Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan menganjurkan Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i (GKKI) dan Karnival Islam Warnai Hidupku pada 19 & 20 Mac 2011 iaitu pada hari Sabtu dan Ahad bertempat di perkarangan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Gombak, Kuala lumpur.
GKKI yang bakal dianjurkan tersebut bertujuan untuk merakyatkan kefahaman dan kesedaran Islam ke peringkat massa dengan membawa slogan Islam Warnai Hidupku kepada seluruh komuniti masyarakat khususnya remaja di kawasan berkenaan.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara penduduk setempat dengan pelajar universiti di samping menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pusat ilmu dan aktiviti sosial..
Di samping itu, program yang turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan dan institusi lain ini mensasarkan lebih dari 10,000 pengunjung yang terdiri dari masyarakat setempat, warga ITP berdekatan, dan masyarakat awam.
Sepanjang dua hari program ini berlangsung, lebih dari sepuluh program utama telah diatur untuk dilaksanakan termasuklah program Motivasi Pelajar Super, program Apresiasi Tokoh, Kaji Selidik dan Praktikal Dakwah, Syarahan 50 Tokoh PKPIM oleh Al-Fadhil Ust Dato' Md Hashim Yahya, Konsert Nasyid dan Qasidah Islam Warnai Hidupku, Pameran Pendidikan dan Kemasyarakatan, Baca@LRT, Bengkel Kewangan, program Smart Solat, dan sebagainya.
Sementara itu, PKPIM akan menjadikan GKKI ini sebagai projek induk PKPIM sebagai rujukan asas untuk dilaksanakan oleh badan Gabungan Negeri dan seluruh cawangan PKPIM.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengalu-alukan penglibatan seluruh pihak untuk bersama-sama menjayakan GKKI ini sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan kefahaman Islam ke peringkat akar umbi yang secara tidak langsung mampu untuk membawa gelombang kedua ledakan dakwah di negara kita.
No comments:
Post a Comment