Thursday, October 11, 2007

Suci Hati

25 Ramadhan, selesai solat isya’, kaki melangkah mencari tempat untuk duduk sambil menanti untuk solat tarawikh. Di sebatang tiang di dalam masjid, kelihatan tiga orang kanak-kanak sedang duduk berbual.

Punggung dilabuhkan di sebalik tiang. Mata difokuskan pada 3 orang kanak-kanak itu. Seorang dalam lingkungan umur 11 ke 12 tahun, memakai jubah putih dan berkopiah merah. Bercermin mata dan agam tembam. Seorang lagi mungkin adiknya kerana memakai pakaian yang sama namun badannya lebih kecil dari abangnya. 9 ke 10 tahun umurnya. Yang paing kecil tubuhnya mungkin umur 7 ke 8 tahun.

Seronok mereka berborak. Sekali sekala tertawa kecil diselangi dengan senyuman yang manis. Jika diteliti perkataan yang digunakan baik dan sopan, sejuk hati mendengarnya. Tentu lebih sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka.

Tiba-tiba mereka beredar. Tidak lama selepas itu mereka kembali dengan masing-masing membawa kitab unggul al-quran.

“Nak baca surah apa?”
“Surah an-Naba”
“Surah amma ya tasaaaalun ye?“
“Haah”
“Siapa nak baca dulu?”
“Awak baca dululah”
“Takpelah saya baca dulu”. si adik kecil mula membaca dahulu. Bergilir dengan yang dua orang lagi. Lancar bacaan mereka.

Mereka ini masih suci hatinya. Bersih dari dosa. Berbeza dengan saya yang berat dengan bebanan dosa. Entah bila nak suci hati.

Solat tarawikh sudah mula, kaki melangkah menuju ke barisan saf meninggalkan tiga orang kanak-kanak itu dengan doa, moga mereka kelak menjadi penyejuk hati ibu bapa, pembela agama dan pemimpin ummah.

1 comment:

  1. Baarakallahu fiihim..

    Sejuk hati, terasa tidak sabar untuk bergelar ibu, untuk mendidik anak sendiri.

    Minggu lepas, sewaktu kenduri dirumah Mak Long, tepat jam 1.24 petang, berkumandang suara seorang kanak-kanak melaungkan seruan solat, azan. Sejuk hati mendengar, tercari-cari siapa gerangan kanak-kanak tersebut. Rupanya anak saudara saya yang berumur 6 tahun, mencapai mikrofon dari tangan pengacara majlis, terus melaungkan azan. Subhanallah! Ibu saudaranya sekalipun terlalai waktu masuk sembahyang.. Anak saudaraku!

    Terasa sejuk perut, walau kakak saya yang mengandungkannya, bukan saya, wuwu=p

    Ya Allah, jadikan kanak-kanak ini pembela agamaMu ya Allah.. Ameen~

    ReplyDelete