Wednesday, June 13, 2007

Sekilas Coretan

Dengan nama Allah yang Mencipta manusia, permulaan bicara…

Wanitalah yang melahirkan manusia agung Muhammad Rasulullah. Wanita juga yang melahirkan para rasul dan nabi, tabi’in dan ulama’. Begitu tinggi kemuliaan seorang wanita, betapa besar pengorbanan wanita dalam perit, dengan derita, penuh sengsara yang bersulam kasih sayang, beserta belaian lembut, halus penuh rasa, melahirkan, mendidik manusia-manusia hebat, pejuang agama.


Wanita juga yang menjadi syahidah pertama dalam permulaan pengembaraan pengembalian manusia kepada Tuhan yang Esa oleh Rasulullah s.a.w. Juga disisi Rasul terakhir kekasih Allah, sentiasa ada wanita yang memberi sepenuh jiwa raga pengorbanan. Begitu Allah mengurniakan nikmat pada manusia perempuan.


Ada erti yang mendalam dalam kata pepatah syurga di bawah tapak kaki ibu. Wanita ibu, menjadi antara penentu syurga neraka manusia lelaki, redha ibu juga redha Allah, begitu makbul doa, rasa hati, seorang wanita ibu.


Jadilah wanita yang taat seperti Maryam, patuh pada Tuhan dikala dikhabarkan akan bertanggungjawab melahirkan dan mendidik Nabi Isa. Contohilah Sumayyah teguh iman dan tekad pada Tuhan Allah dalam sengsara yang perit. Jadilah seperti Khadijah yang berkorban jiwa dan raga, sentiasa disisi suaminya Muhammad Al Amin hingga akhir hayatnya. Jadilah seperti Fatimah yang zuhud hingga menitiskan air mata kekasih Allah melihatkan keadaannya yang tidak memikirkan dunia.


Wanita jaga dirimu dikala manusia lelaki rakus meragut kehormatanmu, mohon perlindungan daripada Tuhan yang Satu. Jangan pernah membenarkan kejahiliyahan menjatuhkan martabat wanita sesudah penat lelah Rasulullah menyebar Islam, mengangkat wanita ke darjat yang tinggi. Jangan pernah membuka peluang kepada nafsu dan syaitan merobek keimananmu. Petanda akhir dunia, kebanjiran wanita bukan hanya menjadi peringatan kepada lelaki, tetapi juga kepada wanita. Apakah bilangan itu dipenuhi dengan muslimah solehah? Atau redhakah kita jika bilangan itu mengecewakan?

Bersama pohonan kemaafan, sekian terima kasih.

Tuesday, June 12, 2007

Solatlah Insan

Bermula seruan azan diperangkap gegendang telinga,
Halus menusuk ke qalbu, Agungnya Tuhanku,
Tuhanku satu, Muhammad itu utusan Tuhanku,
Wahai insan, solatlah! Berjayalah!
Dia maha Agung, Dia itu Esa!
Telah datang seruan perintah Tuhan,
Solatlah insan!

Berwudhu’lah insan, membasuh anggota tubuh, zahirnya,
Mensucikan diri, batinnya,
Melerai dosa-dosa kecil,
Menanti waktu pembersihan dosa-dosa besar,
Bersama hati yang gentar kepada Tuhannya

Berdirilah insan, tegak, tenang, menghadirkan hati,
Mengadap kiblat, kaabah, zahirnya,
Mengadap Rabbul Izzati, batinnya,
Bertakbirlah insan, mengagungkan Pencipta,
Lantas ditumpukan inteleknya, akalnya,
Difokuskan emosinya beserta ruhnya, hatinya,
Kepada Tuhan yang satu,

Memerhati gerak ruku’ dan sujud,
Menjaga tumpuan, khusyu’nya…
Fanalah insan dalam keghairahan,
Cintanya kepada Ar-Rahim, Al-Ghofar,
Mengharap hadirnya cinta agung dan nur,
Merintih ampunan dosa, mendamba redha,

Bertasbihlah insan, bertahmidlah insan, bertahlillah insan,
Sucikanlah hati, memujilah hati, mengakulah hati Tuhan itu satu,Tempat kembali insan, destinasi yang pasti dan kekal.
There was an error in this gadget