Thursday, October 11, 2007

Layakkah aku?

Riuh pasar, pusat-pusat membeli belah dan kedai-kedai dengan manusia yang sibuk mencari, memilih barang-barang untuk menyambut hari raya, atau ‘aidil fitri’. Ada yang bersama keluarga, bersama pasangan, pasangan yang sah dan juga pasangan yang tidak sah. Tidak kurang juga yang datang berkawan dan bersendiri. Apapun semuanya membeli-belah, kecuali seorang petugas jakim berkopiah duduk di tengah pusat beli belah yang hingar-bingar menanti orang datang membayar zakat.

Hmm… raya, kata orang Melayu, Arabnya Eid ul Fitr. Jika diteliti maksudnya kembali kepada fitrah. Bagaimana kembali kepada fitrah? Fitrah, suci setelah dibasuh dan disental dengan sabun amal, detergen ikhlas, syampu zikir. Selama sebulan. Ya, bersih suci barulah fitrah umpama bayi yang baru lahir. Setitik dosa pun tiada, terampun semuanya. Barulah layak untuk aku merayakan sesuatu, iaitu usaha dan kejayaan mencapai makna eid ul fitr itu.

Jika kanak-kanak tidak mengapalah, belum mengerti benar apa yang dilakukan. Seronok beraya. Makan kuih, main bunga api, dapat duit raya, bermain dengan kawan-kawan.
Tetapi diri yang makin meningkat usia ini semacam tidak layak je nak ‘beraya’. Macam kotoran degil. Hati tidak terasa bersih. Disental kotor semula, tak terjaga. Silap sendiri, entah apa yang dicari pun tidak tahu... hendak raya apanya, hati tak fitrah... (Y_Y)

Pengajaran

26 Ramadhan, saya sekali lagi ke kota Kuala Lumpur atas dua urusan, yang pertama mengambil seluar yang besar yang dikecilkan saiznya, dan yang kedua membaiki telefon bimbit yang rosak. Setelah selesai urusan pertama, saya terpaksa menunggu hamper setengah jam untuk menyelesaikan urusan kedua. Kaki melangkah mencari tempat duduk. Akhirnya punggung dilabuhkan di bangku dihadapan pusat membeli belah.

Hati pun bermonolog,
“ramadhan semakin berakhir, apa yang aku dah buat sepanjang Ramadhan?” sambil saya hati bermonolog, mata saya melihat orang ramai yang lalu lalang di hadapan kaki lima pusat beli belah tersebut. Pelbagai ragam manusia.

Tiba-tiba dari puluhan manusia yang alalu lalang saya terpandang seorang kanak-kanak sedang memimpin ibunya. Dibelakang ibunya, adalah ayahnya yang menuruti mereka dengan memegang bahu si ibu. Hati sungguh tersentuh, kerana anak yang celik itu memimpin kedua orang tuanya yang cacat penglihatan. Ke mana agaknya destinasi mereka? Membeli belah? Tapi bagaimana mereka hendak membeli belah? Tentunya bukan seperti manusia normal yang boleh melihat corak, warna atau saiz pakaian.

Sungguh besar! Sungguh besar pengorbanan anak pasangan itu. Memimpin orang tuanya. Memilihkan pakaian untuk orang tuanya.
“baju ni cantik ibu. Coraknya berbunga-bunga, warna biru campur kuning. Ada itu dan ini”
“ayah seluar ni sesuai untuk ayah, kainnya lembut. Fesyennya cantik. Warna hitam”

begitulah lebih kurang peranan anaknya. Menceritakan kesemuanya. Dan pastinya bukan hanya sekali tetapi berulang kali. Sahabat tentu faham bagaimana suasana membeli belah.
Mampukah aku berkorban seumpama itu?

Suci Hati

25 Ramadhan, selesai solat isya’, kaki melangkah mencari tempat untuk duduk sambil menanti untuk solat tarawikh. Di sebatang tiang di dalam masjid, kelihatan tiga orang kanak-kanak sedang duduk berbual.

Punggung dilabuhkan di sebalik tiang. Mata difokuskan pada 3 orang kanak-kanak itu. Seorang dalam lingkungan umur 11 ke 12 tahun, memakai jubah putih dan berkopiah merah. Bercermin mata dan agam tembam. Seorang lagi mungkin adiknya kerana memakai pakaian yang sama namun badannya lebih kecil dari abangnya. 9 ke 10 tahun umurnya. Yang paing kecil tubuhnya mungkin umur 7 ke 8 tahun.

Seronok mereka berborak. Sekali sekala tertawa kecil diselangi dengan senyuman yang manis. Jika diteliti perkataan yang digunakan baik dan sopan, sejuk hati mendengarnya. Tentu lebih sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka.

Tiba-tiba mereka beredar. Tidak lama selepas itu mereka kembali dengan masing-masing membawa kitab unggul al-quran.

“Nak baca surah apa?”
“Surah an-Naba”
“Surah amma ya tasaaaalun ye?“
“Haah”
“Siapa nak baca dulu?”
“Awak baca dululah”
“Takpelah saya baca dulu”. si adik kecil mula membaca dahulu. Bergilir dengan yang dua orang lagi. Lancar bacaan mereka.

Mereka ini masih suci hatinya. Bersih dari dosa. Berbeza dengan saya yang berat dengan bebanan dosa. Entah bila nak suci hati.

Solat tarawikh sudah mula, kaki melangkah menuju ke barisan saf meninggalkan tiga orang kanak-kanak itu dengan doa, moga mereka kelak menjadi penyejuk hati ibu bapa, pembela agama dan pemimpin ummah.

Tiada untuk direbut

Petang 25 Ramadhan, saya berjalan menuju ke masjid. Langit gelap sarat dengan awan hitam, menanti tiba waktu mencurahkan air ke bumi. Tiba di masjid, saya menapak ke sebelah kanan masjid, untuk meletakkan alas kaki. Lalu saya terserempak dengan seorang lelaki yang memegang dua bekas nasi yang disediakan oleh masjid untuk berbuka. Ah, mungkin ada lebih, tapi masih boleh dikira awal lagi untuk dikatakan ada lebih. Selalunya tidak cukup. Mungkin dia bawakan untuk temannya, mana tahu.
Saya meletakkan selipar di rak, dan menuju ke bahagian bawah masjid tempat berbuka puasa diadakan. Ada lebih kurang lima minit lagi waktu berbuka. Ruang bawah masjid sudah dipenuhi manusia.

Lalu saya terserempak dengan seorang lagi yang membawa dua bekas makanan di tangan. Saya perhatikannya. Eh, bekas nasi yang ditangan disimpan, kemudian dia duduk pula di tempat yang tersedia satu bekas nasi. Tiga bekas nasi, satu makan, dua simpan. Banyak sangatkah nasi yang disediakan sehingga ramai yang ambil lebih? Mata saya pun melilau. Bukan seorang dua, ramai rupanya yang ambil lebih, ada yang ambil lebih satu dan ada yang ambil dua.
Eh, ramai lagi rasanya orang yang hendak berbuka puasa di masjid ni. Kalau ambil lebih tentu tidak cukup.

Saya pun duduk bersandar di dinding, mengadap tempat nasi diagihkan. Orang masih ramai yang datang untuk berbuka. Nasi pula nampaknya tinggal sedikit. Pasti tidak mencukupi. “Allahu akbar Allahu akbar“, azan pun berkumandang. Semua mula menjamu makanan masing-masing. Namun hati saya gundah, apabila melihat orang masih datang untuk mendapatkan makanan. Dan apa yang berlaku, seperti yang dijangkakan. Nasi yang disediakan tidak cukup. Sedih rasanya melihat kerana ketamakan kita, orang lain teraniaya.

Mereka yang mengambil lebih boleh dikira telah mengambil hak orang lain. Tidak cukupkah satu? Ya, tidak cukup jika kita menurut hawa nafsu kita. Kadang-kadang kita risau, kita tidak dapat hak kita, menuntut hak kita sehingga kita lupa yang lebih utama sebenarnya adalah menunaikan hak orang lain.
“kena datang awal masjid, nanti tak dapat makanan”, “orang ramai”. Itu adalah antara alasan yang timbul. Sebenarnya tidak perlu risau akan semua itu. Yang perlu utama difikirkan ialah puasa kita. Kita lupa puasa belum tamat sehingga saat takbir pertama azan. Hakikatnya ibadah kita bukan habis setakat berbuka. Ada kesinambungannya. Saat berbuka itu kita dapat lihat hasil puasa kita selama sehari.
Tidak ada apa yang perlu direbutkan. Sekiranya Rasulullah s.a.w hanya berbuka dengan tamar masakan kita perlu risau andai kita cuma punya tamar untuk berbuka? Atau sekadar air. Berbuka itu bukanlah makan untuk kenyang, menampung makanan untuk sehari. Mengambil lebih dari keperluan sehingga mencabul hak saudara kita. Hakikatnya tidak begitu.

Teringat saya akan satu episod siri rancangan Bersamamu yang betul-betul memberi impak dan kesan pada saya. Sering saya teringat akan kisah sebuah keluarga di Felda jengka yang dipaparkan pada hari Jumaat malam Khamis. Begitu sedihnya kerana keadaan mereka yang begitu berbeza dengan kita. Tiada makanan pun untuk direbutkan. Tiada makanan pun untuk dibazirkan. Yang ada hanyalah pisang rebus yang dimakan oleh anak-anak dan ibu, tanpa dijamah oleh ayah. Itulah lauknya hampir setiap hari.

Hanya pelita minyak kelapa pengganti arus elektrik. Rumah pula hanya sebahagian berdinding. Lebih menambah sebak apabila si anak kecil tidak mahu bersekolah kerana diejek miskin oleh kawan-kawan. Sedih hati ayah yang berusaha mencari duit bagi menyekolahkan anaknya. “biarlah apa orang nak kata kakak, biarlah, selagi ayah hidup ayah akan jaga kita sekeluarga”.

Mereka inilah harus kita berikan makanan yang kita makan sehingga senak perut lebih dari keperluan. Mereka inilah yang harus kita bela. Mengikut hawa nafsu tidak akan pernah puas. Kata luqman al-hakim, “adalah lebih baik makanan yang dimakan sehingga kenyang itu diberikan kepada anjing yang lapar”

What did you do?

24 Ramadhan, selepas pulang dari Bandar Kuala Lumpur yang dibanjiri manusia yang sibuk membeli belah untuk persiapan raya. Keadaan cukup sesak, sesak di jalan raya, sesak di dalam pusat beli belah, mata pun sesak, membuatkan hati sesak ingin segera pulang.

Sampai sahaja di UIA, terus menuju ke musolla, solat ‘asar perlu segera ditunaikan. Sebelum mendirikan solat, kelihatan berdiri di hadapan musolla, seorang lelaki bekulit gelap, berumur dalam lingkungan 50-an, menyampaikan tazkirah. Selesai solat, kaki disilangkan, duduk bersila, mata memandang ke depan memerhati lelaki tadi. Telinga dipekakan mendengar setiap patah perkataan.

“We only care with our nafsi. We never put our brothers first, it is ok brother you first. It is ok take it, don’t mind with me”. Dia lalu memberikan contoh seorang Ansar yang menjamu tetamu meskipun makanan yang ada tidak mencukupi. Hanya cukup untuk menjamu tetamu itu. Membuat helah berpura-pura makan semasa ketiadaan cahaya. Begitu juga keadaan yang berlaku di suatu medan perang. Air yang hendak diberikan kepada seorang yang cedera, tatkala itu ada pula seorang lagi yang meminta air. Orang yang pertama katanya “berikan pada dia, kerana dia lebih memerlukan”. Setibanya pada orang kedua, terdengar seorang lagi meminta air. Yang kedua juga menyuruh diberikan pada yang ketiga. Tatkala tiba pada orang ketiga, dia sudah syahid. Hendak diberikan kepada orang yang kedua, juga syahid, begitu juga yang yang pertama.

Meskipun dalam saat hampi ajal, mereka sanggup berkorban demi kepentingan orang lain. Adakah kita begitu dalam kehidupan kita?
Ya, banyak lagi yang perlu saya belajar dan baiki diri ini.

Lelaki itu menyambung lagi.
“Ramadhan almost come to the end, what did you do?
what did we plan to do with the remaining days? Are we sure that we are going to meet Ramadhan again? Grab it, while we still have the chance”

what did I do?

Saturday, October 6, 2007

6 Hal

Apakah aku sudah bersedia menghadapi hal paling dekat? Ya dekat yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Hanya disedari mata hati.


Apakah yang telah aku lakukan pada hal yang paling jauh? Hal yang sering bermain di kepala dan hanya dilalui sekali.

Apakah aku telah mengambil berat akan hal paling ringan?
Bagaimana pula dengan hal paling berat? Sempurnakah? Mampukah aku menanggung beratnya?


Apakah aku telah meninggalkan hal paling besar untuk menghadapi hal paling dekat? Besar yang menjadi beban yang menyusahkan.
Sudahkah aku tumpulkan hal paling tajam? Tajam yang membunuh jika disalahgunakan.
Menurut Imam al-Ghazali;

paling dekat – mati, mati adalah janji benar Allah, kullunafsin zaiqatul maut.


paling jauh – masa lepas, apa cara pun kita tidak akan dapat kembali ke masa dulu. Oleh itu perlu kita jaga hari ini, hari yang akan datang dengan amalan yang sesuai mengikut ajaran agama.


paling ringan – tinggalkan solat, kerana sibuk dengan kerja dunia, kita sering alpa hingga kerap abaikan solat atas alasan sibuk.


paling berat – amanah, semua makhluk di bumi tidak sanggup memegang amanah sebagai khalifah, tapi manusia menerima tawaran Allah. Lantaran itu banyak yang akhirnya masuk neraka kerana gagal pikul amanah itu.


paling tajam – lidah, anggota paling lembut ini menyebabkan manusia berbalah & menyakiti hati & melukai perasaan sesama sendiri.


paling besar – nafsu, berhati-hati dengan nafsu. Jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Sesungguhnya

Jam berdetik, tik tik, sudah 2.30 pagi, hari ini sudah 16 Ramadhan 1428 H. Sudah separuh bulan yang mulia. Namun saya masih belum melelapkan mata, mata tegar, bulat mengadap skrin komputer. Entah apa yang dibuat pun saya tak tahu. Mengelamun jauh... jauh ke mana? Entahlah. Sesungguhnya saya tak mengerti... tiba-tiba telefon bimbit berbunyi...

Pagi itu saya menerima panggilan yang sarat dengan nasihat, juga teguran yang lama saya nantikan. Mengapa pagi-pagi begini? Entahlah... saya merasakan apa yang pernah saya ucapkan adalah dusta, tipu. Saya terperangkap dengan nafsu, tenggelam dalam keseronokan dunia, jauh dari ingatan dan zikir kepada Tuhan, jauh dari nasihat dan pesanan. Mulut menyemburkan kata-kata yang saya sendiri tak tunaikan, manis dibibir.

Tiap hari bersama amalan sering terselit riya’, ujub di hati. Betapa ternodanya jiwa dengan dosa. Kehidupan yang dilalui, nafas setiap detik berlalu sekelip mata dengan sia-sia. Sedar-sedar mata terbuka keesokan harinya, jiwa menanggung dosa semalam yang belum terampun dan bakal bertambah lagi hari ini. Termenung... sampai bilakah aku begini? Sampai saat hampir mati? Saat nyawa di kerongkong? Atau tanpa sedar nyawa sudah bercerai dari jasad? Saat itu tiada apa yang dapat dilakukan. Hanya orang menangis, dan aku juga menangis kerana ajal tanpa taubat.

Bersihkan hati, ihklaskan hati, amal kerana Allah, solat taubat, baca dan fahami Quran.... pesanan dari insan yang menelefon saya pagi itu. Banyak lagi pesanannya. Saya terkedu... sesungguhnya... sesungguhnya...

Sebenarnya Hati Ini Cinta KepadaMu
Sebenarnya Diri Ini Rindu KepadaMu
Tapi Aku Tidak Mengerti
Mengapa Cinta Masih Tak Hadir
Tapi Aku Tidak Mengerti
Mengapa Rindu Belum Berbunga

Sesungguhnya Walau Kukutip
Semua Permata Di Dasar Lautan
Sesungguhnya Walau Kusiram
Dengan Air Hujan Dari Tujuh Langit Mu
Namun Cinta Takkan Hadir
Namun Rindu Tak Akan Berbunga

Kucuba Menghulurkan
Sebuah Hadiah KepadaMu
Tapi Mungkin Kerana Isinya
Tidak Sempurna Tiada Seri

Ku Cuba Menyiramnya
Agar Tumbuh Dan Berbunga
Tapi Mungkin Kerana Airnya
Tidak Sesegar Telaga Kauthar

Sesungguhnya Walau Kukutip
Semua Permata Di Dasar Lautan
Sesungguhnya Walau Kusiram
Dengan Air Hujan Dari Tujuh LangitMu
Namun Cinta Takkan Hadir
Namun Rindu Tak Akan Berbunga

Jika Tidak Mengharap RahmatMu
Jika Tidak Menagih Simpati
PadaMu Ya Allah

Tuhan Hadiahkanlah KasihMu Kepadaku
Tuhan Kurniakanlah Rinduku KepadaMu
Moga Kutahu
Syukurku Adalah MilikMu

(Sesungguhnya, Raihan)

Sebelum Terlena

Sebelum Mata Terlena
Di Buaian Malam Gelita
Tafakurku Di Pembaringan
Mengenangkan Nasib Diri

Yang Kerdil Lemah Dan Bersalut Dosa
Mampukah Ku Mengharungi Titian Sirat Nanti
Membawa Dosa Yang Menggunung Tinggi
Terkapai Ku Mencari Limpahan Hidayah Mu

Agar Terlerai Kesangsian Hati Ini
Sekadar Air Mata Tak Mampu
Membasuhi Dosa Ini

Sebelum Mata Terlena
Dengarlah Rintihan Hati Ini
Tuhan Beratnya Dosaku
Tak Daya Ku Pikul Sendiri

Hanyalah Rahmat Dan Kasih Sayang Mu
Yang Dapat Meringankan Hulurkan Maghfirah Mu
Andainya Esok Bukan Milikku Lagi
Dan Mata Pun Ku Tak Pasti Akan Terbuka Lagi

Sebelum Berangkat Pergi Ke Daerah Sana
Lepaskan Beban Ini
Yang Mencengkam Jiwa Dan Raga Ku

Selimuti Diriku
Dengan Sutra Kasih Sayang Mu
Agar Lena Nanti Ku Mimpikan
Syurga Yang Indah Abadi

Pabila Ku Terjaga
Dapat Lagi Kurasai
Betapa Harumnya
Wangian Syurga Firdausi.. Oh Ilahi

Di Sepertiga Malam
Sujudku Menghambakan Diri
Akan Ku Teruskan Pengabdianku Pada Mu

(Sebelum Terlena, Hijjaz)

Tatkala mendengar alunan sebelum terlena, menitis air mata insan, tanpa henti mengalir. Meratap hiba. Terlalu kerdil di hadapan Tuhan. Apakah akhirnya hidup insan? Perasaan ini hanya Tuhan yang tahu, saat itu tak seorang pun faham perasaan insan, berlarilah! Berlarilah! Berlarilah! padaNya. Sujudlah! Sujudlah! Sujudlah! Berserah, menyembahNya. Allah suka pada taubat insan. Ya Tuhanku, ampuni daku! Ampuni daku! Ampuni daku!

Moga terampun dosa yang silam, moga hidup mendatang penuh redha...

Wednesday, October 3, 2007

Di Mana Jua


Bila tiba masa,

Di mana jua,

Tunaikannya,

Sebelum jasad,

Hilang nyawa,