Sunday, March 15, 2009

Mesyuarat dengan Alam 3: Alam Sekunder




Kipas di syiling ligat berputar. Berkejaran bilah-bilah menari mengikut kelajuan yang diaturkan. Asbabnya tarian bilah, angin turut mengikut rentak. Bertiup menghembus lembut mengdatangi tubuh insan yang sujud pada Ilahi. Sejuk menyejat peluh dan menghapus kehangatan dari keriuhan pasar. Dari kepanasan kelakuan manusia-manusia. Sesekali kreok kipas mencelah bersama deruan halus melodi angin. Sayup-sayup gemersik zikir tasbih, tahmid, takbir. Jam berdetak, tik tik. Jarum jam, minit dan saat silih berganti berikit-dikit bergerak.

Wajah ditemukan dengan hamparan sejadah. Wahai sejadah hari ini aku menyaksikan betapa hebatnya ruh berjemaah. Kekuatan solat bersama-sama. Bahu bertemu bahu. Tumit lurus bersiri. Namun di sebalik kesedaran ini, aku juga menyaksikan manusia yang hanya berdiri sendiri. Melaksanakan perintah bersendirian meski nyata kelompok jemaah di depan mata.

Wahai sejadah, alangkah indahnya andai mereka mengerti bagaimana hebatnya solat berjemaah. Seperti kau sejadah. Dari seurat benang, bertemu uratan benang yang lain. Lain saiznya dan lain warnanya. Pertemuan itu pada satu kesatuan menjalin antara satu sama lain dan akhirnya lahirlah kau sejadah. Manusia juga lain saiznya dan warna kulitnya. Mereka bertemu pada hal yang satu, pengabdian pada Allah Tuhan sekelian alam.

Penaka juga dengan dinding yang membentuk musolla ini. Menjadi pelindung kepada kerendahan hati yang sujud tunduk pada Tuhan yang Satu. Dari ketulan bata yang merah kejinggaan. Satu satu disusun. Rapat antara satu sama lain. Lurus dan tepat. Menjalin ikatan bersama adunan simen dan pasir halus. Disapu, diraup, diratakan. Akhirnya semua sama. Tidak ada tinggi darjat antara bata, pasir atau simen. Kamu semua tetap sama diciptakan oleh Tuhan. Keutuhan mu yang diperkirakan.

Pada saf-saf solat, manusia semua sama. Darjat dan pangkat keduniaan tidak dipeduli. Sujud sama rendah. Solat berjemaah menjalin perasaan mengenali dan menyayangi. Yang diperhitung Tuhan ialah keimanan dan ketaqwaan. Tidak ada kaitan rupa parasmu. Wahai, dinding caknakan keutuhan hubungan mu antara bata, pasir dan simen pada manusia-manusia ini.

Hai tasbih yang bergantungan di sudut dinding. Berayun –ayun ditiup sang angin. Khabarkan pada mereka bijih-bijih tasbihmu bersatu tanpa kira masa dan musimnya. Bukan hanya waktu tengahari jumaat. Bukan hanya menanti hadirnya puasa. Sentiasa, bergabung menjadi dorongan kepada hamba manusia mendekati Tuhan. Bijih-bijih dihitung bersama ucapan pujian, syukur dan pengagungan,.

Sejadah, dinding musolla, tasbih, jam kitab-kitab, kipas, alas tikar kalian dan lampu kalimantang menjadi penyeri kepada ruangan sujud manusia ini. Keutuhan generasi terdahulu ditemani pelepah dan batang kurma, pasir-pasir gurun dan hamparan kain serta kulit. Kini kalian menemani generasi moden ini. Generasi yang masih meniti mencapai suatu kualiti. Sungguh pada kalian itu ada pengajaran bagi orang-orang berakal. Keinsafan dan peringatan pada ulul albab. Sungguh ini pati dalam hal yang ku perkatakan. Pesanan dari utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w.

No comments:

Post a Comment