Sunday, July 26, 2009

Rahsia


Bilakah saatnya?
Apakah bisa lidah berbicara?
Apakah bisa diluahkan?
Saat itu apa mungkin kena pada masa
Kena pada tempat
Kena pada orang
Barangkali kegusaran membelenggu
Ini bukan suatu hebahan
Ini suatu rahsia

Biarlah ditanggung beban ini berseorangan
Biar seksa hanya di batin ini
Jauhlah menyendiri berfikir sendiri
Keputusan yang diragukan pastinya
Berputus dalam gelumang gusaran hati
Dalam pudar keseimbangan emosi

Yang memahami pasti mengerti
Yang simpati akan peduli
Mana bisa kau lari menyendiri bersembunyi
Aku rela berdiri berada disisi
Bangkit gapai tanganku!
Tautkan! Jangan dilepas!
Aku tidak akan melangkah kaki pergi
Saat jatuh kita sama-sama bangkit
Umpama semangat Laskar Pelangi
Jangan alah dirumpun betung
Ayuh, berlari dalam rimbunan duri!
Menari dalam ombak menggunung!
Tegar bertahan mengharung tsunami!

Wujudnya kita bukan bersendiri
Wujudnya kita dalam lingkungan insani
Kelompok insan yang ada peranan
Kelompok insan yang berkaitan
Tidak dapat tidak
Kau dan aku ada kaitan
Peranan aku pada kau
Peranan kau pada aku
Usah lagi kau begini
Mari sambut tanganku ini!

Wednesday, July 22, 2009

Kembara Menuju Ramadhan


Suatu hari terjadi perbualan dengan seorang sahabat yang terlibat dengan pelbagai aktiviti pendidikan.

“Assalamu alaikum” saya mengucap salam sebagai pembuka bicara.

“Walaikumusalam...” balasnya.

“Bagaimana aktiviti?” saya bertanya.

“Emm..soalan cepu mas. Sekarang ni tengah dalam urusan, saya serahkan pada jawatankuasa. Alhamdulillah… apa yang saya tahu, buat masa ini semua ahli jawatankuasa sudah mula menjalankan kerja masing-masing”.

“Baik. Bagus” ringkas saya membalas.

“Jangan cakap macam tu..” dia seakan risau.

“Rasa takut pula” dia menyambung.

”Tidak tahu la betul ke tidak apa yang saya buat ni… rasa bersalah pun ada... terutamanya pada ketua.” sahabat ini meluah.

“kalau hati rasa tenang betul la tu. Tak apa dia baik saja tu.” Ketuanya saya kenal. Sahabat baik saya.

“Saya ada cadangan untuk awak. Boleh saya utarakan?”

“Boleh-boleh, sangat-sangat di alukan” dia memberi keizinan. Lampu hijau.

"Saya cadang kita adakan Kembara Menuju Ramadhan” saya mengemukakan tajuk.

“Boleh terangkan secara terperinci macam mana aktivitinya? Nampak macam menarik”. Sahabat ini mula tertarik.

“Tak berat. Mudah saja. Perlu perkasa melalui usaha mendasar dan mendekati. Tak perlu program besar”.

”Tak faham...”

”Sekiranya dah nak raya kita buat macam-macam. Baju raya, ketupat, beli belah. Kali ini Ramadhan datang. Bajunya kuliah tentang Ramadhan. Ketupatnya aktiviti qiyamullail. Kalau raya kempen beli barang, tapi Ramadhan kempennya mengejar, mencari Lail Al-Qadar. Memang tak nampak sangat. Pelaksanaan lebih kepada pemerkasaan ahli-ahli. Tarbiyah ahli-ahli. Jadikan Rejab dan Syaaban medan persediaan untuk Ramadhan. Hmm boleh faham?” saya bertanya mohon kepastian.

”Faham..tapi pelaksanaannya?” dia masih kurang jelas. Barangkali huraian saya terlalu umum atau banyak berfalsafah.

”Tak perlu program baru. Mantapkan yang sedia ada. Majlis ada Qiam kan?” Qiam adalah program Qiyammullail yang diatur dengan pengisiannya.

”Qiam ni mantapkan dari segi pengisian dan penyertaan” saya menyambung. ”Risalah yang diterbitkan diselitkan artikel-artikel persediaan untuk Ramadhan”.

”Oh..” dia seakan sudah mula memahami.

”Usrah pun selitkan juga. Biar ahli-ahli nampak dan tahu. Kita ada bulan besar yang dinanti. Yang perlu persediaan rapi. Sebab konsepnya kempen”

“Oh... sudah faham sedikit”

”Kempen pelaksanaannya melibatkan peranan oleh setiap individu sendiri. Jadi mesti diwar-warkan. Setiap dari aktiviti yang dibuat kita sematkan. Kita lahirkan perasaan ghairah ahli-ahli. Tidak sabar-sabar menanti Ramadhan. Tidak sabar mengejar Lail Al-Qadar. Bukan tidak sabar nak cuti, nak raya. Cumanya dari sudut kita ialah merangka proses pemantauan”.

”InsyaAllah... boleh dibawa dalam perbincangan” dia bersetuju.
Perbualan diakhiri dengan

”Doakan semua berjalan lancar dan dipermudahkan urusan”
Pada saat ini apakah persediaan kita menyambut Ramadhan? Media mungkin saja mendoktrinkan kita dengan kemeriahan jualan murah sempena raya. Mengalpakan kita dengan program-program dan tayangan-tayangan cerita raya. Saat ini juga barangkali ada yang tidak sedar akan tibanya Ramadhan sehingga tersentak tiba-tiba esoknya mula berpuasa. Sekiranya sempat bertemu, apakah Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas atau lebih buruk?
Ruh dan semangat keazaman menggapai malam seribu bulan, menagih pengampunan Tuhan dari dosa perlu disemarakkan! Biarkannya menyala menjulang tinggi menuju pengakhiran ”Diri yang Fitrah”. Saat yang tidak harus dibiarkan berlalu sia-sia!

Bila Nak Kahwin?


Pada peringkat umur mencecah 23 tahun, ramai kawan-kawan yang mengakhiri zaman bujang. Bernikah, itu adalah sunnah yang besar. Apakah pernikahan itu adalah mengenai umur? Umur yang sesuai bersuami isteri? Atau sebenarnya berkaitan dengan kematangan diri seseorang yang membenarkan dia bernikah? Atau apa? Banyak persoalan yang timbul. Syukur persoalan terjawab setelah membaca “Dua Hati, Satu Rasa” tulisan saudara Pahrol Md. Juoi. Penuh informasi yang disampaikan secara logik dan santai.
Suatu hari datang satu soalan kepada saya.

“Wan, boleh tanya?”

“Ya, silakan”

“Wan nak kahwin bila?“. Huh, soalan yang tidak disangkakan! Saya termenung sebentar.

“Tak apa kalau tak nak jawab”. Jawapan sebenarnya dah ada, cuma berfikir bagaimana ayat perlu disusun supaya sesuai dengan keadaan dan boleh difahami.

”Tekadnya bukan dalam jangka 5 tahun mendatang. Itu adalah perancangan saya. Apa yang Allah aturkan tak dapat nak tahu”. Itu tekad saya saja, jodoh milik Allah.

”Bila?” seakannya sahabat ini mahu jawapan yang lebih terperinci. Barangkali untuk kepastiannya.

”Selepas selesai tempoh 5 tahun itu”

”5 tahun dari sekarang?” dia bertanya lagi.

”Ya” jawab saya ringkas. 5 tahun dari sekarang bermakna umur waktu itu 28 tahun. Lewat atau tidak bukan dalam perhatian saya.

“Dah ada calon?” sahabat ini sekali lagi membuat saya terperangkap dengan soalan cepu emasnya.

“Itu serah pada Allah. Siapa pun yang datang, itulah pasangan yang Allah aturkan”. Hingga saat ini belum ada lagi sesiapa calon isteri di hati saya. Belum lagi. Saya menyambung.

“Pada saya, perasaan untuk bernikah ni bukan cinta. Bukan kita cari, tapi diberi oleh Allah. Anugerah. Sebab itu abang serah pada Allah”

“5 tahun dari sekarang... hmm... macam tu ye” dia kembali kepada hal tekad 5 tahun saya. Barangkali dia ingin mengetahui lebih mendalam hal itu.

”Hal ini tak ada orang lain yang tahu. Rahsia.” cepat-cepat saya memintas.

“Yela, yela, rahsia” akhirnya dia terpaksa akur. Saya meneruskan perbualan

“Utamanya, dalam 5 tahun saya persiapkan diri jadi seorang yang soleh. Jadi seorang yang menangis kerana takutkan azab Allah. Jadi seorang yang cintakan masjid. Jadi seorang yang bertemu dan berpisah kerana Allah”. Keazaman itu dibulatkan bukanlah kerana hendak membuat persediaan bagi bernikah, tapi kerana itu adalah apa yang harus dilaksanakan. Keazaman untuk termasuk dalam golongan yang dijamin oleh Allah. Mesti dan perlu. Ini adalah proses yang berterusan yang berjalan selagi masih bernyawa.

“Seorang suami patut cintakan masjid...cintakan ilmu...cintakan jihad..cintakan Allah...dan berkongsi cinta itu dengan isteri dan anak-anak...” dia menambah. Ulasan yang masih dalam isu pernikahan.

“Ya, benar itu. Mencintai Pencipta Cinta dulu baru cinta yang termeterai antara makhluk itu ada berkatnya, ada ketenangannya”

“Saya setuju dengan bila hati ni betul-betul diserahkan pada Allah. Bila diri ni bersungguh-sungguh merayu agar 'dipandang' olehNya, bila jiwa ni bersungguh-sungguh meminta cintaNya. Kebahagiaan semua itu sangat sukar digambarkan. Terlena dengan keasyikan cinta Ilahi sesuatu perkara yang sangat indah. Saya akuinya. Sungguh.” Ulasan yang saya kira terus dari hatinya.

“Bila Cinta Allah diletak pertama, cinta yang lain akan jadi suci.” Menjadi suci kerana pergantungan hanya pada Allah. Dia yang menentukan kadarnya. Dia juga yang menganugerahkannya.

“Setuju sangat-sangat” dia mencelah.

“Saat itu urusan nikah tidak menjadi masalah lagi. Cinta antara suami isteri ni, tidak kisah siapa pun pasangan kerana masing meletakkan cinta utama tadi.”

”Kalau saya... saya tak ada jodoh di dunia pun tak apa. Bukan menolak sunnah... tapi macam saya cakap tadi... bila hati diserah bulat-bulat pada Allah... apa pun kita tak kisah... saya suka perasaan ni... atau lebih tepat... redha...” sahabat saya ini meluah.

“Ya redha. Iktibar dari kisah Rabiatul Adawiyah.” celah saya.”Saya tak nak jadi macam dia. Bukan niat nak jadi macam dia. Cuma... macam mana nak cakap, nak terangkan. Wan faham kan?”

”Tak apa, saya faham” saya tidak mahu memaksa dia untuk perjelaskan. Lebih baik menjadi pendengar.

”Ruhnya, pengajarannya ada pada kisah beliau.” sekadar menambah sedikit supaya lebih jelas contoh yang diberikan. Kisah yang tidak ada pergantungan kepada makhluk.

“Kamu tanya saya, sekarang saya tanya balik. Boleh?”

”Tanya apa? Tanya la” dia membalas.

”Hah, kamu pula bila nak...” lambat saya habiskan ayatnya.

“Hmmm... jika boleh secepat mungkin....tapi takde lagi calon yang dapat pikat hati umi abah saya...” pantas dia menjawab. Meskipun niat sebenarnya hendak tanya hal lain.

“Hati umi abah pun milik Allah. Jadi faham-faham la apa patut dibuat ye tak?”

”Saya tak ada masalah. Tapi saya lebih suka biar umi abah redha dulu..” dia memberi penekanan.

“Jodoh yang Allah tentukan tidak cepat tidak lambat. Jadi kita doa supaya sentiasa dalam redha Allah dan Rasul serta ibu bapa. Hadir redha Allah hadirlah redha ibu bapa kan?”. Terasa banyak pula saya berkata-kata malam itu (macam hebat saja). Lalu saya akhiri perbualan kami dengan doa...

“Ya Allah moga apa yang aku nukilkan ini tidak mndatangkan dosa dan murkaMu”