Tuesday, March 17, 2009

Ar-ra’in

Ar-rain itu kental melaung seruan,
Memacu kuda perang dakwah,
Menghunus pedang hikmah,
Menusuk ke segenap jiwa hamba,
Menjulang panji syariah yang Esa,

Disebalik deras kencang kemaraan,
Tersirat hakikat keimanan,
Keihklasan, keehsanan,
Penyerahan seluruhnya,
Kepada empunya segala ketenangan,

Moga kekal hakikat itu,
Menjadi darah merah pekat,
Yang mengalir sebati,
Meluncur di setiap urat nadi,
Insan lemah pemegang amanah,

Bangkitnya Ar-Ra’in itu,
Di celah kegawatan,
Menggenggam gagasan khayra ummah,
Membawa ciri at-taibun, al-a’bidun,
Al-haamidun, as-saihuun, ar-rakiu’n,
As-sajidun, al-amiruna bil ma’ruf,
Wa nnahuna a’nilmunkar,
Wal haafizhuna lihududillah,

Ar-Ra’in itu bangkit,
Bukanlah kerana menanti keredaan manusia,
hanyalah demi sebuah keredaan agung Ilahi,
Maka gembirakanlah! Bergembiralah!
Orang-orang yang beriman!

Sunday, March 15, 2009

Mesyuarat dengan Alam 3: Alam Sekunder




Kipas di syiling ligat berputar. Berkejaran bilah-bilah menari mengikut kelajuan yang diaturkan. Asbabnya tarian bilah, angin turut mengikut rentak. Bertiup menghembus lembut mengdatangi tubuh insan yang sujud pada Ilahi. Sejuk menyejat peluh dan menghapus kehangatan dari keriuhan pasar. Dari kepanasan kelakuan manusia-manusia. Sesekali kreok kipas mencelah bersama deruan halus melodi angin. Sayup-sayup gemersik zikir tasbih, tahmid, takbir. Jam berdetak, tik tik. Jarum jam, minit dan saat silih berganti berikit-dikit bergerak.

Wajah ditemukan dengan hamparan sejadah. Wahai sejadah hari ini aku menyaksikan betapa hebatnya ruh berjemaah. Kekuatan solat bersama-sama. Bahu bertemu bahu. Tumit lurus bersiri. Namun di sebalik kesedaran ini, aku juga menyaksikan manusia yang hanya berdiri sendiri. Melaksanakan perintah bersendirian meski nyata kelompok jemaah di depan mata.

Wahai sejadah, alangkah indahnya andai mereka mengerti bagaimana hebatnya solat berjemaah. Seperti kau sejadah. Dari seurat benang, bertemu uratan benang yang lain. Lain saiznya dan lain warnanya. Pertemuan itu pada satu kesatuan menjalin antara satu sama lain dan akhirnya lahirlah kau sejadah. Manusia juga lain saiznya dan warna kulitnya. Mereka bertemu pada hal yang satu, pengabdian pada Allah Tuhan sekelian alam.

Penaka juga dengan dinding yang membentuk musolla ini. Menjadi pelindung kepada kerendahan hati yang sujud tunduk pada Tuhan yang Satu. Dari ketulan bata yang merah kejinggaan. Satu satu disusun. Rapat antara satu sama lain. Lurus dan tepat. Menjalin ikatan bersama adunan simen dan pasir halus. Disapu, diraup, diratakan. Akhirnya semua sama. Tidak ada tinggi darjat antara bata, pasir atau simen. Kamu semua tetap sama diciptakan oleh Tuhan. Keutuhan mu yang diperkirakan.

Pada saf-saf solat, manusia semua sama. Darjat dan pangkat keduniaan tidak dipeduli. Sujud sama rendah. Solat berjemaah menjalin perasaan mengenali dan menyayangi. Yang diperhitung Tuhan ialah keimanan dan ketaqwaan. Tidak ada kaitan rupa parasmu. Wahai, dinding caknakan keutuhan hubungan mu antara bata, pasir dan simen pada manusia-manusia ini.

Hai tasbih yang bergantungan di sudut dinding. Berayun –ayun ditiup sang angin. Khabarkan pada mereka bijih-bijih tasbihmu bersatu tanpa kira masa dan musimnya. Bukan hanya waktu tengahari jumaat. Bukan hanya menanti hadirnya puasa. Sentiasa, bergabung menjadi dorongan kepada hamba manusia mendekati Tuhan. Bijih-bijih dihitung bersama ucapan pujian, syukur dan pengagungan,.

Sejadah, dinding musolla, tasbih, jam kitab-kitab, kipas, alas tikar kalian dan lampu kalimantang menjadi penyeri kepada ruangan sujud manusia ini. Keutuhan generasi terdahulu ditemani pelepah dan batang kurma, pasir-pasir gurun dan hamparan kain serta kulit. Kini kalian menemani generasi moden ini. Generasi yang masih meniti mencapai suatu kualiti. Sungguh pada kalian itu ada pengajaran bagi orang-orang berakal. Keinsafan dan peringatan pada ulul albab. Sungguh ini pati dalam hal yang ku perkatakan. Pesanan dari utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w.

Thursday, March 12, 2009

Mantan

Mantan
Seakannya satu kelegaan,
Senyum lebar, kekeh berderai,

mantan,
suatu kegembiraan,
suatu ketenangan,
tidak lagi berat akal berfikir,
tidak lagi gundah emosi bermain,
benarkah akan semua ini?

Mantan, sepertinya suatu pelepasan,
Lepas dari satu ‘beban’,
‘beban’ atau ‘amanah’?
‘amanah’ atau ‘tanggungjawab’?
yang mana satu?
Mengapa yang itu?
Diri yang menentukan,

mantan hari ini, tidak hari esok,
pejawatan akan silih berganti,
dari hari ke hari,
dari tahap ke tahap,
tingkat ke tingkat,
sanggupkah kita?
Atas dasar apa ya dan tidak?

Kuasa pada Yang Esa,
Semalam adalah nikmat yang berlalu,
Hari ini anugerah yang diterima,
Esok bukan pengetahuan kita,
Baik atau buruk pada mata manusia,
Enggan dan menolak kegundahan hati,

Kesudahannya, penyerahan dengan keimanan,
Pengakhirannya penyerahan dengan keredaan,
Penyerahan dengan keihklasan dan keehsanan,
Kerana firman Yang Maha Mengetahui,
”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”

Sunday, March 8, 2009

Rajawali Bahasaku

Hadir bahasa bersulam budaya,
Hadir bahasa bertaut adat,
Hadir bahasa bertenun tradisional,

Bahasa kita seni kita,
Bahasa kita jiwa kita,
Bahasa kita asal-usul kita,
Bahasa itu petanda kewujudan kita,
Petanda tidak bangsa Melayu hilang didunia,
Terbanglah rajawali bahasa ku!
Terbang setinggi-tingginya,
gah di angkasa raya!

Apabila Hati Berasa Sunyi

Terbuka mata di saat kebanyakan manusia masih lena diulit khayalan mimpi. Subuh itu terasa amat sunyi. Sunyi sebenar-benar sunyi. Hati terasa bersendiri. Terasa kosong tanpa berteman. Direnung sedalamnya samar kegelapan subuh. Apakah perasaan ini? Apa? Inikah saat yang dibicarakan imam Hassan Al-banna? “saat tak seorang pun faham perasaanmu, berlarilah padaNya”.
Dalam hati ini, ada sesuatu yang ingin dikongsikan.
Dengan siapa? Dengan yang benar-benar mampu memahamiku.

Ya Tuhan, apakah aku ini benar-benar menjadi hambaMu?
Benar-benar sujud padaMu?
Wahai Penciptaku, dalam menjalani cara hidup yang diredaiMu, apakah aku hanya berpura-pura atau ikhlas berlari padaMu?
Apakah aku ini panjang umur penuh dosa atau padat amalnya?
Apakah aku sanggup menjadi benar meski seluruh dunia menjadi batil?
Mencari dan menanti jawapan yang hanya ada padaMu

“Cukup Allah bagi ku. Cukuplah Allah bagiku. Ya, Tuhan, tenangkanlah jiwaku, tenangkan hatiku. Ya Allah, Ya Tuhanku...“ tangislah, alirlah air mata menyuci jiwa. Mengalirlah!

Tenteramlah hati dengan keyakinan mengingatiNya akan tenang walau dalam apa keadaan sekalipun. hadirlah Qalbun salim!