Thursday, December 9, 2010

Mengurus Anugerah

Suatu hari, seorang rakan bertanya kepada saya tentang seorang rakan lain yang baru lepas kemalangan motosikal kerana terlelap.

“Sudah lawat dia?”

“Belum” saya menjawab. Rancangnya sudah, buatnya belum.

“Rupa-rupanya dia langgar divider kerana terlelap. Saya pun selalu terlelap semasa menunggang motosikal”.

“Eh, bahaya tu!” Saya tekankan perkataan bahaya.

“Memang lah bahaya. Tapi mengantuk adalah perkara anugerah”.

“Memang mengantuk itu suatu anugerah, tetapi mengantuk (anugerah) harus diuruskan”.

“Erm...”

“Anak pun anugerah tetapi perlu “diuruskan”. Bukan diterima sahaja. Allah bagi anugerah, tanggungjawab manusia menguruskannya. Kerana itu manusia dilantik menjadi khalifah. Urus tadbir setelah itu baru serah pada takdir”.

Hidup itu pun suatu anugerah dari Yang Maha Hidup, jadi perlu “diurus” sebaiknya ke arah mencapai redha-Nya!

Tuesday, December 7, 2010

Is It Too Much?

Khatib dari mimbar pada khutbah Jumaat, 3 Disember, bertanya, “is it too much for Allah to ask us to obey Him?”


Apakah melampau untuk Allah menyuruh kita menyembah-Nya

Setelah diberikan kenikmatan yang tiada taranya?


Apakah melampau untuk Allah di agungkan dengan berzikir

Setelah dikurniakan-Nya kepada kita mulut dan suara?


Apakah melampau bagi Allah untuk kita menurut perintahnya

Setelah dikurniakan segala-galanya bagi kita tanpa memohon balasan atas kurnia-Nya?


Apakah melebihi batas bagi Allah menyuruh manusia memakmurkan bumi

Setelah dihamparkan-Nya bumi seluas-luasnya khusus bagi manusia?


Apakah melampau untuk Allah mengarahkan kita mentaati ibu bapa

Setelah dilahirkan-Nya kita dari sulbi mereka?


Apakah sudah terlebih firman Allah menuntut kita menundukkan pandangan

Setelah diberi penglihatan untuk melihat dunia pada kita?


Apakah sudah terlebih?

Setelah itu dan ini?


“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”(Quran: Ar-Rahman)


Bandar Seri Putra, 3 Disember 2010

Monday, December 6, 2010

BIAR AKU YANG BERDIRI


Biar aku berdiri

Andai yang sanggup bersama tiada lagi

Untuk bertahan di sisi,

Kerana aku yakin pada Ilahi

Yang sentiasa di sisi

Hambanya yang berserah diri.


Andai yang lain sudah pudar hati

Biar aku yang berdiri

Menggalas tugas amanah umat ini

kerana aku tidak boleh biarkan ia mati

di tangan ini. Bukan di tangan ini.

Bukan kerana tanganku ini.


Biar pun aku berdiri sendiri,

tidak aku gentar, tidak mahu aku gusar

selagi jasad masih bernadi

biar aku bertahan,

biarkan aku terus berdiri...


Ya Rabbi, sabarkan aku dan

teguhkan hati Ku ini

untuk terus berdiri

Menghadap-Mu...


Putra Mahkota, 12 mlm, Disember 2010


(Siapa lagi yang sudi berdiri? Khabarkan kepadaku!)


“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”.

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Al-Kahfi: 13-14

Sunday, December 5, 2010

Percaya kepada Diri Sendiri


Perbezaan kita dengan makhluk yang lain, iaitu kita hidup bermasyarakat. Perhubungan fikiran, senang dan susah di antara kita dengan sesama manusia, teramat eratnya sehingga kita tidak dapat memisahkan diri, seorang daripada seorang. Sungguhpun demikian, kemajuan masyarakat itu tidaklah akan tercapai, kalau sekiranya tiap-tiap orang tidak melakukan kewajipannya dengan giat. Orang yang hanya memberati orang lain, yang bergantung pada pinggang kawan atau tengkuknya, di tempat pendakian yang curam, tentu akan berbahaya kepada dirinya dan kepada orang tempat dia bergantung itu. Kemajuan pergaulan hidup adalah kemajuan fikiran dan kemajuan bakti.

Peribadi yang berguna adalah peribadi yang percaya akan kekuatan dirinya sendiri. Kekuatannya, akalnya, perasaannya dan kemahuannya sudah tersedia dalam jiwanya sejak dalam kandungan. Sekaliannya itu timbul kelak daripada pendidikan, lingkungan serta pergaulan.

Didikan yang baik menimbulkan jiwa yang baik. Orang yang percaya kepada dirinya sendiri, itulah 0rang yang merdeka sejati. Bukan orang lain yang menentukan ini salah, ini baik, ini buruk, melainkan kemerdekaan fikirannya dan kepercayaannya kepada dirinya sendiri, kelak yang membuat peraturan itu. Orang lain tak usah cemas atau takutu, sebab jiwa yang bebas itu sentiasa mengejar kebenaran.

Dengan percaya kepada diri sendiri, kita akan mengenal di mana kesanggupan kita, dan apa yang dapat kita kerjakan.

Orang yang percaya keapda dirinya sendiri tidak merasa hina apa yang dikerjakannya, bahkan dia ingin beroleh kemajuan dalam pekerjaannya itu.

Petikan-petikan dari buku Peribadi, Prof. HAMKA, Bahagian Percaya pada Diri

Not Afraid to be Alone

Thursday, December 2, 2010

Berjiwa Besar


Orang yang berjiwa besar, bukan tidak tahu bahawa ada yang buruk dalam dunia ini. Tetapi kebesaran jiwanya, keteguhan peribadinya menyebabkan dia memandang dunia dari segi yang baik.

kelemahan hati menyebabkan perasaan kecewa, menyebabkan alam terpandang dengan kaca mata hitam. Orang yang buruk pandangannya hanya sanggup mencela, hanya sanggup menyatakan perasaan tidak puas. Tetapi orang yang baik pandangannya sentiasa hendak membangunkan, meneruskan bengkalai yang telah ditinggalkan Tuhan, supaya disudahkan manusia, "Bumi ini kami wariskan kepada hamba yang sudi berbuat bakti" (Al-Quran)

Tukang "keluh-kesah" tidaklah akan menang, percayalah! Tukang "keluh-kesah" akan ditinggalkan oleh zaman.

Maka kalau peribadi hendak kuat, pandanglah alam dengan segala keindahannya, dan berusahalah menegakkan kebajikan di atasnya. Penyakit muram dan memandang buruk, pessimis, amatlah bahaya bagi diri sendiri. Anaknya amat banyak, di antaranya ialah benci dan dengki. dan itulah pangkal sakit jiwa yang susah diubati.

Petikan-petikan dari buku Peribadi, Prof HAMKA, Bab Alat Menimbulkan Peribadi: Berpandangan Baik

Wednesday, December 1, 2010

Matang Fikiran, Kefahaman dan sikap

Apabila ditanya apa beza matang sikap, matang fikiran dan matang kefahaman, tertanya pada diri, mestikah soalan ini di jawab?. Namun, akal berfikir, apakah ada beza antara ketiganya? atau sebenarnya ketiga-tiganya bersepadu, iaitu saling berkaitan? Mungkin ada bedanya sebab sudah pastilah fikiran, kefahaman dan sikap itu tidak sama. Faham itu datang dari fikiran. Sikap pula buah kefahaman terhadap fikiran. Jadi matangnya sikap, bergantung kepada matangnya kefahaman yang terlahir dari matangnya fikiran.

ILMU – MAKNA – TANDA.

Seseorang berfikir dan tahu (berkaitan dengan ilmu) berbuat maksiat itu dosa dan salah, tetapi pada masa itu tidak datang kefahaman (datang makna pada diri), maka sikap (tanda) yang benar tidak terlahir.

Mari kita teliti kisah seorang anak kecil yang menangis kerana kayu api. Dia tidak bermain bersama rakannya. Apabila ditanya, “Mengapa engkau menangis?” Budak itu menjawab, “Ketika aku membaca Al-Quran aku temukan firman Allah ‘Wahai orang-orang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu..’ (At-tahrim:6) Timbullah ketakutanku apabila dilemparkan ke dalam api neraka.”

Lelaki tua itu berkata, “Wahai anakku, janganlah engkau takut, engkau tidak akan dicampakkan ke dalam neraka, sebab engkau belum baligh. Engkau belum layak untuk di masukkan ke dalam neraka.” Anak kecil itu menjawab, “Engkaukan orang yang berakal, apakah engkau tidak tahu apabila seseorang hendak menyalakan api, ia akan memasukkan kayu bakar yang kecil dulu baru kemudian kayu bakar yang lebih besar..”

Mendengar kata-kata budak itu, menangislah lelaki tua tadi sambil berkata, “Sesungguhnya anak kecil ini lebih ingat kampung akhirat daripada diriku. Dunia telah jauh menyeretku.”

Si kecil ini fikirnya sedalam-dalamnya (matang), lalu membuatkan dia faham perumpamaan Allah dalam al-Quran. dari itu lahir sikap untuk bermuhasabah dan tidak bermain-main seperti rakannya.

Jadi, untuk matang jangan malas berfikir! Orang yang matang itu sikapnya optimis, tenang, tidak keluh-kesah. Dia tahu dia berdepan cabaran, digagahinya jua. Sikapnya baik, berakhlak mulia. Prof. Hamka kata, bergantungnya cuma pada satu: Allah!

(Terjawab atau tidak, saya pun tidak tahu)
There was an error in this gadget