Sunday, July 29, 2007

Lambakan janji

“I am sick of promises” tersentak saya membacanya. Berfikir sejenak. Ligat otak berputar, mengapa timbul ayat seperti ini? Setelah bermuhasabah sebentar, ya, ayat ini tepat mengena pada saya.

Mengapa? Kerana banyak janji-janji yang ditabur tidak dijaga, ditinggalkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Tindakan yang setanding dengan ungkapan dan kata-kata yang terpacul dari mulut. Semakin banyak semakin terlupakan. Bertimbun-timbun janji menanti untuk ditepati. Yang ingat belum tentu terlarat dipenuhi, apatah lagi yang hilang dari ingatan. Ya Allah, betapa aku lalai!

Memungkiri janji, itulah sifat munafiqun. Apakah saya mahu sifat itu tertanam dalam diri? Sudah tentu tidak mahu, tetapi tanpa sedar saya membiarkan sifat memungkiri janji ini mengakar di hati.

Dalam gerakan kita menabur janji kepada yang dinaikkan, “jangan risau, kamu boleh. Kami akan bantu. Kami yakin kamu boleh” kita kata dia boleh, tapi dia kata? Kita kata kita akan bantu, tapi dia dapat? Lalu kita berjanji lagi tanpa ditepati, akhirnya, orang yang dijanji tawar hati, fed up. Terus timbul keraguan dan hilang kepercayaan terhadap apa yang kita kata mahupun janjikan. Ah, sudahlah kau, manis mulut lempar janji, tak pernah sampai padaku. “Aku akan sentiasa berada di sisi kau“ kononnya, tapi rupanya tak ke sisi, menyepi.

Sejak mendapat mesej ‚aku bosan dengan janji’, saya semakin risau dan berfikir berkali-kali sebelum berjanji. Mungkin tak nak pun buat janji. Fokus kepada mengotakan yang sudah dilafazkan. Jangan lupa janji roh manusia semasa di Lauh Mahfuz.

Harus diteliti semula surah al-Kahfi ayat 23 dan 24. Manusia sering memungkiri janji, tetapi Allah pasti akan mengotakan janjiNya pada orang yang menjaga kata-kata dan janjinya! Kadang kala kita terlalu melihat kepada sesuatu yang dirasakan penting, tapi lupa dan lalai kepada perkara semacam ini.

Saya terlupa

Dalam saya berfikiran kritikal terhadap orang, seringkali saya terlupa untuk kritikal terhadap diri. Saya juga lupa melihat dan mencari kesalahan diri tatkala saya cenderung menilai dan mengungkit salah orang. Ketika saya memperbetulkan orang, saya lalai membetulkan dan muhasabah diri.

Saat saya petah berkata, berapi-api, bersemangat, akhirnya saya lupa melaksanakan, lalu terpadam kata-kata berapi dengan hujan alasan, lenyap semangat ditelan masa. Saya turut alpa mengamalkan ilmu yang disampaikan kepada orang yang saya beria-ria suruh orang beramal.

Saya lupa pada amanah dan tanggungjawab sebagai hamba, anak, abang, adik, sahabat, pelajar, jiran dan lain-lain. Saya lupa menepati janji dengan Tuhan, tatkala bersungguh dengan janji manusia. Saya membaca dan mengangkat tinggi buku-buku dan idealisma manusia hingga lupa al-Quran dan perintah Tuhan.

Saya lalai dengan program yang disuruh Tuhan seperti bangun malam, tapi tak pula saya lupa dengan program diri sendiri tidur siang dan malam. Lupa hidup penuh tujuan seolah-olah hidup untuk rehat dan bersantai. Cukup! Memang banyak saya lupa. Apakah semasa menulis ini saya ada terlupa? Sebenarnya, saya lupa pada Tuhan! Maka perlu untuk kembali padaNya sebagaimana yang disuruh Allah dalam surah al-Kahfi ayat 24.

Saturday, July 21, 2007

Semalu

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut.Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu

Friday, July 20, 2007

Usia Persahabatan Mempengaruhi Kemesraan

pakai tandas
6 minggu: tak apa, kau dulu aje lah, aku tak buru2 .
6 bulan: masih lama tak nih?
6 tahun: brug! brug! brug! (suara pintu digegar), kalau nak bertapa pi lah gunung ledang sana !!

Balas SMS:
6 minggu: iye, takpe aku tolong, jap g aku datang bilik kau,
6 bulan: jap ye..
6 tahun: k..

Memaafkan:
6 minggu: Sudahlah, tak apa, dah pecah pun, nanti beli yang lain
6 bulan: huh, nasib baik mood tengah baik.
6 tahun: jangan harap!

pinjam baca buku:
6 minggu: nak pinjam? takpe ambillah.
6 bulan : Sekejap eh, aku tengah baca.
6 tahun: nak, beli la sendiri!

makan
6 minggu: tak de duit? takpe, aku belanja.
6 bulan: sorilah aku pun cukup-cukup je.
6 tahun: aku lapar ni! aku tengah makan, jangan kacau!

pergi kelas
6 minggu: kelas kau kol berapa? jom gerak sekali.
6 bulan: wei, aku g dulu.
6 tahun: lambatlah kau! tap tap tap (bunyi tapak kaki)

Telefon:
6 minggu: ada orang nak cakap dengan kau!
6 bulan : Eh...tepon kau bunyi...
6 tahun : WOOIII TELFON BUNYI TUUUHHH....ANGKAT AH!!!

birthday:
6 minggu : suprise, selamat hari jadi! ni kek kau
6 bulan : aku mampu bg kad je..
6 tahun : birthday kau? bila? lupa la..

benarkah perkara ini berlaku? moga-moga tidak...

Jawapan pada anda

Anda tonton kartun? Anda tonton filem? Drama? Jenis apa yang anda suka tonton? Fiksyen? Agama? Seram? Komedi? Komik pula? Dapat manfaat daripadanya? Apa dia? Seronok? Sedih? Pengajaran? Atau tiada? Sejauh mana memberi kebaikan atau manfaat pada anda? Bahagian mana diri atau kehidupan anda mendapat manfaat darinya? Benarkah? Ada impak yang baik atau buruk? Bagaimana pula dengan adik-adik kita? Keluarga kita? Adakah mereka juga turut mendapat natijah yang baik? Ke buruk?

Adik-adik anda arif tentang kartun atau super hero kegemarannya? Sejauh mana pengetahuannya terhadap perkara itu? Banyakkah atau ketarakah nilai-nilai insani yang ditonjolkan? Adakah mereka mempelajari sesuatu dan mengamalkannya dari kartun yang diminati dan ditontonnya hampir setiap hari? Apa dia? Pelajaran bagaimana berlawan? Atau pelajaran bagaimana memperolehi kuasa ajaib atau sihir? Ke bersikap kurang sopan terhadap ibu bapa, keluarga dan sahabat?
Ada mereka belajar nilai yang baik? Apa dia? Bersemangat kental dan tidak putus asa? Yakin pada diri? Benarkah mereka belajar amal baik itu? Anda yakin? Pernahkah anda beritahu atau bercerita tentang pengajaran yang terkandung dalam cerita kartun yang ditonton kepada adik-adik agar mereka mendapat mendapat manfaatnya? Pernahkah anda mengajarkan kepada mereka apa yang betul dan apa yang salah selepas mereka menontonnya?

Bagaimana pula tentang asas-asas fardhu ain? Al-quran? Adakah mereka diajar ilmu al-Quran dan menghafaz surah-surah? Sudahkah sebati dalam diri mereka? Boleh cerita dan amal dengan baik? Adakah mereka sudah diajarkan sebaik mungkin mengenai Allah, Tuhan kita? Mereka tahu kisah Nabi Muhammad, nabi-nabi, para sahabat, tokoh agung islam? Tahu sebaik mereka tahu mengenai kartun dan super hero atau ‘games’? bukankah agama, sejarah dan kisah tersebut punya lebih banyak nilainya? Bukankah banyak prinsip islam terkandung dalamnya? Adakah anda memainkan peranan memberitahu mereka mengenai perkara ini pada mereka?

Sekarang, anda nilai, yang mana sebenarnya yang utama, yang lebih penting, yang mana lebih bernilai, yang mana yang haq, yang mana yang berada dalam kebenaran. Apa pendirian anda? Bagaimana dan di mana kita letakkan dan sesuaikan dengan prinsip-prinsip Islam dalam menerima perkara dunia? Kita harus bijak dalam hal ini. Kita tidak mesti menolak, tetapi kita apa yang perlu kita buat ialah menapis dan menyaring yang batil, tinggalkan yang haq. Tontonlah kartun, filem, drama dan sebagainya, tetapi tontonlah secara bijak. Bacalah komik, majalah atau sebagainya, tetapi bacalah secara bijak. Be smart! Akhir sekali, saya nak tanya, perlu kita ulas panjang atau kita sudah faham?

Nikah lagi!!!

Cerita ini saya dapat dari seseorang, memang menarik

"Abang, minta izin untuk nikah sorang lagi,"

Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur.

Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2
keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
]
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

"Abang, Aliyah setuju dengan permintaan Abg. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.
Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya.

Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.. Dan dia, hanya mendapat senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abg," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau.

"Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abg dah lama hidup
dengannya. Abg faham,"

Qistina mengalih pandangannya. Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina.

Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid
Putra.

Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra. Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca AlQuran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya.

Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.

Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.
"Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abg jadikan isteri. Qis tidak
sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya utk bersama Abg," Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

**********************************************************************
Kepada:
Asraf Mukmin,
Suami yang tersayang...

**********************************************************************

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

**********************************************************************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani, Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu.

Abg yang dikasihi,
Genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abg membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abg. Aliyah tak sanggup Abg diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abg sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana, apatah lagi
Abg nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abg...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abg. Aliyah tahu selera Abg hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abg sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abg muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abg...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abg yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abg nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abg...

Abg yang disayangi,
Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abg mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abg mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abg yang dicintai,
Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abg di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abg ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di sawarak. Menunggu Abg...Aliyah sayangkan Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abg, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abg..tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abg, roti canai..air tangan Aliyah.

Salam sayang,
Aliyah Najihah binti Mohd Hazery

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum! Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!!!!!

****************************************************

MORAL OF THE STORY : Bersyukurlah dengan apa yg kita ada. Cinta pada kecantikan tidak akan kekal selamanya.. You would only appreciate things when you lost it..

Sunday, July 1, 2007

Hak Sahabat


Tit! Tit! Telefon bimbit saya berbunyi. Mesej baru masuk (begitulah lebih kurang bunyinya, walaupun sebenarnya adalah lagu jejak rasul). Saya mencapai telefon bimbit pemberian abah, dan dengan pantas menekan butang ”show”. Lalu terpampanglah mesej berikut yang dihantar oleh seorang sahabat saya yang kecil molek:

”Macamana kita nak puaskan hati sahabat-sahabat?” Hmm... saya pun mula berfikir, lalu saya pun menaip ayat-ayat ini:

”Antara sahabat ada hak yang perlu ditunaikan. Maka hak mereka ini yang harus diambil kira. Kita tunaikan hak mereka, seperti disayangi, diziarahi dan lain-lain”.

Hmm... bolehlah agaknya. Lalu saya terus hantar mesej tersebut. Setelah beberapa saat (agaknya) saya hantar lagi mesej.

”Seringkali kita menuntut hak kita tapi kita lupa menunaikan hak sahabat kita. Jangan risau tentang hak kita yang tidak ditunaikan, tetapi fikirkan tentang hak sahabat kita yang perlu kita tunaikan. Itu lebih baik. Apabila masing-masing saling menunaikan hak jadi tidak akan timbul rasa ketidakpuasan hati”

Setelah beberapa lama, sahabat saya membalas. ”kalau kita dah tunaikan hak, tapi dia masih tak puas hati?”

Hmmm... saya diam berfikir. Pandangan anda?

Pada saya konsepnya mudah – seperti pipit mahu memadamkan api yang membakar nabi Ibrahim – buat dulu kerja kita. Dalam persahabatan yang sebenar, kita akan menghadapi suka dan duka. Suka dan duka seharusnya diharungi bersama, baru boleh rasa erti persahabatan.

Tak Terdaya Kita

Selepas habis rekrut pada 9 jun 2007, saya bercuti lebih kurang sebulan lebih. Dalam jangka masa itu, saya berada di rumah menjadi ’suri rumah’. Suri rumah? Ya, menggantikan umi saya menguruskan rumah, memandangkan umi sudah mula bekerja semula setelah dua tahun menyambung pengajiannya di UKM.

Sepanjang sebulan, banyak kerja (banyak pada saya, tetapi tidak bagi umi)yang perlu dibuat. Bermula seawal jam 5 pagi, kejutkan adik perempuan, bersiap untuk sekolah. Kemudian jam 7 pagi pula menghantar dua orang adik lelaki ke sekolah agama. Seterusnya membasuh baju (beruntung sudah moden, ada mesin basuh) sambil masak sarapan pagi. Siap memasak dan membasuh baju, sidai baju. Selesai sekitar jam 10 lebih. Kemudian bersedia untuk menyediakan makan tengahari dan bekal untuk adik-adik lelaki saya. Seterusnya rehat dan solat.

Petangnya pula, angkat baju dan lipat. Kemudian siapkan makan malam. Jam 6 petang pergi ambil adik di sekolah. Sesudah itu, mandi, makan malam dan solat maghrib. Selanjutnya, tadarus Al-Quran, solat isya’. Selesai solat, bantu adik-adik siapkan kerja rumah. Akhir sekali, waktu yang ditunggu, tidur.

Begitulah rutin hampir sebulan. Penat? Anda rasa? Huh, boleh tahan! Kadang-kadang terasa, ’ai, kenapa aku kena buat kerja ni?’ ’kan sedap kalau aku, pergi program ke atau rehlah ke’.

Tapi apabila bertafakur selepas solat, terfikir dek akal, terdetik di hati, ’kenapa ya aku diatur melakukan tugas-tugas ni?’. Ya Allah, tunjukkanlah aku akan hikmahnya. Bertafakur lagi, ’hmm... aku sebahagian daripada keluarga ni. Jadi memang dah tanggungjawab aku melaksanakan tugas-tugas yang diberi. Kalau tak nak buat, jangan duduk dalam keluarga. Aku ada peranan dalam keluarga. Aku seharunya memainkan peranan sebagai anak, adik dan abang sebaiknya. Aku harus bersama ahli keluarga yang lain wujudkan biah solehah dalam keluarga. Ya, aku ada peranan yang perlu dimainkan! Jadi jangan merungut!’

Hmmm... ya betul, jangan merungut nanti sia-sia. Saya termenung sejenak, cuba mengingat kembali apa yang telah difikirkan sebentar tadi, ayat ’jangan merungut’ terngiang-ngiang berulang-ulang kali. Merungut? ’Ai, aku baru buat kerja sikit dah merungut? Yang selama ni buat kerja-kerja tu siapa? Umilah!’ astaghfirullah! Ridhwan, Ridhwan... tak pernah dia merungut. Dah berpuluh tahun, umi tak merungut pun.

Umi memainkan peranan sebagai ibu, ikhlas, tidak minta dibalas, demi anak-anak. Ramai mana pun anak dia, banyak mana pun kerja yang perlu dibuat, tambah lagi bekerja, tetap dia laksanakan. Tanpa banyak bicara. Hakikatnya kita tak mampu berkorban seperti berkorbannya seorang ibu. Tak terdaya kita. Tak larat kita. Seorang ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi ramai anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Moga-moga usia yang ada digunakan semaksimanya untuk berbakti pada wanita bernama ibu!