Tuesday, February 16, 2010

S.A.T.U H.A.R.A.P.A.N


Along (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pembantu penyelidik di sebuah institusi di KL. Setiap 2 kali seminggu, balik ke rumah bonda nun di Bandar Seri Putra. STAR LRT menjadi pengangkutan utama dari Bandar Baru Sentul - Bandar Seri Putra – Bandar Baru Sentul kerana Along tidak pandai memandu kereta mahupun motor.

Hari-hari yang dilalui biasa saja. Manusia-manusia yang menaiki tren majoritinya bekerja dan pulang. Kehidupan dalam tren hari bekerja, terdiri dari manusia-manusia yang memerah keringat mencari saraan, ada juga yang bertujuan membeli-belah. Tak kurang juga pelancong-pelancong yang berjalan pusing-pusing mencari destinasi-destinasi sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk diteroka. Pelajar-pelajar sekolah mewarnai suasana tren dengan pakaian seragam.

Suatu hari dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, tren yang dinaiki Along meluncur laju dari stesen ke stesen. Manusia keluar dan masuk di stesen-stesen. Ada waktunya perut tren menjadi senak dan sesak apabila tiba di stesen tumpuan. Masjid Jamek, Hang Tuah, Plaza Rakyat dan stesen-stesen lain yang berada dalam lingkungan bandar Kuala Lumpur. Lengang bila ramai yang melangkah keluar. Waktu habis kerja, jangan mengharap akan suasana lengang dalam tren. Meskipun betapa ramainya manusia dalam tren, tetapi masing-masing lebih banyak membisu. Hanya sesekali bersuara menjawab telefon atau berbual jika ada teman bersama.

Membaca surat khabar, mendengar muzik dari telefon, i-pod atau pemain muzik dan pergerakan pantas jari-jemari memicit-micit kekunci telefon membaca, menjawab dan menghantar mesej pesanan ringkas. Itu sebahagian aktiviti manusia-manusia dalam tren bagi memenuhi sebahagian masa sebelum tiba di destinasi masing-masing. Masa yang selebihnya, termenung mengelamun pada posisi duduk atau berdiri. Sesekali mata berkedip. Tertutup sebentar kepenatan. Mulut yang ternganga menguap.

Tiba di sebuah stesen, masuklah sebuah keluarga. Ayah, Ibu, Anak perempuan dan seorang bayi. Si Ayah memegang bayi dan berjalan di hadapan sekali di paut oleh isteri. Tangan si ayah meraba-raba tempat duduk. Dia kelihatan seperti buta sebelah mata.. sebelah lagi mata si ayah bergerak-gerak seperti dapat masih mampu melihat. Mungkin tidak jelas kerana pergerakan bola mata seperti tidak tetap. Si ibu yang buta kedua belah mata memaut ayah sambil bajunya sendiri ditarik oleh anak perempuannya. Comel. Putih. Berambut panjang kerinting. Mungkin 6-7 tahun. Dia celik. Keadaan keluarga ini mengundang mata-mata manusia menatap mereka.

Keluarga itu duduk berhadapan tidak jauh dengan Along. Anak perempuan comel itu menyeluk-nyeluk beg kecilnya.

Si ibu tiba-tiba bersuara, “Kakak tak usah keluarkan barang-barang dari beg. Nanti hilang“. Ah, bagaimana dia bisa tahu apa yang dibuat anaknya? Naluri seorang ibu. Kuasanya keramat.

Tidak dipedulikan si kecil itu pada kata-kata ibunya. Apa dicari adik ini? Si kecil itu mengeluarkan sebuah bekas kecil. Bekas yang biasanya digunakan untuk menyimpan barang kemas seperti cincin atau subang berbentuk bulat. Merah warnanya. Penutup lutsinar. Isinya tidak ada. Cuma tinggal span alas.

Mata Along tidak lepas dari memandang si montel itu. Si kecil itu mengeluarkan span alas dari bekasnya. Membayangkan dirinya dihadapan cermin, span yang dipegang itu dijadikan seperti span bedak wajah. Disapu-sapunya ke wajah. Di pipi, sekeliling hidung dan sekitar matanya. Di letak lagi span itu pada bekas seakan ada bedak wajah. Di sapu lagi ke wajahnya. Kali ini pada dahi. Khusyuk dia berdandan tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang.

Si anak perempuan kecil barangkali sudah mula kebosanan menanti lamanya untuk sampai. Turun dari tempat duduk berjalan menghampiri ayah.

” Ayah, nanti kita pergi shopping ye”...
” Kakak nak beli apa?”..
” Kakak nak beli gincu dengan bedak sekali” Dengan wajah penuh berharap dia memandang ayahnya.

”Eh, nak buat apa make up... Orang yang tak cantik je yang pakai make up. Anak ayah kan dah cantik, tak perlu lah pakai make up”. Lembut dan bersahaja ayahnya menjawab. Jawapan yang paradoks tapi logik. Diam si anak kecil itu. Mengerti dia maksud ayahnya itu.

“Eh, kakak kita dah sampai mana?” pertanyaan yang kemungkinan bagi mengelakkan anaknya dari memikirkan harapannya yang ditolak. Saat itu tren berhenti di sebuah stesen. Pintu terbuka ke kiri dan kanan. Ada beberapa pergerakan keluar masuk tren.

“Cuba kakak baca tulisan kat luar tu”.. kata si ayah.
Si kecil melihat ke luar tren lalu menyebut, ”S.A.T.U H.A.R.A.P.A.N”.

Spontan anak pasangan buta ini menyebut huruf-huruf yang terpampang di satu papan di stesen tersebut. Wajah ayahnya berkerut pelik. Berfikir ”S.A.T.U H.A.R.A.P.A.N. Satu Harapan? Stesen mana ni Satu Harapan?” tetapi kemudian tersenyum.

Bunyi Tuuut! Tuuut! Tuuut! Menyusul. Tanda pintu akan ditutup. Tren bergerak perlahan-lahan.

Along, perasaan dalam hatinya sudah bercampur-baur. Suka melihat keletah si kecil itu tapi kasihan pula padanya kerana tidak beroleh keinginannya. Dia juga terkesan dengan peristiwa S.A.T.U H.A.R.A.P.A.N. itu tadi. Pada masa yang sama juga tertanya-tanya keluarga ini hendak ke mana? Tadi itu stesen PWTC. Tinggal dua stesen sahaja lagi sebelum stesen terakhir. Mahu ditanya, tapi mulut terkunci.

Beberapa saat selepas tren mula meluncur, suara rakaman kedengaran dari corong pembesar suara, ”Stesen seterusnya, Titiwangsa. Titiwangsa. Next station, Titiwangsa. Titwangsa”.
Si ayah berbisik pada ibu. Di capainya beg-beg di lantai. Tiba di stesen Titiwangsa, si ibu dan ayah membuka tongkat putih yang dilipat dan serentak dengan itu bangun. Ayah mengendong bayi, si ibu menjinjing satu beg. Ibu di belakang memegang bahu ayah. Anak perempuan menarik baju ibu. Orang ramai memberi laluan. Berjalan mereka menuju ke destinasi bersama harapan yang tersimpan...

(Ini adalah kisah benar yang diceritakan pada aku dan ditulis oleh Along. Di bawah adalah gambar papan iklan yang dibaca oleh si kecil comel itu)

Pelajaran moral:
1) Kehidupan di K.L, lebih mudah naik pengangkutan awam untuk bergerak.
2) Apabila dalam tren, jangan bazir masa. Baca buku dan perhatikan manusia-manusia di sekeliling. Ada hal yang boleh dipelajari. Hidup adalah medan pendidikan.
3) Hendak balik rumah naik tren, pilih masa yang bukan masa puncak.
4) Sentiasalah menganggap wajah anda sudah cukup cantik, supaya tidak perlu memakai make up.
5) Ajar anak-anak atau adik-adik kita erti kecantikan sebenar.
6) Sekiranya anda membawa anak-anak berjalan, pastikan beritahu pada dia tempat yang dituju supaya dia boleh bantu anda untuk tidak sesat.
7) Ketahui stesen-stesen yang ada dalam laluan tren yang anda naiki.
8) ..........................

Pelajaran-pelajaran moral yang lebih penting dalam cerita ini kalian sahaja yang sebutkan dengan menambah pada komen...

Saturday, February 13, 2010

Makna Disebalik Tulisan-tulisan



Pernah seorang berkata, ”Saya tak sesuai dengan blog anda. Tak faham”
Jawabku, ”Tulisanku tidak mudah. Sebolehnya tulisanku itu mesti dipastikan berisi” (Pada pandangan aku sendiri)

Artikel yang ditulis, seboleh-bolehnya memberi manfaat. Tidak hanya sekadar coretan-coretan kosong. Sengaja ditulis dalam keadaan yang penuh rahsia. Banyak kisah-kisah disebaliknya yang tersisip. Isinya sukar terlihat secara terus. Tujuannya adalah supaya aku dan kalian berfikir. Merenung dalam-dalam. Tafakur. Mesejnya tidak mudah. Perlu diproses. Dikait dan berkait.

Namun, dalam tulisan yang berselindung, boleh timbul persangkaan yang meleset. Memang agak payah menulis dalam gaya begini. Perkataan-perkataan yang dipilih serta susunan ayatnya memainkan peranan yang penting dalam mengarahkan yang membaca kepada mesej sebenarnya.

Aku ada membeli sebuah buku terbitan ISTAC bertajuk, Sastera Sufi, yang sempat ku baca hanya sebentar. Ah! Aku kangen pada buku itu! Puisi di dalamnya amat payah untuk difahami. Filosofis. Sufisme. Tahu sajalah. Baca saja puisi A. Samad Said yang panjang berkenaan Nabi s.a.w. Bukan senang menyelongkar maknanya. Lagu-lagu M. Nasir, Ramli Sarip dan Kopratasa tidak hanya alunan muzik yang mengasyikkan. Pernahkah kalian melihat liriknya?
Seperti lagu ini: Phoenix Bangkit Dari Abu


Bina jambatan menuju ke seberang
Melangkah jurang lebar dan dalam
Dengan darah dan keringat
Dengan airmata berpegang pada taliNya

Rapatkan saf semangatmu jangan goyah
Kota yang telah roboh harus dibina semula
Atas dasar kebenaran demi kita demi waris
Semua serangan yang datang kita tangkis

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu
Bangkit membina (semula) satu keindahan (baru)

Phoenix bangkit
Bina jambatan menuju keseberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta

Dapat maksudnya? Ini karya agung orang seni...
Sastera-sastera ini diperah-perah akal pun tidak faham juga. Apa yang difikirkan oleh pencipta sastera ini? Apa yang hendak disampaikan? Tinggi. Ada masanya tak tercapai akalku. Kalau tidak ditanyakan pada yang menulisnya, sampai sudah tidak akan faham. Jika dipaksa juga difikirkan, boleh jadi meleset fahamnya. Oleh itu, pelajaran moralnya: mudahnya kalau tidak faham tanya terus pada yang menulisnya.

Tetapi untuk apa menulis tetapi orang tidak faham? Ah! Aku sendiri pun tidak tahu. Barangkali kerana aku sukakan kerahsiaan dan misteri. Aku gemar pada keadaan tertanya-tanya. Baikkah atau burukkah keadaan seperti itu? Kalian yang membaca yang menghakiminya. Barangkali tulisan aku bukannya sastera, tapi hanya nukilan-nukilan yang memusingkan... (aku pula yang pusing, enam jadi sembilan...)

(Aku terpengaruh dengan mesej-mesej Andrea Hirata. Setelah menatap Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor aku jadi koyok! Maryamah Karpov! Tunggu aku!)

Sunday, February 7, 2010

Penerangan Makna Puisi: Yang mengharap Antara Ro dan Nun

Puisi ini ditulis sebenarnya adalah refleksi dari gelagat-gelagat anak muda yang tidak lagi mengenal erti sebenar al-hubb. Mereka terperangkap pada nafsu bertopeng kasih sayang. Terilusi oleh pemikiran-pemikiran yang menghancurkan bahawa hubungan sesama manusia, terutama lelaki dan perempuan itu sucinya pada romantik, madah-madah dan sentuhan-sentuhan dusta. Ini ilusi yang sengaja dibawa ke dalam masyarakat melalui filem-filem, media-media, drama, lagu dan sebagainya. Ini adalah sungguh suatu TIPU DAYA yang AMAT BESAR dan BERBAHAYA!!!

Juga melihat dan memperingatkan pada diri, cabaran hari ini perlu menongkah songsang dari kebiasaan beracun yang diserap secara halus....

Al-hubb itu apa sebenarnya?
Al-hubb antara yang berbeza,
Antara ro dan nun,
Bersatunya memenuhi sunnah,
Bersatunya menjadi ibadah,
Bersatunya menuruti perintah,

Penerangan rangkap 1:
Al-Hubb adalah bahasa Arab bermakna kasih sayang. Kasih sayang antara yang berbeza iaitu lelaki dan perempuan. Lelaki dalam bahasa Arabnya 'Rijal' yang perkataannya bermula dari huruf 'Ro'. Tahukan huruf jawi? Jadi 'Ro' itu adalah untuk 'rijal'. dan 'Nun' pula adalah untuk 'Nisa' yang beerti perempuan. Jadi apa yang sebenarnya diharapkan antara seorang rijal dan seorang nisa? Apa sebenarnya hikmah antara dua jantina ini?

Itulah dia, memenuhi sunnah Nabi. Juga sebagai suatu ibadah. Pengabdian pada Tuhan. Juga adalah menuruti perintah Tuhan dan Rasul.

Hadir padaku yang aku tidak tahu,
Yang ada belum tentu,
Memilih? apakah ini saatnya?
Atau sebenarnya belum sampai waktunya?
Memutus yang terbaik bagi semua
Maslahah semua yang utama,

Penerangan rangkap 2:
Dunia ini Allah jadikan penuh dengan ragam. Ada kejutan. Ada warna-warninya. kita tidak akan pernah tahu apa yang diaturkan Tuhan. Ada masa kita tidak minta diberi. Ada masa Tuhan tidak beri saat kita mahu. Itulah Tuhan. Memahami erti sifat "Qudrat" Tuhan.

Waktu. Selalu memainkan peranan yang penting. Apakah pada saat membuat keputusan itu sudah tiba masanya? sesuai masanya? Keputusan yang dibuat juga tidak harus mementingkan diri.Mementingkan nafsu. Harus mengambil kira faktor yang ada disekeliling.

Enggan bermadah pujangga
Enggan menitip kata meruntun rasa
Agar tidak layu jiwa diperdaya
Jelas perlu jelas, kabur ditinggalkan
Mengharap jangan dibiarkan
Yakinlah ada dia untukmu
Dan ada dia untukku

Biarlah engkau yang menentukan,
Sememangnya Engkau penentu,
Terkejar ku tidak,
Membiar juga tidak,
Ya Allah, Engkau dan RasulMu,
Pilihan utamaku,

Penerangan rangkap 3 dan 4:
Soal jodoh ini ada yang kata 'mesti berusaha'. Ada yang kata 'jodoh itu kuasa Tuhan, berserah lah'. Di antara dua ini mesti diharmonikan. Usaha perlu ada tetapi tidak menafikan ketentuan Tuhan yang menentukan. Berkait dengan rangkap dua, boleh jadi usaha belum diarahkan kepada hal pernikahan kerana ada yang lebih utama. Bagi diri aku usaha belum terarah ke hal ini. Yang pasti pengharapan teratas mesti pada Yang Menciptakan. Keutamaan yang mula-mula ialah Allah dan Rasul. Bermaksud melihat apa kata Allah mengenai pengharapan, lelaki dan perempuan dalam Quran. Begitu juga apa kata Nabi s.a.w dalam hadis dan sunnah baginda. Bukan mengutamakan pandangan sendiri juga bukan pemikiran-pemikiran yang merosak.

Saat ini,
Kukuhkan setiap langkahku,
Berderap langkah bertaruh setiap nadi
Bangkit memuliakan hidup,
Menggenggam nafas akhir syahid,

(Semoga aku tidak berbohong kepada diri sendiri)

Penerangan rangkap 5:
Hidup adalah suatu nikmat. Juga adalah suatu pengharapan. Juga adalah suatu perjuangan. Jangan pernah mengalah. Orang muda semangatnya tinggi. Jiwanya berapi-api. Harus punya kemahuan dan semangat yang tidak pernah lelah!

”Ya Allah, di saat aku ditimpakan ujianMu,
Kuatkan imanku, tegarkan kesabaranku,
palingkanlah aku di atas ketaatan kepadaMu
eratkan genggaman ku terhadap agamaMu,
hindarkan aku dari terpedaya,
lindungi aku dari kata dusta dan fitnah-fitnah,
Engkau tempat aku kembali,
Engkau tempat berlindung,Tetapkan cintaku rinduku padaMu, pada RasulMu“

Tuesday, February 2, 2010

Nilai Seorang Gadis


Suatu hari saya terlihat ada gambar seorang rakan pada YM nya. Dipandang dua tiga kali. Ermm….

Saya: aik terkejut muncul gambar. La tukar lagi gambar.

Dia: he he he he. Tak suka gambar tadi. Gambo ni comel sikit. he he he. Saya betul-betul tidur waktu ni. (merujuk kepada gambar YM nya). Tak perasan bila kawan ambil.

Saya: Maaf ya, tapi tidak elok lah kan nak tunjuk gambar tidur pada semua? Suami awak je boleh tengok awak tidur .

Dia: mmmm... saya dah banyak kali tidur. Dah ramai tengok saya tidur

Saya: jika begitu jangan bagi lebih ramai tengok heheh (memeberi maksud kepada paparan gambar YM)

Dia: tak boleh ke?

Saya: tidak manis bagi anak dara. Kesucian maruah kena jaga. Hah! barulah betul-betul anak dara sunti. Anak dara suci. kan?

Dia: hemmmm. Ok. Ok. Maaf.

Saya: tak apa.

Dia: gambar ni? (pantas sahabat ini menukar gambar kepada yang lebih baik. Saya menghantar icon senyuman)

Saya: Pada saya awak ni sangat-sangat berharga

Dia: Ea? kenapa?

Saya: Ok. Gambar tu ok. Maksud saya. Sangat-sangat kita ini berharga

Dia: ?

Saya: tinggi nilai.

Dia: aa. Ok. Ok. (Nampaknya dia mula faham). Saya cuba jadi baik. He he

Saya: Jadi menjaga hal-hal seperti tadi. Memberi nilai yang tinggi pada diri.
(Sekarang ini, anak perempuan diletak pada nilai-nilai material, wang (tak semua orang). Eh, mana boleh macam tu!)

Dia: oo…. Baik. Baik. Terima kasih.

Pulang ke rumah. Bercuti. Mengajar adik saya yang perempuan mengaji. Dia membaca surah al-Ahzab muka surat 442. Ayat 31 hingga 35. Seperti kebiasaannya, sebelum habis, akan dibacakan dan diterangkan mengenai maksud ayat apa yang dibacanya. Namun, ayat yang mahu saya kaitkan dengan perbualan di atas ialah ayat 35.

Saya: Ha, faham tak apa yang dibaca tadi?

Adik: Tak.

Saya: Tengok ayat yang terakhir tu. Yang panjang tu. Baca maksudnya.

“Sesungguhnya, lelaki yang muslim, dan perempuan yang muslim, dan lelaki mukmin dan perempuan mukmin, dan lelaki yang taat, dan perempuan yang taat, dan lelaki yang benar, dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang khusyuk, dan perempuan yang khusyuk, lelaki yang bersedekah, dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa, dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang memelihara kehormatan, dan perempuan yang memelihara kehormatan, lelaki yang banyak mengingati Allah, dan perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar”

Lalu diterangkan pada adik mengenai ayat ini. Untuk artikel ini saya pendekkan terus kepada ayat “dan perempuan yang memelihara kehormatan”. Nah, adik… sekarang yang dikatakan memelihara kehormatan itu bukan hanya memelihara kemaluan sahaja. Tetapi merangkumi juga dari sudut menjaga keperibadian, akhlak, harga diri, pertuturannya.

Begitu juga gambar-gambar yang hendak dipaparkan dalam facebook atau myspace atau friendster. Tidak sewenang-wenangnya dipaparkan gambar kita bergaya-gaya, posing bahasa Inggerisnya. Gambar-gambar yang diambil dari sudut tertentu supaya nampak ‘cute’nya. Nampak hebatnya. Nampak bergaya. Nampak apa-apa lagilah. Jangan dijadikan kebiasaan. Di sini ada hal menjaga kehormatannya. Menjaga kesuciannya. Menjaga malunya.

Harus berhati-hati. Perlu ada rasa malu apabila orang melihat gambar kita itu. Lebih-lebih lagi apabila gayanya kurang manis! kata orang melayu. Ngak enak! Bahasa Indonesianya. Tidak seharusnya mudah-mudah kita memberi ruang untuk orang menatap-natap kita yang ada dalam gambar itu. Ee… cute la. Fuiyo, lawanya. Cantiknya. Comelnya. Itu kalau komennya begitu, kalau sebaliknya. Dah menjadi cakap-cakap orang pula. Macam seronok je letak gambar, orang tengok. Yang ditatapnya itu belum tentu lagi hanya wajah anda… Elakkan dari gambar kita itu menjadi punca menggoyah nafsu orang. Tanpa kita sedar…

Jadi, bagi yang perempuan, yang terlebih layak melihat awak seperti yang dalam gambar itu ialah suami. Sekiranya, benar-benar dijaga, barulah si suami itu mendapat seorang isteri yang benar-benar suci, terjaga kehormatannya. Seorang isteri yang betul-betul tinggi nilai maruah dirinya. Seperti sebutir berlian yang sangat berharga. Yang hanya boleh dilihat, disentuh dan dimiliki oleh yang berhak sahaja.

Oleh itu, puji-pujian, cute, comel, cantik, itu biar suami yang sebut. Lebih romantik, tak gitu? Nanti akhirnya akan dirasakan suatu kepuasan dalam diri. Kepuasan yang sukar digambarkan. (Barulah nantinya boleh nak jadi seperti Anna Althafunnisa dan Abdullah Khaerul Azzam ye tak? Ops… Gara-gara KCB nih… he he he). Darjat kita akan diangkat jika punya ciri-ciri seperti dalam ayat 35, surah al-Ahzab. Hal ini pun sama juga bagi yang lelaki. Era moden ni, kena berhati-hati ya…

Ini pandangan saya. Jadi sahabat-sahabat bagaimana?

(Terima Kasih kepada yang berdialog bersama saya. Moga isi dialognya mampu memberi kebaikan kepada yang lain)
There was an error in this gadget