Sunday, July 1, 2007

Tak Terdaya Kita

Selepas habis rekrut pada 9 jun 2007, saya bercuti lebih kurang sebulan lebih. Dalam jangka masa itu, saya berada di rumah menjadi ’suri rumah’. Suri rumah? Ya, menggantikan umi saya menguruskan rumah, memandangkan umi sudah mula bekerja semula setelah dua tahun menyambung pengajiannya di UKM.

Sepanjang sebulan, banyak kerja (banyak pada saya, tetapi tidak bagi umi)yang perlu dibuat. Bermula seawal jam 5 pagi, kejutkan adik perempuan, bersiap untuk sekolah. Kemudian jam 7 pagi pula menghantar dua orang adik lelaki ke sekolah agama. Seterusnya membasuh baju (beruntung sudah moden, ada mesin basuh) sambil masak sarapan pagi. Siap memasak dan membasuh baju, sidai baju. Selesai sekitar jam 10 lebih. Kemudian bersedia untuk menyediakan makan tengahari dan bekal untuk adik-adik lelaki saya. Seterusnya rehat dan solat.

Petangnya pula, angkat baju dan lipat. Kemudian siapkan makan malam. Jam 6 petang pergi ambil adik di sekolah. Sesudah itu, mandi, makan malam dan solat maghrib. Selanjutnya, tadarus Al-Quran, solat isya’. Selesai solat, bantu adik-adik siapkan kerja rumah. Akhir sekali, waktu yang ditunggu, tidur.

Begitulah rutin hampir sebulan. Penat? Anda rasa? Huh, boleh tahan! Kadang-kadang terasa, ’ai, kenapa aku kena buat kerja ni?’ ’kan sedap kalau aku, pergi program ke atau rehlah ke’.

Tapi apabila bertafakur selepas solat, terfikir dek akal, terdetik di hati, ’kenapa ya aku diatur melakukan tugas-tugas ni?’. Ya Allah, tunjukkanlah aku akan hikmahnya. Bertafakur lagi, ’hmm... aku sebahagian daripada keluarga ni. Jadi memang dah tanggungjawab aku melaksanakan tugas-tugas yang diberi. Kalau tak nak buat, jangan duduk dalam keluarga. Aku ada peranan dalam keluarga. Aku seharunya memainkan peranan sebagai anak, adik dan abang sebaiknya. Aku harus bersama ahli keluarga yang lain wujudkan biah solehah dalam keluarga. Ya, aku ada peranan yang perlu dimainkan! Jadi jangan merungut!’

Hmmm... ya betul, jangan merungut nanti sia-sia. Saya termenung sejenak, cuba mengingat kembali apa yang telah difikirkan sebentar tadi, ayat ’jangan merungut’ terngiang-ngiang berulang-ulang kali. Merungut? ’Ai, aku baru buat kerja sikit dah merungut? Yang selama ni buat kerja-kerja tu siapa? Umilah!’ astaghfirullah! Ridhwan, Ridhwan... tak pernah dia merungut. Dah berpuluh tahun, umi tak merungut pun.

Umi memainkan peranan sebagai ibu, ikhlas, tidak minta dibalas, demi anak-anak. Ramai mana pun anak dia, banyak mana pun kerja yang perlu dibuat, tambah lagi bekerja, tetap dia laksanakan. Tanpa banyak bicara. Hakikatnya kita tak mampu berkorban seperti berkorbannya seorang ibu. Tak terdaya kita. Tak larat kita. Seorang ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi ramai anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Moga-moga usia yang ada digunakan semaksimanya untuk berbakti pada wanita bernama ibu!

2 comments:

  1. Salam...
    tersentuh rasanye hati ni bila baca apa yg shbt dh coretkan..
    sebagai perempuan pun aku rasa penat nk buat semua benda ni..ni kan pula lelaki..
    tp percayala, bila rasa tanggungjawab tu dah menguasai hati, semua benda kita akn buat dgn hati yg tulus ikhlas...

    ReplyDelete
  2. Bagi saya, bila kita ikhlas menjalankan sesuatu, tak terasa satu perkara itu satu tanggungjawab atau beban, kerana kita redha dengan apa yang kita lakukan.. kadang ada yang melakukan sesuatu tanggungjawab kerana keterpaksaan, tiada keikhlasan, dah tanggungjawab dia, terpaksa lah lakukan. Terpaksa, tiada keikhlasan..

    Murninya hati seorang ibu, moga syurga bukan sekadar ditapak kakinya, moga ibu kita memiliki syurga, ameen..

    Doakan saya menjadi anak yang solehah kepada seorang ibu misali, dan doakan saya dapat menjadi ibu misali kepada anak yang soleh solehah!

    ReplyDelete