Friday, March 18, 2011

Motivasi?

Motivasi perlu datang dengan keyakinan. Jika keyakinan tidak hadir, maka ragu-ragu akan mengambil tempat. Apabila ragu-ragu mula mengisi, hilanglah motivasi dan hadirlah resah, risau dan gelisah. Ragu-ragu juga akan membuka lubang bagi syaitan mecucuk jarum.

Lintang dalam Laskar Pelangi kata, "Pelangi terbentuk dari pancaran sinar matahari yang terbias pada titisan air hujan".

Matahari pasti muncul!


Motivasi Zikir



Jiwa bergelora? Hati resah dan gelisah? Bermuram dan bersedih? Berzikrlah kepada Allah.

“Hanya dengan mengingati Allah itu hati-hati akan menjadi tenang”

Sudah? Tidak jadi? Masih gelisah? Masih tidak tenang?Zikir itu adalah ungkapan-ungkapan motivasi yang sangat hebat. Jika kita menghayatinya. Merasakan ruhnya. Mendalami keluasan dan kehebatan semangatnya!

SubhanAllah, Maha Suci Allah atas keagunganNya. Maha Suci Allah atas kasih sayangnya kepada kita.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas nikmatnya, nyawa, tubuh badan, hati, akal, kehidupan ini.

Allahu akbar, Allah Maha besar sentiasa menanti pengampunan hambanya, pertolonganNya sentiasa ada, Yang tidak pernah meninggalkan kita. Sentiasa berada di sisi kita, sangat dekat…

Tidakkah ini mampu memotivasikan kita? Berzikirlah dengan penghayatan yang mendalam, fikir yang dalam.


Motivasi melalui Asma Ul Husna



Betapa beruntungnya menjadi umat islam yang seharusnya sentiasa termotivasi kerana di hatinya meyakini adanya Allah, rasa bertuhankan Allah.

Tuhan Yang Maha Pengasih (Ar-Rahman), Maha Penyayang (Ar-Rahim) di waktu kita kehausan kasih dan sayang,

Maha Menyelamatkan(As-Salam), Maha Memelihara (Al-Muhaimin) di saat berada dalam bahaya atau terancam,

Maha Pengampun (Al-Ghaffar), di saat kita merasa berdosa atau bertaubat,

Maha Pemberi (Al-Wahhab) tatkala sangat memerlukan sesuatu,

Maha Memuliakan (Al-Mu’izz), ketika dihina atau merasa terhina,

Maha Mencukupkan (Al-Muqit), apabila terasa kekurangan atau merasa rezeki, duit atau keperluan tidak cukup,

Maha Mengabulkan (Al-Mujib), saat berhajat terhadap sesuatu hal,Ada 99 semuanya. Atas alas an apa lagi kita bermuram? Resah dan gelisah? Tidakkah Asma Allah ini sangat memotivasikan?

Wahai insan kita ada Tuhan Yang Maha Agung! Ingatlah (berzikir) Asma’ Allah dengan penghayatan dan pemahaman!

Wednesday, March 16, 2011

Program Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan menganjurkan Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i (GKKI) dan Karnival Islam Warnai Hidupku pada 19 & 20 Mac 2011 iaitu pada hari Sabtu dan Ahad bertempat di perkarangan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Gombak, Kuala lumpur.

GKKI yang bakal dianjurkan tersebut bertujuan untuk merakyatkan kefahaman dan kesedaran Islam ke peringkat massa dengan membawa slogan Islam Warnai Hidupku kepada seluruh komuniti masyarakat khususnya remaja di kawasan berkenaan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara penduduk setempat dengan pelajar universiti di samping menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pusat ilmu dan aktiviti sosial..

Di samping itu, program yang turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan dan institusi lain ini mensasarkan lebih dari 10,000 pengunjung yang terdiri dari masyarakat setempat, warga ITP berdekatan, dan masyarakat awam.

Sepanjang dua hari program ini berlangsung, lebih dari sepuluh program utama telah diatur untuk dilaksanakan termasuklah program Motivasi Pelajar Super, program Apresiasi Tokoh, Kaji Selidik dan Praktikal Dakwah, Syarahan 50 Tokoh PKPIM oleh Al-Fadhil Ust Dato' Md Hashim Yahya, Konsert Nasyid dan Qasidah Islam Warnai Hidupku, Pameran Pendidikan dan Kemasyarakatan, Baca@LRT, Bengkel Kewangan, program Smart Solat, dan sebagainya.
Sementara itu, PKPIM akan menjadikan GKKI ini sebagai projek induk PKPIM sebagai rujukan asas untuk dilaksanakan oleh badan Gabungan Negeri dan seluruh cawangan PKPIM.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengalu-alukan penglibatan seluruh pihak untuk bersama-sama menjayakan GKKI ini sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan kefahaman Islam ke peringkat akar umbi yang secara tidak langsung mampu untuk membawa gelombang kedua ledakan dakwah di negara kita.

Kenapa sinikal pada FB?


Saya tidak ada kisah jika kita (Penggerak da’wah)untuk satu hari itu, kadar menelaah quran itu lebih banyak dari menelaah FB. Atau kadar zikrullah kita lebih banyak dari bibir dan hati membaca serta merasa komen-komen FB. Saya juga tidak kisah jika jiwa kita ini sudah kuat dengan ilmu-ilmu dasar dan mampu membendung nafsu. Saya tidak ada masalah jika saat kita melayari FB itu kita tidak lalai. Jika kita memang benar-benar berpesan-pesan dengan kebenaran dengan FB, ya, silakan saja…

Namun, jika satu hari tersebut anda telah pun membuka dan melayan FB beberapa kali, tetapi masih belum melayan dan menghayati Quran walau sekali, atau masih ada kerja-kerja yang lebih utama harus dibuat tetapi ditangguhkan, jawab sendiri adakah ini sesuatu hal yang sepatutnya atau tidak.

Apa yang menjadi kerisauan ialah pada generasi muda. Sejauhmana kita dapat mengawal fenomena FB ini terhadap generasi muda kita, agar tidak hilang nilai kemanusiaan mereka, tidak pudar rasa kehambaan mereka? Generasi muda remaja, belum pun setahun jagung, sudah meletakkan FB di hati mereka dan bukan zikir-zikir dan ayatul Quran.


Satu hal yang kita tidak boleh nafikan, globalisasi dan teknologi ada kesan dalam menghilangkan nilai-nilai kemanusiaan jika kita tidak mengakarkan perkara dan prinsip-prinsip dasar terlebih dahulu dalam hati manusia, lebih-lebih lagi anak-anak muda.

Ini Cuma kerisauan saya. Lontaran persoalan kepada penggerak da’wah FB supaya tidak terlalu selesa dengan FB. What are the consequences of our action through the FB to our faith, values and worldview? This question should always bear in our mind, especially to muslim…

Apakata anda letak komentar di bawah ini sebagai peringatan khusus kepada penggerak da’wah supaya tidak berlaku kelalaian:

“Jika anda belum solat atau ada urusan yang lebih utama dari membaca laman FB saya ini, sila tinggalkan laman FB ini dan selesaikan keutamaan anda. Terima Kasih”.

Atau

“Jika anda masih belum membaca dan tadabbur walau satu ayat Quran, sila berhenti dari membaca komentar-komentar di laman FB ini. Terima Kasih”.


(Kerana tidak yakin mampu mengawal diri terhadap FB dan tidak ada jaminan tidak lalai dari mengingati Tuhan, maka saya mengambil pendekatan untuk terus tidak terlibat dengan FB. Tapi jika anda mampu, silakan… )


(Sebenarnya hal lain pun sama juga, Cuma apabila kita selesa dan seronok, kita mula mencari alasan supaya tindakan kita sentiasa nampak baik dan tidak ada salahnya, antaranya termasuk lah menonton wayang gambar… (T_T)…)


(Ah, cabaran yang sangat banyak sekarang! Aku sendiri harus menilai diri dahulu! Erm...)

Monday, March 7, 2011

DIA yang memotivasikan...

Letaklah

pengharapanmu pada Allah, bukan pada makhluk yang akan sirna kerana Dia tidak akan pernah hilang dan sentiasa ada bersama.

Dia tidak akan pernah mengecewakan hati kalian, tidak akan pernah mengguris perasaan dan emosi kalian.

Kerana Ar-Rahman itulah kita diberi nikmat. Kerana Ar-Rahim itulah kita dikurnia redha dan berkat. Dialah yang akan memberi ketenangan kepada jiwa-jiwa yang berbolak-balik. Dialah yang menetapkan hati dan mendatangkan kekuatan. Dialah yang sentiasa memotivasikan semangat. Dialah yang mengatur setiap helaan dan hembusan nafas.

Thursday, March 3, 2011

Baca Buku: Rakyat Malaysia Menggemarinya!

Kadar membaca buku rakyat Malaysia meningkat secara mendadak dalam hanya setahun dua ini sahaja. Pada bulan Januari yang lepas, kita dapat lihat pembaca buku melangkaui angka 9.5 juta, dan statistik terkini memperlihatkan yang mana angka telah pun mencapai 10 juta.

Berdasarkan statistik tersebut, pembaca buku di Malaysia yang paling ramai adalah dalam lingkungan umur antara 18 hingga 24 tahun sebanyak lebih 38%, dan diikuti dengan pembaca berumur antara 25 hingga 34 tahun dengan lebih 33%. Pada masa yang sama juga, pembaca buku lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan, iaitu sebanyak 53%.Ucapan Tahniah harus diberikan kepada yang rajin membaca buku. Ini adalah suatu peningkatan yang amat memberangsangkan.

Saya bertemu dengan rakan yang belajar di Mesir yang kembali ke Malaysia kerana krisis di Mesir. Beliau memberitahu bahawa pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga semakin rajin membaca buku dan kitab agama. Mereka menelaah bersungguh-sungguh sehingga berjam-jam lamanya.

Buku-buku yang dibaca oleh mereka terdiri daripada pelbagai latarbelakang penulis. Tulisan-tulisan buku bacaan mereka itu ada yang santai, beremosi, serius, cinta dan sebahagiannya sukar difahami. Namun, melalui buku-buku tersebut, pembaca-pembca diberi ruang untuk memberi komen atau mengkritik penulis. Malah sebahagian meluapkan emosi dengan serta merta. Ini adalah suatu kelebihan yang tidak terdapat pada buku-buku sebelum ini. Buku-buku yang sebelum ini amat berat dan sukar dibaca. Ada waktunya memerlukan penelitian yang mendalam. Ini amat sukar bagi pembaca-pembaca sekarang.

Buku-buku terbaru bacaan rakyat Malaysia ini berjaya mencuri tumpuan pembacanya sehingga mampu untuk menelaah buku-buku berulang kali dan berjam-jam lamanya. Selain itu, pembaca juga boleh memohon untuk membina jaringan dengan rangkaian dengan pembaca lain, mahupun menambah buku dengan mudah. Meskipun kadangkala penulis-penulis buku itu tidak dikenali latar belakangnya.

Apa-apa pun perkembangan ini suatu petanda yang sangat baik bagi rakyat Malaysia yang rajin membaca buku keluaran terbaru ini.

Tahniah kepada pembaca BukuWajah (kata kawan-kawan saya di universiti, mereka guna nama ini) kerana telah beralih arah dan melupakan BUKU-BUKU YANG ADA DI RAK-RAK PERPUSTAKAAN MAHUPUN DI KEDAI BUKU.

Tahniah kepada pembaca FaceBook atas penumpuan dan luangan masa menelaahnya kerana tidak lagi berhadapan dengan kebosanan BUKU-BUKU ILMIAH PENULIS-PENULIS BESAR!

Tahniah juga kepada pembaca-pembaca buku agama WajhulKitab (kata kawan saya yang belajar di Mesir, mereka panggil nama ini) YANG SANGAT MENDIDIK DIRI BERBANDING AL-QURAN ATAU KITAB-KITAB DASAR AGAMA YANG BERAT DAN BERJELA-JELA AYATNYA!

Tahniah yang tidak berbelah bahagi kerana meningkatkan kadar kepenggunaan FaceBook di internet dan MENGALAHKAN KADAR PEMBELIAN BUKU-BUKU DI TOKO-TOKO BUKU! Ucapan tahniah diucapkan dari saya!

(Aku Menongkah Arus!)
There was an error in this gadget