Tuesday, November 10, 2009

Kebangkitan: Hadis Pertama


Jangan Suka Menyalahkan Orang Lain

“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Jika ada seseorang berkata, “orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka”. H.R Muslim

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Riyadhus Shalihin: “Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahwa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram”.

“Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya”.

Hadis ini diletakkan di awal buku supaya menjadi suatu peringatan kepada kita kerana di dalam hadis-hadis akhir zaman terkandung pelbagai realiti umat yang hilang nilai diri. Maka, apabila kita menyorot dan menghurai hadis-hadis tersebut hendaklah berlindung diri kepada Allah dari bangga dan ujub kerana baiknya kita tetapi harus merenung dan menilai diri sendiri di manakah letaknya kita.

Moden ini, kita cenderung untuk melihat betapa salahnya orang. Betapa teruknya orang tanpa sedar hakikatnya mereka itu adalah cerminan diri kita. New World Order membentuk pemikiran kita supaya lebih banyak berdebat, mengkritik dari mencari penyelesaiannya melalui filem-filem, media-media dan pelbagai lagi medium yang tanpa sedar meracuni pemikiran kita dari membentuk suatu keadaan mencari kesejahteraan. Menjauhkan kita dari berjalan melata melebarkan ”SALAM”. Manusia diasah nilai haiwannya menjadi rakus. Tuding menuding. Saman menyaman.

Apakah keadaan semakin baik? Apakah masyarakat kita menjadi masyarakat yang prihatin? Masyarakat yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat. Ambil tahu tentang kemelaratan, kesengsaraan dan serangan umat itu sendiri. Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak ada lagi orang yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat? Inilah apa yang menjadi perancangan utama salibiah, zionisme. Menghilangkan perasaan kepedulian terhadap kesedaran bertuhan. Menghapuskan rasa peduli, kasih mengasihi di antara sesama manusia.

Berkenaan huraian Imam Nawawi yang kedua, orang seperti yang dihuraikan adalah sesuatu yang baik. Orang itu adalah orang yang punya kesedaran. Orang yang melihat dan berfikir tentang umat. Menganalisis, mencari punca, mencari jalan penyelesaian dan menyebarkan kesedaran.

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyebut dalam ucapan beliau dalam muktamar ABIM, orang semakin hilang kesedaran tentang dosa, tentang akhirat. Dalam suasana seperti inilah perlunya kita tampil dengan semangat baru membina masyarakat yang beragama. Masyarakat yang beragama kalau hendak diungkapkan barangkali ada bermacam-macam versi. Yang dimaksudkan dengan masyarakat yang beragama seperti yang terdapat dalam ayat 112 surah At-Taubah.

”Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman”. (rujuk ayat 111 untuk mengetahui siapakah ”mereka” yang disebut dalam ayat 112)

Masyarakat yang sentiasa bertaubat, mengoreksi diri, bermuhasabah. Masyarakat yang sentiasa mengabdi kepada Ilahi, masyarakat yang God Conscious. Masyarakat yang sedar peranannya terhadap perkara ma’ruf dan mungkar. Masyarakat yang segala tindak tanduknya segala langkahnya dipenuhi dengan kesedaran tentang hukum-hakam, nilai-nilai dan prinsip-prinsip ketuhanan.


Inilah yang menjadi kekuatan umat yang terdahulu. Umat zaman kegemilangan, zaman kemurnian Islam. Yang mengawal mereka bukanlah undang-undang, bukanlah pihak berkuasa tetapi ialah kepekaan, kepedulian masyarakat yang apabila melihat gejala-gejala penyelewengan, penyimpangan mereka spontan akan bertindak. Masyarakat yang tidak tidur, tidak terpedaya dengan proganda dan permainan ilusi musuh-musuh Islam. Mereka menjadi ”The Enlightened Soul” (TES). Dato’ Dr. Siddiq Fadzil juga menghuraikan tentang TES. Seperti berikut:

Menurut Ali Shariati mereka ini bukan sekadar intelektual atau ilmuwan kerana banyak ilmuwan, banyak intelektual hilang kesedaran diri dan kesedaran kemasyarakatan. Yang disebut sebagai TES, jiwa yang mengalami pencerahan adalah yang punya kesedaran tentang hakikat dirinya dan punya sensitiviti dan kepekaan terhadap masyarakat. Jiwanya terpanggil untuk membela dan membina masyarakat. Ayat 20 dari surah Yasin menceritakan tentang manusia yang punya kepekaan yang mendalam. Yang sensitif. Yang sentiasa terpanggil untuk membina dan membela ummat.

”Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ”Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”

Dari ayat tersebut menyatakan datang dari hujung kota, bermakna dari jauh dia datang dengan susah payah (dengan bergegas). Kalimah yas’a memberi makna berusaha dengan susah payah dari jauh. Dia datang dengan keadaan tersebut untuk mendatangi kaumnya yang menolak seruan rasul dan menyeru supaya kaumnya mengikut ajaran utusan-utusan (rujuk ayat 13, perkataan mursalin). Siapa orang ini? Inilah TES yang al-Quran sebut sebagai ”rojulun” yang menunjukkan orang ini bukan orang besar, bukan orang kenamaan, bukan somebody.

Kita harus menjadi orang yang seperti ini. Bermakna tidak perlu menjadi orang besar untuk punya jiwa TES. Orang yang punya jiwa seperti ini punya matlamat, punya misi untuk memberikan pencerahan kepada orang lain. Dengan kata tindakan kita harus mencerahkan massa, masyarakat.. Tanwir ul ummah. Memberikan pencerahan, kesedaran kepada umat. Membangkitkan umat memanfaatkan cahaya.

Sekiranya kita tidak membina masyarakat yang sedar, masyarakat yang God Conscious, maka tidak akan ada lagi orang yang peka dan sensitif terhadap apa yang berlaku kepada umat. Terbiarlah umat berada dalam keadaan lalai dan ingkar terhadap Tuhan.

Sunday, November 8, 2009

Kebangkitan


Siapakah yang mengawal minda kita? Siapakah yang mengawal urusan harian kita? Siapakah yang mengawal urusan kewangan kita? Pemakanan kita? Siapakah yang mengawal kitar hidup kita? Menentukan apa yang boleh kita buat dan apa yang tidak boleh kita buat. Siapa yang meletakkan piawaiannya? Apakah pandangan alam kita? Hanifkah (luruskah) atau belok-belok? Manusia yang menjadi robot, robot yang dimanusiakan.

Saat tidak berjaya memenangi umat Islam dalam siri perang Salib dek kerana perjuangan tentera Islam itu yang dahagakan kematian syahid, musuh Islam bertekad menghancurkan hati murni umat Islam. Serangan 5 S.

Sekularisma, materialisme, hedonisme, liberalisme, dan pelbagai isme yang menyerang. Semuanya atas satu dasar membawa manusia jauh dari matlamat asal kewujudan. Melalaikan kita dari mengingati Tuhan yang Ahad. Melekakan kita dengan dunia, menjauhkan kita dari berfikir kehidupan yang kekal. Modenisasi. Globalisasi. Millenium. Teknologi.

Pelbagai permasalahan timbul. Setiap orang tidak terlepas. Pasti menjadi sasaran. Umat seakan hilang kebebasan menuju Tuhan. Diri terbelenggu mempersekutukan Tuhan yang Esa dengan segala macam dunia. Tenggelam dalam ilusi yang diciptakan. The system. Mind Control. New World Order.

Berdasarkan buku Empat Puluh Hadis tentang Peristiwa Akhir Zaman. Terbitan Pustaka Al-Wasit. Siri ini akan membawa kita bermuhasabah dan melihat apakah yang sebenarnya telah berlaku disekeliling dalam kehidupan kita….

“Ya Allah, kami berlindung pada Allah dari menyekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun daripada sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun daripada (menyekutukanMu) dengan sesuatu yang tidak kami ketahui”

Thursday, November 5, 2009

Hungry Man

A man sat alone, drenched deep in sadness, and all the animals drew near to him and said,

"We do not like to see you so sad. Ask us for whatever you wish and you shall have it"

The man said, "I want to have good sight"

The vulture replied, "You shall have mine"

The man said, "I want to be strong"

The jaguar said, "You shall be strong like me"

Then the man said, "I long to know the secrets of the earth"

The serpent (snake) replied, "I will show them to you"

And so it went with all the animals. and when the man had all the gifts that they could give, he left.

Then the owl said to the other animals, "Now the man knows much and is able to do many things"

The deer said, "The man has all that he needs. Now his sadness will stop"
But the owl replied, "No, I saw a hole in the man. Deep like a hunger he will never fill. It is what makes him sad and what makes him want. He will go on taking and taking until one day the world will say:” I am no more and have nothing left to give"."

Do you know what this story is about? Get it?

Rujukan petikan dialog – The Arrival, episode 23

Tuesday, November 3, 2009

Tuhan, Aku Tidak Tahu


Beberapa hari ini hangat dengan isu berkisar perihal Dr. Asri, JAIS, YADIM, Persatuam Peguam Syarie, 13 NGO, memorandum, perlantikan sebagai pengarah YADIM dan macam-macam lagi. Tidak mahu banyak komen.

Sebahagian mungkin sudah masak dengan hal-hal berkaitan, manakala sebahagian lagi masih terpinga-pinga. Ada yang responsif ada yang buat tidak tahu. Ada yang tajam, ada yang sinis dan ada yang O.K la. Ada yang sokong ada yang lawan. Menarik untuk dijengah dan dibaca adalah artikel Ust Hasrizal bertajuk Justifikasi Seorang Teman (rujuk laman web beliau)

Aku? Aku tidak tahu.

Saat fajar menjelma, diri ini berbisik kepada Tuhan, dalam dingin embun dinihari,

"Wahai Tuhanku, sungguh aku tidak akan pernah tahu apa yang Kau aturkan buat kami. Aku berada dalam keadaan sungguh tidak tahu. Ya Allah, ummat ini. Ya Allah, ad-deen ini, Islam. Wahai Tuhanku, saat aku berada dalam ketidaktahuan ini, pimpinlah daku menuju jalan redhaMu. Palingkan aku diatas ketaatan kepadaMu. Tetapkan hatiku hanya padaMu"

"Tuhanku, dalam kami menghadapi cabaran dan hari-hari mendatang, berikan kami petunjuk, pandulah kami dalam membuat keputusan yang terbaik. Keputusan yang membawa kebaikan kepada ummah, kepada alam ini sama ada yang kami ketahui atau tidak"

"Wahai Tuhan, aku tidak tahu kerana itu aku berserah padaMu..."

Seminar Pendidikan Tinggi Islam: Membina Generasi Ulu'l Albab

Pada hari Sabtu, bersamaan 31 Oktober 2009, beberapa wakil PKPIM UIAM telah menyertai sebuah seminar Pendidikan Tinggi Islam sempena sambutan 20 tahun Kolej Dar al-Hikmah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi . Tema seminar tersebut adalah ‘Membina Generasi Ilmuwan Ulu’l Albab.

PKPIM-ABIM-WADAH komited terhadap aspek pendidikan Islami yang menjadi tunjang utama dalam perjuangan kami. Justru itu, seminar ini adalah suatu manifestasi kepada perjuangan itu. Kehadiran peserta amat memberangsangkan dimana dewan auditorium dipenuhi dengan pecinta-pecinta ilmu pelbagai lapisan umur sehingga kerusi tambahan terpaksa disediakan.

Antara pembentang-pembentang kertas kerja yang menjayakan seminar itu adalah Prof. Emiritus Dr. Osman Bakar, Al-Fadhil Ustaz Uthman El-Muhammady, Dr. Ahmad Satori Ismail, Prof. Nik Aziz Nik Pa, Dr. Yap Sin Tian dan Prof Dr. Sidek Baba. Secara umum, kertas kerja yang dibentangkan berkisarkan tentang siapakah Ulu al-Albab, pendidikan al-Hikmah dan cabaran pendidikan yang liberatif.

Seminar yang berlangsung pada jam 9 pagi dimulai dengan ucaptama yang menampilkan ilmuwan yang banyak berjasa, Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Intipati ucapan beliau berkisarkan ‘Ulu al-Albab: Model Keintelektualan Islam yang Murni dan Masa Depannya yang Dinantikan’. Beliau menekankan konsep ‘intelek murni’ bagi tujuan memudahkan masyarakat awam dan bukan Islam mendekati wacana ilmiah Islam dalam menerangkan dan memahami konsep Ulu al-Albab.

Apakah yang dimaksudkan dengan intelek murni Ulu al-Albab (UA)? Dalam kertas kerja yang disediakan, beliau menyebut “intelek murni UA ternyata ialah intelek yang amat bimbang, bukan terhadap pertimbangan atau sanjungan manusia, tetapi terhadap pertimbangan negatif Ilahi yang membawa kepada kehinaan yang paling memalukan di hadapan Allah (S.W.T).......UA bukanlah ilmuwan atau cendikiawan yang dihimpit oleh penyakit ‘ujub atau inginkan sanjungan dan pujian manusia kerana merasakan kehebatan yang terdapat pada dirinya.”

Dalam perenggan lain, Prof .Muhammad Kamal menyebut, “ intelek-intelek murni inilah yang telah menggabungkan ilmu agama dengan ilmu dunya dan ilmu alam tabi’i sebagai asas pembangunan peradaban Islam yang bersepadu di zaman kegemilangannya.”

Umum telahpun mengetahui peri pentingnya pendidikan dalam melahirkan masyarakat manusia yang beramal soleh dan beradab. Namun, persoalan utama ialah penghayatan terhadap falsafah kependidikan ini yang masih lagi gersang dikalangan masyarakat. Faktor luaran seperi indusri pendidikan telah melahirkan golongan masyarakat yang berlumba-lumba menimba illmu untuk kepentingan peribadi, pendidikan humanis-sekular yang menolak kewujudan Tuhan telah melahirkan manusia-manusia ingkar dan angkuh dan pebagai faktor lain yang merugikan.

Sehubungan dengan itu, pendidikan Islami hadir sebagai alternatif kepada kepincangan-kepincangan pendidikan acuan Barat. Falsafah pendidikan Islam bertitik tolak daripada Falsafah tauhid, dimana pada akhirnya ia melahirkan manusia dan ilmuan yang disebut didalam al-Quran sebagai ULU AL-ALBAB. Jadinya, pemerkasaan pendidikan Islami harus dijayakan dari semasa ke semasa oleh semua pihak. InsyaAllah.

Bismillahirrahmanirrahim,

“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak didengar, dan amal yang tidak diterima.

Ya Allah, keluarkanlah kami dari kegelapan prasangka, muliakanlah kami dengan cahaya kefahaman, bukakanlah pengertian ilmu kepada kami dan bukalah untuk kami pintu-pintu anugerah-Mu, wahai Zat yang Paling Penyayang.

Ya Allah, terangilah pandangan kami dengan Al-Qur’an. Dan dengannya lapangkanlah hati kami dan dapatlah kiranya beramal dengannya. Lancarkanlah lidah kami dalam mengucapkannya, dan teguhkanlah hati kami dengannya dan percepatkanlah kefahaman kami dengannya serta teguhkanlah tujuan kami dengannya dengan sebab daya dan kekuatan-Mu, kerana tiada upaya untuk menjauhkan maksiat, melainkan dengan pertolongan-Mu, Ya Tuhan Maha Pengasih sekalian yang berkasih sayang.

Ya Allah, kami menitipkan kepada-Mu ilmu yang telah Engkau ajarkan kepada kami, maka perkenankanlah kiranya Engkau mengembalikannya lagi kepada kami ketika kami memerlukannya. Dan janganlah hendaknya Engkau melupakannya, wahai Tuhan semesta alam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

rujukan: momentumuiam.blogspot.com