Wednesday, October 19, 2011

Pengijazahan Graduan Sebagai Suatu Amanah Keilmuan

Pengijazahan bukanlah hanya sekadar suatu kegembiraan dan kemeriahan menyambut tamatnya atau berakhirnya proses belajar oleh mahasiswa. Bukan juga semata-mata tempat meluahkan penghargaan terhadap pengorbanan oleh kedua orang tua, para pensyarah, rakan-rakan dan mereka yang terlibat dalam proses pendidikan graduan di universiti. Pengijazahan sebenarnya adalah suatu permulaan graduan menggalas amanah keilmuan.



Amanah keilmuan untuk graduan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Amanah keilmuan yang memerlukan graduan untuk menjadi golongan pencerah, pembebas dan perubah keadaan masyarakat. Pencerahan kepada erti sebenar sebuah kehidupan yang lurus dari dunia yang menenggelamkan jiwa. Pembebasan dari perhambaan dan penjajahan dunia dalam hati kepada keimanan tauhid terhadap Tuhan yang Esa serta perubahan kepada pembinaan dan penyempurnaan akhlak dari keruntuhan akhlak.


Perspektif dunia selepas belajar harus dilihat oleh graduan sebagai medan sebenar mencurahkan kebaktian ilmu demi mencapai tujuan akhirat. Umat menantikan curahan jasa para graduan dalam usaha membina umat yang terbaik dan negara yang baik yang dirahmati Tuhan Maha Pengampun. Mereka perlu menjadi jurupandu ke arah kemajuan yang bersifat holistik dan membina jiwa-jiwa berhikmah dalam masyarakat. Begitulah seharusnya graduan berperanan apabila terjun dalam dunia sebenar masyarakat selepas era kemahasiswaan. Namun ironinya, meskipun setiap tahun, berpuluh-puluh universiti melahirkan ribuan graduan, masyarakat masih dilihat jauh dari pencerahan menuju kebenaran dengan peningkatan statistik masalah-masalah sosial dan kelunturan agama.


Justeru, sebagai salah satu usaha membina graduan yang berbakti, pesta konvenkesyen yang biasanya dilihat sebagai suatu pesta pengijazahan kepada mahasiswa yang tamat belajar perlu diubah perspektifnya. Kebiasaan daripada hanya keraian menyambut para graduan, gerai-gerai jualan, konsert dan aktiviti kemeriahan kepada suatu pesta keilmuan. Pesta konvokesyen perlu diorientasikan menjadi medan jualan buku-buku, diskusi dan seminar keilmuan yang mencerminkan universiti sebagai medan pendidikan. Pesta yang menghimpunkan para graduan ini seharusnya dimanfaatkan sebaiknya dengan mengadakan siri-siri diskusi mahupun seminar pendidikan graduan. Ini antara lain, membolehkan mereka terarah dan terpandu dalam melayari kehidupan pasca mahasiswa. Kehangatan perbincangan ilmiah ini akan memperlihatkan tahap sebenar para graduan yang lahir menjadi manusia-manusia matang yang cerdik dan terdidik. Mereka diberi ruang membentangkan kertas-kertas kerja yang berkisar topik dalam bidang-bidang yang merangkumi pendidikan, kenegaraan, ekonomi dan sosial.


Oleh yang demikian itu, para graduan kini perlu sedar dan menjalankan tanggungjawab yang digalas terhadap diri serta masyarakat. Golongan ini perlu diangkat menjadi golongan harapan umat. Maka sebagai usaha untuk merealisasikannya, universiti perlu menjadi kembali medan mengacu manusia-manusia matang agar cita-cita pembinaan sebuah masyarakat bertamadun tercapai.

Saturday, October 8, 2011

ERTI

Dalam langkah perlahan

Ku mencari erti

Saat langkah deras

Ku mencari erti

Dalam diam dan kata

Erti dicari

Merenung dan berfikir

Mencari erti

Erti. Tujuan dan sebab.

Kerana apa?

Kerana Tuhankah atau kerana rasa dan jiwa?

Kerana manusiakah atau kerana Tuhan manusia?

Erti...