada aku
Usah lagi kau begini
Mari sambut tanganku ini!
Wednesday, July 22, 2009
Kembara Menuju Ramadhan
Suatu hari terjadi perbualan dengan seorang sahabat yang terlibat dengan pelbagai aktiviti pendidikan.
“Assalamu alaikum” saya mengucap salam sebagai pembuka bicara.
“Walaikumusalam...” balasnya.
“Bagaimana aktiviti?” saya bertanya.
“Emm..soalan cepu mas. Sekarang ni tengah dalam urusan, saya serahkan pada jawatankuasa. Alhamdulillah… apa yang saya tahu, buat masa ini semua ahli jawatankuasa sudah mula menjalankan kerja masing-masing”.
“Baik. Bagus” ringkas saya membalas.
“Jangan cakap macam tu..” dia seakan risau.
“Rasa takut pula” dia menyambung.
”Tidak tahu la betul ke tidak apa yang saya buat ni… rasa bersalah pun ada... terutamanya pada ketua.” sahabat ini meluah.
“kalau hati rasa tenang betul la tu. Tak apa dia baik saja tu.” Ketuanya saya kenal. Sahabat baik saya.
“Saya ada cadangan untuk awak. Boleh saya utarakan?”
“Boleh-boleh, sangat-sangat di alukan” dia memberi keizinan. Lampu hijau.
"Saya cadang kita adakan Kembara Menuju Ramadhan” saya mengemukakan tajuk.
“Boleh terangkan secara terperinci macam mana aktivitinya? Nampak macam menarik”. Sahabat ini mula tertarik.
“Tak berat. Mudah saja. Perlu perkasa melalui usaha mendasar dan mendekati. Tak perlu program besar”.
”Tak faham...”
”Sekiranya dah nak raya kita buat macam-macam. Baju raya, ketupat, beli belah. Kali ini Ramadhan datang. Bajunya kuliah tentang Ramadhan. Ketupatnya aktiviti qiyamullail. Kalau raya kempen beli barang, tapi Ramadhan kempennya mengejar, mencari Lail Al-Qadar. Memang tak nampak sangat. Pelaksanaan lebih kepada pemerkasaan ahli-ahli. Tarbiyah ahli-ahli. Jadikan Rejab dan Syaaban medan persediaan untuk Ramadhan. Hmm boleh faham?” saya bertanya mohon kepastian.
”Faham..tapi pelaksanaannya?” dia masih kurang jelas. Barangkali huraian saya terlalu umum atau banyak berfalsafah.
”Tak perlu program baru. Mantapkan yang sedia ada. Majlis ada Qiam kan?” Qiam adalah program Qiyammullail yang diatur dengan pengisiannya.
”Qiam ni mantapkan dari segi pengisian dan penyertaan” saya menyambung. ”Risalah yang diterbitkan diselitkan artikel-artikel persediaan untuk Ramadhan”.
”Oh..” dia seakan sudah mula memahami.
”Usrah pun selitkan juga. Biar ahli-ahli nampak dan tahu. Kita ada bulan besar yang dinanti. Yang perlu persediaan rapi. Sebab konsepnya kempen”
“Oh... sudah faham sedikit”
”Kempen pelaksanaannya melibatkan peranan oleh setiap individu sendiri. Jadi mesti diwar-warkan. Setiap dari aktiviti yang dibuat kita sematkan. Kita lahirkan perasaan ghairah ahli-ahli. Tidak sabar-sabar menanti Ramadhan. Tidak sabar mengejar Lail Al-Qadar. Bukan tidak sabar nak cuti, nak raya. Cumanya dari sudut kita ialah merangka proses pemantauan”.
”InsyaAllah... boleh dibawa dalam perbincangan” dia bersetuju.
Perbualan diakhiri dengan
”Doakan semua berjalan lancar dan dipermudahkan urusan”
Pada saat ini apakah persediaan kita menyambut Ramadhan? Media mungkin saja mendoktrinkan kita dengan kemeriahan jualan murah sempena raya. Mengalpakan kita dengan program-program dan tayangan-tayangan cerita raya. Saat ini juga barangkali ada yang tidak sedar akan tibanya Ramadhan sehingga tersentak tiba-tiba esoknya mula berpuasa. Sekiranya sempat bertemu, apakah Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas atau lebih buruk?
Ruh dan semangat keazaman menggapai malam seribu bulan, menagih pengampunan Tuhan dari dosa perlu disemarakkan! Biarkannya menyala menjulang tinggi menuju pengakhiran ”Diri yang Fitrah”. Saat yang tidak harus dibiarkan berlalu sia-sia!
Bila Nak Kahwin?
Pada peringkat umur mencecah 23 tahun, ramai kawan-kawan yang mengakhiri zaman bujang. Bernikah, itu adalah sunnah yang besar. Apakah pernikahan itu adalah mengenai umur? Umur yang sesuai bersuami isteri? Atau sebenarnya berkaitan dengan kematangan diri seseorang yang membenarkan dia bernikah? Atau apa? Banyak persoalan yang timbul. Syukur persoalan terjawab setelah membaca “Dua Hati, Satu Rasa” tulisan saudara Pahrol Md. Juoi. Penuh informasi yang disampaikan secara logik dan santai.
Suatu hari datang satu soalan kepada saya.
“Wan, boleh tanya?”
“Ya, silakan”
“Wan nak kahwin bila?“. Huh, soalan yang tidak disangkakan! Saya termenung sebentar.
“Tak apa kalau tak nak jawab”. Jawapan sebenarnya dah ada, cuma berfikir bagaimana ayat perlu disusun supaya sesuai dengan keadaan dan boleh difahami.
”Tekadnya bukan dalam jangka 5 tahun mendatang. Itu adalah perancangan saya. Apa yang Allah aturkan tak dapat nak tahu”. Itu tekad saya saja, jodoh milik Allah.
”Bila?” seakannya sahabat ini mahu jawapan yang lebih terperinci. Barangkali untuk kepastiannya.
”Selepas selesai tempoh 5 tahun itu”
”5 tahun dari sekarang?” dia bertanya lagi.
”Ya” jawab saya ringkas. 5 tahun dari sekarang bermakna umur waktu itu 28 tahun. Lewat atau tidak bukan dalam perhatian saya.
“Dah ada calon?” sahabat ini sekali lagi membuat saya terperangkap dengan soalan cepu emasnya.
“Itu serah pada Allah. Siapa pun yang datang, itulah pasangan yang Allah aturkan”. Hingga saat ini belum ada lagi sesiapa calon isteri di hati saya. Belum lagi. Saya menyambung.
“Pada saya, perasaan untuk bernikah ni bukan cinta. Bukan kita cari, tapi diberi oleh Allah. Anugerah. Sebab itu abang serah pada Allah”
“5 tahun dari sekarang... hmm... macam tu ye” dia kembali kepada hal tekad 5 tahun saya. Barangkali dia ingin mengetahui lebih mendalam hal itu.
”Hal ini tak ada orang lain yang tahu. Rahsia.” cepat-cepat saya memintas.
“Yela, yela, rahsia” akhirnya dia terpaksa akur. Saya meneruskan perbualan
“Utamanya, dalam 5 tahun saya persiapkan diri jadi seorang yang soleh. Jadi seorang yang menangis kerana takutkan azab Allah. Jadi seorang yang cintakan masjid. Jadi seorang yang bertemu dan berpisah kerana Allah”. Keazaman itu dibulatkan bukanlah kerana hendak membuat persediaan bagi bernikah, tapi kerana itu adalah apa yang harus dilaksanakan. Keazaman untuk termasuk dalam golongan yang dijamin oleh Allah. Mesti dan perlu. Ini adalah proses yang berterusan yang berjalan selagi masih bernyawa.
“Seorang suami patut cintakan masjid...cintakan ilmu...cintakan jihad..cintakan Allah...dan berkongsi cinta itu dengan isteri dan anak-anak...” dia menambah. Ulasan yang masih dalam isu pernikahan.
“Ya, benar itu. Mencintai Pencipta Cinta dulu baru cinta yang termeterai antara makhluk itu ada berkatnya, ada ketenangannya”
“Saya setuju dengan bila hati ni betul-betul diserahkan pada Allah. Bila diri ni bersungguh-sungguh merayu agar 'dipandang' olehNya, bila jiwa ni bersungguh-sungguh meminta cintaNya. Kebahagiaan semua itu sangat sukar digambarkan. Terlena dengan keasyikan cinta Ilahi sesuatu perkara yang sangat indah. Saya akuinya. Sungguh.” Ulasan yang saya kira terus dari hatinya.
“Bila Cinta Allah diletak pertama, cinta yang lain akan jadi suci.” Menjadi suci kerana pergantungan hanya pada Allah. Dia yang menentukan kadarnya. Dia juga yang menganugerahkannya.
“Setuju sangat-sangat” dia mencelah.
“Saat itu urusan nikah tidak menjadi masalah lagi. Cinta antara suami isteri ni, tidak kisah siapa pun pasangan kerana masing meletakkan cinta utama tadi.”
”Kalau saya... saya tak ada jodoh di dunia pun tak apa. Bukan menolak sunnah... tapi macam saya cakap tadi... bila hati diserah bulat-bulat pada Allah... apa pun kita tak kisah... saya suka perasaan ni... atau lebih tepat... redha...” sahabat saya ini meluah.
“Ya redha. Iktibar dari kisah Rabiatul Adawiyah.” celah saya.”Saya tak nak jadi macam dia. Bukan niat nak jadi macam dia. Cuma... macam mana nak cakap, nak terangkan. Wan faham kan?”
”Tak apa, saya faham” saya tidak mahu memaksa dia untuk perjelaskan. Lebih baik menjadi pendengar.
”Ruhnya, pengajarannya ada pada kisah beliau.” sekadar menambah sedikit supaya lebih jelas contoh yang diberikan. Kisah yang tidak ada pergantungan kepada makhluk.
“Kamu tanya saya, sekarang saya tanya balik. Boleh?”
”Tanya apa? Tanya la” dia membalas.
”Hah, kamu pula bila nak...” lambat saya habiskan ayatnya.
“Hmmm... jika boleh secepat mungkin....tapi takde lagi calon yang dapat pikat hati umi abah saya...” pantas dia menjawab. Meskipun niat sebenarnya hendak tanya hal lain.
“Hati umi abah pun milik Allah. Jadi faham-faham la apa patut dibuat ye tak?”
”Saya tak ada masalah. Tapi saya lebih suka biar umi abah redha dulu..” dia memberi penekanan.
“Jodoh yang Allah tentukan tidak cepat tidak lambat. Jadi kita doa supaya sentiasa dalam redha Allah dan Rasul serta ibu bapa. Hadir redha Allah hadirlah redha ibu bapa kan?”. Terasa banyak pula saya berkata-kata malam itu (macam hebat saja). Lalu saya akhiri perbualan kami dengan doa...
“Ya Allah moga apa yang aku nukilkan ini tidak mndatangkan dosa dan murkaMu”
Sunday, June 28, 2009
Huraian Makna Puisi Retorik Hati
Rangkap pertama, hati yang bobrok, hati yang telah rosak. Mulut berkata tetapi tidak beramal
”wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Besar kebencian AllaH jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” As-Saf:2-3
Rangkap kedua, meskipun manusia lain tidak dapat tahu apa yang ada di dalam hati kita tetapi ”ketahuilah bahawa Allah tahu apa yang terkandung di dalam diri kamu, maka takutlah kepadaNya” Al-Baqarah:235
Rangkap ketiga, lidah alat yang digunakan untuk bercakap hal-hal dalam hati. Petah berbicara, akhirnya binasa kerana kata-kata sendiri.
Walaupun si lembut (lidah) diam; mulut tidak berkata-kata, hati yang berpenyakit akan merosakkan diri.
Rangkap keempat, berkaitan dengan rangkap ketiga mengenai hati yang berpenyakit. Dalam diam, hati mencaci, memaki membuat fitnah. Insinuasi bermaksud berkata yang tidak benar (sila rujuk kamus dewan bahasa)
Rangkap terakhir, Pemikiran yang tidak bijak berpunca dari keruntuhan iman. Zikir dan fikir tidak ada. Yang batil, yang salah, yang dosa terasa benar, betul dan sebaliknya. Keterbalikan ini yang ditegakkan oleh hati yang rosak. Saat itu hati sudah jauh dari Tuhan dan menjadi hitam, kotor tidak lagi suci.
kesimpulannya, tuan-tuan fikirkan sendiri.
Tuesday, June 16, 2009
Zikir Fikir Siang dan Malam
Langit jahiliah biru kelam berdikit-dikit
Mencair membawa cahaya syahadah
Dalam detikan masa
Paduan merah jambu dan biru bertemu kuning
Sungguh indah sejahtera cahaya syahadah
Menghapus kelam biru langit jahiliah
Harapan baru permulaan hari
Semangat baru bakal menjulang tinggi
Kenikmatan kebebasan dari kegelapan malam batil
Menghadirkan bibit-bibit cahaya kuning jingga dhuha
Dalam jangkaan masa yang panjang,
Nur cahaya tersebar, menular menguasai alam,
Memberi cerah pada yang tidur,
Dalam mamai jahiliah dan sedar kebenaran
Buka mata mu, bangkit dari lena,
Mandi, bersucilah dalam rela atau terpaksa
Demi menjadikan diri bersedia
Menerima tauhid dan pembebasan dari kefanaan
Kemuncaknya tengahari kebenaran
Dari satu sumber tenaga yang tidak mencemar
Kalam itu jelas, nyata, inilah al-haq!
Tidak ada lagi keraguan
Terang lagi bersuluh nur islam,
Memberi saujana pandangan mata
Melihat luasnya kuasa Yang Satu
Membawa celik kepada petanda-petanda Yang Maha Esa
Terlihat segala, ini buktinya wahai orang yang berfikir
Garap nur cahaya dan pegang teguh tali itu
Sematkan dalam hati,
Buat bekalan saat menjelang gelincir mentari
Kerana tenggelamnya diri dalam kenikmatan terang cahaya
Tergelincir ruh nur matahari islam
Dicabut akar cahaya semakin malap
Perlahan lahan ditenggelamkan si barat
Saat itu sudah petang menghampiri senja,
sayup-sayup kuning terang cahaya
berganti jingga kemerahan
berhempas pulas bersaing cahaya kuning
bertahan dari dilingkungi hitam
akhirnya muncul mega-mega merah darah
Terhambur mengisi ruang angkasa
Penatnya ummat yang goyang
Mencari kerehatan dari mempertahankan cahaya
Momokan ufuk barat
Nur cahaya islam yang semakin tenggelam itu
Suasana kelam gelap yang menutupi nur cahaya itu
Tidak perlu dirisaukan
Malah bukankah suasana itu indah cantik?
Propaganda itu, ah sudahlah dengan cahaya itu,
Nikmatilah kegelapan
Usah gusar terhadap petanda
Yang menghilang ditelan gelap
Tidak ada apa-apa
Kini kegelapan sudah melata
Khayal sementara dalam nikmat fana hitam
Namun gelap ini seakan membawa masalah
Sesat jalan perjalanan kehidupan
Di langit isya’
Nur cahaya yang digarap bergetar
Memberontak untuk diangkat dan dijulang
Agar terang jalan menuntun kepada kebenaran
Dalam kegelapan, cahaya yang indah itu asing
Nur yang sejahtera itu dagang
Hadirlah halaqah bulan daie tegar memantulkan nur
Dikeliling bintang-bintang tompokan cahaya kecil
Semangat perwira dakwah yang bertabur
Berjuang menghapus dominasi malam gelap batil
Meski kelipannya kecil, cahaya tetap sampai
Pencerahan menyerlahkan antara khair dan syar
Berlalu waktu bersama pengharapan dan doa
Menanti tenang ruh jihad bebintang dan rembulan
Bertahanlah hingga sampai saatnya
Muncul sinar agung sang mentari kegemilangan
Janji itu pasti tiba dalam putaran detik masa
Wednesday, May 27, 2009
Retorik Hati
Merungkai bicara,
Beda dibibir, jauh sekali amali,
Tercicir liur lantang kata,
Terjadi jua tuntunan,
Kalamullah as-Saf: 2 dan 3,
Tuhan lebih tahu,
Hakikat sepi,
Halus bicara hati insani,
Mana mungkin bersembunyi,
Sebesar zarah khair,
Juga sebesar zarah syar,
Dari pengetahuan rabbul alamin,
Lancang si lembut bergaya,
Memuntahkan disebalik retorik hati,
Bermain kata memakan diri,
Meski tidak bermuka-muka si lembut,
Diam kaku sepi bersembunyi,
Akar hati meluluhkan budi,
Insinuasi hati,
Fitnahnya meletus-letus,
Membedil dalam diam senyap,
Sasaran mengena, bukti tiada,
Pendek akal dek robohnya iman,
Berdiri tegak bulu-bulu hangit,
Berbara membakar perlahan,
Keihsanan dan fitrahnya hati,
Tuesday, May 5, 2009
Hikmah: Kekuatan Kenabian
Ulul albab boleh disebut sebagai golongan yang mampu mencapai hal-hal yang tersembunyi (being able to reach the hidden things). Perkataan ibrah mempunyai sesuatu makna yang besar kerana itu sering disebut dan dianjurkan dalam Quran ul Karim agar kita mengambil ibrah dari kisah-kisah sejarah. Oleh sebab itu, Ibn khaldun telah menulis sebuah kitab sejarah tidak meletakkan judul kitabnya itu sebagai “kitab al tarikh”, tetapi memberi judul “kitabul ibarah”.
Oleh kerana itu, Kita harus mampu menterjemahkan sesuatu hal yang berlaku itu kepada mesej sebenarnya (from an incident to the real message).
Hikmah terkandung kualiti muslim yang membawa kepada puncak keimanan tertinggi iaitu khasyatillah (taqwa). Hikmah menyangkut tentang kemampuan merasakan, kemampuan membaca situasi, kemampuan merasakan dan melihat dengan mata hati, sensitif dan visi (daya melihat kehadapan). Hikmah adalah jalinan antara intelektual, emosional dan spiritual (kerohanian).
Rasulullah adalah pedagang atau usahawan yang berhasil. Usahawan yang cemerlang. Kekuatan yang dimiliki adalah kekuatan kepercayaan, keyakinan (trust). Kepercayaan mampu memangkin sesuatu proses (will speed up the process). Di dalam dunia perdagangan, semua orang berburu-buru untuk menjadi yang pertama tiba di pasaran (in business everybody is in rushing to be the first in the market place). Kepercayaan adalah nilai yang menjadi keutamaan. Al-qawiyul amin.
Rasulullah dididik oleh Allah dengan akhlak yang hasanah, yang mulia supaya seluruh bangsa arab memberi kepercayaan dan keyakinan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. selama 40 tahun lamanya beliau diterapkan dengan kekuatan al-qawiyul amin (al-Qasas:26) bagi meraih hati bangsa arab dan membolehkan baginda akhirnya merubah seluruh masyarakat arab kepada suatu keadaan suci daripada jahiliyah. Rasulullah meraih hati bangsa arab dengan berakhlak mulia, dengan sentiasa benar, tidak berbohong dan berdusta sehingga tidak ada yang menafikan tentang karakter dan kebenaran kata-kata baginda. Mustahil untuk dinafikan.
Bersambung...
Tuesday, April 28, 2009
Manusia dan Kucing
Aduh laparnya, dah beberapa hari tak makan. Anak-anak aku pun kelaparan. Merengek mereka sebentar. Minta disusukan. ”Miau, miau. Pergilah bermain dahulu sementara ibu mencari makanan”. Ke hulu ke hilir aku melangkah. Meminta sana meminta sini. Namun tidak diperolehi makanan. Orang yang ku kenal lama juga tidak mahu memberikan apa-apa padaku, pada anak-anakku.
Dua tahun lamanya. Itu tempoh si ibu kucing dijaga oleh tuan rumah itu. Ini kali ketiga ibu kucing itu beranak. Melihat gelagat si ibu kucing dengan 3 ekor anak-anaknya yang terbaru, hati menjadi seronok. Kadang-kadang si Gendut, Rusgi dan Comot bermain-main bersama. Bergusti antara satu sama lain. Berlarian-larian dalam rumah. Telatah mereka ’kawai’. Geram! dicium-cium, dipeluk-peluk si Gendut, Rusgi dan Comot..
Dahulu seekor adik-beradik kucing ni mati di lenyek kereta. Oleh kerana peristiwa itu, lelaki yang selama ini cukup sukar menangis, bergaya rock akhirnya mengalirkan air mata kerana melanggar si anak kucing itu hingga hilang nyawanya. Sedih sangat. Kucing bukannya ada 9 nyawa pun, karut!
Namun kerana tekanan dari jiran-jiran,
”Kucing ni dah buang najis di laman rumah saya”.
”Semalam ada kucing masuk rumah. Curi lauk, mencarik langsir rumah saya. Kucing awak ke tu?”. ”Eh, bukan! Kucing lain tu!”
Bila dikhabarkan kepada seisi rumah, kucing ni perlu dihantar ke satu tempat lain. Masing-masing terdiam. Masing-masing berwajah sugul. Sedih, tak sanggup rasanya. Sayang. Comel. Namun keputusan perlu dibuat. Ke mana hendak dihantar kucing-kucing ni? Kena cari tempat yang senang nak cari makan. Tempat yang banyak kedai makan. Tak pun kawasan pasar.
Hari itu, dimasukkan 4 beranak kucing itu ke dalam kotak. Mengiau si ibu kucing. Sayu... sayu sangat. Terasa seperti hendak disumbat telinga supaya tidak mendengar ngiau si kucing meminta belas. Kali ini tidak pula meragam perangainya bila dibawa naik kereta. Dahulu semasa dibawa naik untuk berjalan-jalan tak keruan dibuatnya. Melompat ke sana sini dalam kereta, mencakar-cakar. Tapi kali ini elok pula. Seakan tahu hari itu menjadi episod sedih buat kucing itu sekeluarga.
Berpusing-pusing kereta mencari tempat yang paling sesuai untuk kucing-kucing itu. Teringat satu rakaman video tentang seekor singa betina yang dijaga dua orang lelaki hingga besar. lalu akhirnya dilepaskan ke habitat asal singa itu. Setelah beberapa tahun dilepaskan, dua orang lelaki itu kembali semula ke tempat singa itu. Apakah si singa masih kenal akan tuannya? Saat bertentang mata, si singa perlahan-lahan berjalan menuju ke tuannya. Tiba-tiba berlari menerkam kedua-dua tuannya. Menjilat manja wajah orang yang telah membelanya hingga dewasa. Berpelukan haiwan itu dengan tuannya. Diusap-usap. Digaru-garu. Binatang yang ganas pada cirinya bermesra dengan tuannya setelah bertahun tidak berjumpa. Kenangannya masih ada. Cukup mengharukan.
Apakah si ibu kucing akan masih ingat pada tuannya andai bertemu semula? Bagaimana pula dengan si Gendut, Rusgi dan Comot? Mungkin tidak, kerana tiga beradik itu masih kecil. Hmm... siapa tahu.
Maha Suci Tuhan yang menjadikan segala makhluk. Dihadirkan kasih dan sayang sebagai suatu nikmat yang tiada tandingan!
Tuesday, March 17, 2009
Ar-ra’in
Memacu kuda perang dakwah,
Menghunus pedang hikmah,
Menusuk ke segenap jiwa hamba,
Menjulang panji syariah yang Esa,
Disebalik deras kencang kemaraan,
Tersirat hakikat keimanan,
Keihklasan, keehsanan,
Penyerahan seluruhnya,
Kepada empunya segala ketenangan,
Moga kekal hakikat itu,
Menjadi darah merah pekat,
Yang mengalir sebati,
Meluncur di setiap urat nadi,
Insan lemah pemegang amanah,
Bangkitnya Ar-Ra’in itu,
Di celah kegawatan,
Menggenggam gagasan khayra ummah,
Membawa ciri at-taibun, al-a’bidun,
Al-haamidun, as-saihuun, ar-rakiu’n,
As-sajidun, al-amiruna bil ma’ruf,
Wa nnahuna a’nilmunkar,
Wal haafizhuna lihududillah,
Ar-Ra’in itu bangkit,
Bukanlah kerana menanti keredaan manusia,
hanyalah demi sebuah keredaan agung Ilahi,
Maka gembirakanlah! Bergembiralah!
Orang-orang yang beriman!
Sunday, March 15, 2009
Mesyuarat dengan Alam 3: Alam Sekunder
Kipas di syiling ligat berputar. Berkejaran bilah-bilah menari mengikut kelajuan yang diaturkan. Asbabnya tarian bilah, angin turut mengikut rentak. Bertiup menghembus lembut mengdatangi tubuh insan yang sujud pada Ilahi. Sejuk menyejat peluh dan menghapus kehangatan dari keriuhan pasar. Dari kepanasan kelakuan manusia-manusia. Sesekali kreok kipas mencelah bersama deruan halus melodi angin. Sayup-sayup gemersik zikir tasbih, tahmid, takbir. Jam berdetak, tik tik. Jarum jam, minit dan saat silih berganti berikit-dikit bergerak.
Wajah ditemukan dengan hamparan sejadah. Wahai sejadah hari ini aku menyaksikan betapa hebatnya ruh berjemaah. Kekuatan solat bersama-sama. Bahu bertemu bahu. Tumit lurus bersiri. Namun di sebalik kesedaran ini, aku juga menyaksikan manusia yang hanya berdiri sendiri. Melaksanakan perintah bersendirian meski nyata kelompok jemaah di depan mata.
Wahai sejadah, alangkah indahnya andai mereka mengerti bagaimana hebatnya solat berjemaah. Seperti kau sejadah. Dari seurat benang, bertemu uratan benang yang lain. Lain saiznya dan lain warnanya. Pertemuan itu pada satu kesatuan menjalin antara satu sama lain dan akhirnya lahirlah kau sejadah. Manusia juga lain saiznya dan warna kulitnya. Mereka bertemu pada hal yang satu, pengabdian pada Allah Tuhan sekelian alam.
Penaka juga dengan dinding yang membentuk musolla ini. Menjadi pelindung kepada kerendahan hati yang sujud tunduk pada Tuhan yang Satu. Dari ketulan bata yang merah kejinggaan. Satu satu disusun. Rapat antara satu sama lain. Lurus dan tepat. Menjalin ikatan bersama adunan simen dan pasir halus. Disapu, diraup, diratakan. Akhirnya semua sama. Tidak ada tinggi darjat antara bata, pasir atau simen. Kamu semua tetap sama diciptakan oleh Tuhan. Keutuhan mu yang diperkirakan.
Pada saf-saf solat, manusia semua sama. Darjat dan pangkat keduniaan tidak dipeduli. Sujud sama rendah. Solat berjemaah menjalin perasaan mengenali dan menyayangi. Yang diperhitung Tuhan ialah keimanan dan ketaqwaan. Tidak ada kaitan rupa parasmu. Wahai, dinding caknakan keutuhan hubungan mu antara bata, pasir dan simen pada manusia-manusia ini.
Hai tasbih yang bergantungan di sudut dinding. Berayun –ayun ditiup sang angin. Khabarkan pada mereka bijih-bijih tasbihmu bersatu tanpa kira masa dan musimnya. Bukan hanya waktu tengahari jumaat. Bukan hanya menanti hadirnya puasa. Sentiasa, bergabung menjadi dorongan kepada hamba manusia mendekati Tuhan. Bijih-bijih dihitung bersama ucapan pujian, syukur dan pengagungan,.
Sejadah, dinding musolla, tasbih, jam kitab-kitab, kipas, alas tikar kalian dan lampu kalimantang menjadi penyeri kepada ruangan sujud manusia ini. Keutuhan generasi terdahulu ditemani pelepah dan batang kurma, pasir-pasir gurun dan hamparan kain serta kulit. Kini kalian menemani generasi moden ini. Generasi yang masih meniti mencapai suatu kualiti. Sungguh pada kalian itu ada pengajaran bagi orang-orang berakal. Keinsafan dan peringatan pada ulul albab. Sungguh ini pati dalam hal yang ku perkatakan. Pesanan dari utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w.
Thursday, March 12, 2009
Mantan
Seakannya satu kelegaan,
Senyum lebar, kekeh berderai,
mantan,
suatu kegembiraan,
suatu ketenangan,
tidak lagi berat akal berfikir,
tidak lagi gundah emosi bermain,
benarkah akan semua ini?
Mantan, sepertinya suatu pelepasan,
Lepas dari satu ‘beban’,
‘beban’ atau ‘amanah’?
‘amanah’ atau ‘tanggungjawab’?
yang mana satu?
Mengapa yang itu?
Diri yang menentukan,
mantan hari ini, tidak hari esok,
pejawatan akan silih berganti,
dari hari ke hari,
dari tahap ke tahap,
tingkat ke tingkat,
sanggupkah kita?
Atas dasar apa ya dan tidak?
Kuasa pada Yang Esa,
Semalam adalah nikmat yang berlalu,
Hari ini anugerah yang diterima,
Esok bukan pengetahuan kita,
Baik atau buruk pada mata manusia,
Enggan dan menolak kegundahan hati,
Kesudahannya, penyerahan dengan keimanan,
Pengakhirannya penyerahan dengan keredaan,
Penyerahan dengan keihklasan dan keehsanan,
Kerana firman Yang Maha Mengetahui,
”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
Sunday, March 8, 2009
Rajawali Bahasaku
Hadir bahasa bertaut adat,
Hadir bahasa bertenun tradisional,
Bahasa kita seni kita,
Bahasa kita jiwa kita,
Bahasa kita asal-usul kita,
Bahasa itu petanda kewujudan kita,
Petanda tidak bangsa Melayu hilang didunia,
Terbanglah rajawali bahasa ku!
Terbang setinggi-tingginya,
gah di angkasa raya!
Apabila Hati Berasa Sunyi
Dalam hati ini, ada sesuatu yang ingin dikongsikan.
Dengan siapa? Dengan yang benar-benar mampu memahamiku.
Ya Tuhan, apakah aku ini benar-benar menjadi hambaMu?
Benar-benar sujud padaMu?
Wahai Penciptaku, dalam menjalani cara hidup yang diredaiMu, apakah aku hanya berpura-pura atau ikhlas berlari padaMu?
Apakah aku ini panjang umur penuh dosa atau padat amalnya?
Apakah aku sanggup menjadi benar meski seluruh dunia menjadi batil?
Mencari dan menanti jawapan yang hanya ada padaMu
“Cukup Allah bagi ku. Cukuplah Allah bagiku. Ya, Tuhan, tenangkanlah jiwaku, tenangkan hatiku. Ya Allah, Ya Tuhanku...“ tangislah, alirlah air mata menyuci jiwa. Mengalirlah!
Tenteramlah hati dengan keyakinan mengingatiNya akan tenang walau dalam apa keadaan sekalipun. hadirlah Qalbun salim!
Thursday, February 5, 2009
Telah Hadir Dalam Hidupku 1
Menoreh dosa dalam detik nafas hari-hari,
Lama ku dengari, lama ku ketahui,
Ghairah untuk diabadi dalam diri,
Namun masih jua tidak bersua,
Akhirnya, telah hadir dalam hidupku,
Kemuliaan dan kekuatan islam,
Memberi makna pada perjalanan masa usia
Saat aku berduka,
Saat aku tertunduk gelisah merenung tanah,
Saat aku lupa mendongak ke langit,
Lalu, telah hadir dalam hidupku cahaya petunjuk,
Membantu menerangi jalan hidupku,
Tidak pernah malap,
Dari menyinari cahayanya saban hari,
Busuk dosa menyelubungi,
Menghamiskan diri dari wangian pahala,
Syukur telah hadir keharumanku,
Dengan kelembutan belaiannya,
Moga sentiasa menjadi penyenang,
Dari deria menusuk ke hati,
Telah hadir pemberian Allah,
Terkadang disyukuri, terkadang dilupai,
Saat digenggaman dihargai,
Dimanfaatkan pada sang diri dan alam,
Saat ia tiada lagi terasa dirindui,
Telah hadir dalam hidupku kecerdikan,
Mencelikkan mindaku,
Meneraju visi hidupku,
Menala umbang ambingku,
Menjadi melodi yang indah abadi,
Telah hadir pengetahuan tinggi,
Memiliki kefahaman mendalam,
Meneliti dan menerobos hatiku,
Pada hal yang sering terlupakan,
Pada kelalaian yang mengecam,
Dan apakah pada pengakhiran hidupku,
Firdaus yang menjadi medan tenangnya hati,
Sejuknya mata, lapangnya akal,
Bakal hadir suatu hari nanti?
Saturday, January 24, 2009
Aku Tua Sebelum Usia!
“Kau dulu pernah datang rumah aku kan Zak?”
“Eh, tak! Ni lah pertama kali aku datang”
”Eh mana pulak, kau ada datang dulu dengan ’Izzat”
”Tak Wan. Tak pernah pun”
Hmm... bila difikir semula agak lama, rupanya memang betul. Razak tidak pernah ke rumah sebelum itu. Itulah pertama kali dia ke situ. Sebenarnya ’Izzat datang ketika itu dengan orang lain, Cik Su!
itu adalah salah satu contoh kelupaan yang dialami. Banyak lagi yang berlaku. Walhal perkara itu sebenarnya baru sahaja berlaku. Tak sampai pun belas tahun, malah ada yang peristiwa baru beberapa hari, ada yang beberapa jam sudah terlupa. Semakin lama, semakin teruk! Mengingat nombor jarang sekali.
Teman-teman kata,”Kau ni pelupa lah!” ”bahaya ni wan!”
Ya diakui. Diri ini memang pelupa. Tapi, saya selalu mencatatkan peristiwa-peristiwa atau hal-hal yang perlu dan penting. Sudah catat pun lupa lagi. Seperti suatu cerita. Seorang isteri meminta suaminya keluar membeli barang dapur. Lalu akibat sering lupa si suami meminta isterinya menuliskan senarai barang-barang yang hendak dibeli di atas kertas. Setelah ditulis, diserahkan senarai barang itu kepada suaminya. Tidak berapa lama selepas suaminya keluar, telefon rumah berdering.
”Assalamu alaikum, yang apa barang-barang yang hendak dibeli tadi?”
”Eh, abang ni! Kan saya dah bagi senarai tadi. Tengoklah pada senarai
tu”
”Bukan abang tak nak tengok tapi abang terlupa nak bawa senarai tadi”
Berat, berat. Payah kalau macam ini. Dalam berfikir panjang, aku ni dah nyanyuk ke? Teringat pula suatu cerita Korea tentang seorang isteri muda seorang arkitek yang mengalami penyakit nyanyuk, Alzheimer. Seram... seram... aku tak nak jadi macam tu! Sedih dan kesian. Pernah beberapa kali berdoa, ”Ya Allah, kuatkan ingatanku. Jangan biarkan aku berada dalam penyakit kelupaan. Sekiranya tidak sembuh pun, jangan biarkan kerana penyakit ini, aku menjadi beban kepada orang lain.”
Suatu hari ada seorang teman yang mengambil jurusan Sains Kemanusiaan berkata, ”Inilah yang dikatakan Short Term Memory Loss”
Short Term Memory Loss? Apakah halnya itu? Bila dicari di internet, banyak maklumat yang dijumpai tentang Short Term Memory Loss. Setelah membuat pembacaan dan penelitian, ini yang diperolehi. Punca kehilangan memori dalam masa singkat
1. Penyakit Alzheimer – penyakit ni muncul pada usia yang tua dan tiada ubatnya. Analisis: Uii, saya belum tua lagi. Baru dua puluhan. Lagipun, Allah dah berfirman setiap penyakit ada penyembuhnya. Yang di atas adalah tiada ubat secara saintifik.
2. Gula dalam darah – ini berkaitan dengan cara hidup moden. Kecenderungan tidak makan siang hari dan menggantikannya dengan makan banyak pada waktu malam. Ini menyebabkan ketidakstabilan gula dalam darah. Kurang gula dalam darah menyebabkan otak jadi lembap dan menjadi punca hilang ingatan masa singkat. Jadi amalan pemakanan perlu dijaga. Analisis: Gulp! Ini selalu saya amalkan. Bahaya!
3. Ketidakstabilan hormon – yang ini pun berkaitan dengan usia tua. Hormon tidak stabil menyebabkan sistem badan tidak berfungsi dengan sempurna. Analisis: jawapan yang sama dengan yang pertama, usiaku masih muda, hu hu hu.
4. Kemuraman dan minuman keras – tekanan dan masalah menyebabkan otak mengalami tekanan. Minuman keras dan dadah- termasuk ubat-ubatan boleh menggagalkan fungsi otak yang waras. Analisis: Alhamdulillah, setakat ini tidak bermuram. Minuman keras dan dadah jauh sekali. Larangan Allah cukup jelas terhadap benda yang menghilangkan kewarasan. Ubat... mungkin juga. Imunisasi badan tidak kuat, jadi kerap juga sakit ringan. Sekali telan dua tiga pil.
Punca sudah diketahui. Mari kita teliti cara-cara mengatasi kehilangan memori ini:
1. Berjumpa dengan doktor. Tujuannya untuk mengenalpasti tahap penyakit yang dialami dan punca-puncanya.
2. Memahami bahawa memori jangka pendek disimpan dalam otak hanya untuk beberapa minit dengan sedikit pengolahan atau pemprosesan. Adalah baik untuk menggabungkannya dengan memori jangka panjang.
3. Memori jangka pendek terhad mengingati beberapa hal. Biasanya 7 ke 15 hal bergantung kepada seeorang itu.
4. Mengulang-ngulang perkara yang mahu dikekalkan dalam minda. Ulangan mampu mengekalkan hal-hal dalam memori.
5. Dapatkan sekurang-kurangnya 8 jam tidur. Tidur yang mencukupi mampu membantu memori jangka pendek.
6. Jika hendak mengingati perkataan, jadikan perkataan itu satu ayat. Jika hendak mengingati nama orang, sebut berulang kali namanya bila bertemu.
7. Sebut dengan kuat perkara yang hendak diingati kerana itu melibatkan deria yang lain, justeru menambah peluang mengingatinya.
Selain cara-cara di atas, boleh juga ikhtiar dengan makan setiap hari vitamin A, C, E, B-complex vitamins, mineral seperti magnesium. Calcium, zinc dan selenium. Acid lemak omega-3 pula dimakan 1-3 sudu besar sekali ke tiga kali sehari. Banyak lagi yang makanan tambahan yang boleh diambil.
Moga-moga dengan apa yang tertulis sedikit sebanyak dapat memberi maklumat kepada teman-teman. Dan moga-moga permasalahan yang dihadapi berjaya diselesaikan atau dikurangkan dengan izin Allah.
Penyakit itu dari Allah, maka kepadaNya perlu kita kembali.
rujukan:
http://www.progressivehealth.com/short-term-memory.asp
http://hubpages.com/hub/Memory-Loss-Advisory