Sunday, February 7, 2010

Penerangan Makna Puisi: Yang mengharap Antara Ro dan Nun

Puisi ini ditulis sebenarnya adalah refleksi dari gelagat-gelagat anak muda yang tidak lagi mengenal erti sebenar al-hubb. Mereka terperangkap pada nafsu bertopeng kasih sayang. Terilusi oleh pemikiran-pemikiran yang menghancurkan bahawa hubungan sesama manusia, terutama lelaki dan perempuan itu sucinya pada romantik, madah-madah dan sentuhan-sentuhan dusta. Ini ilusi yang sengaja dibawa ke dalam masyarakat melalui filem-filem, media-media, drama, lagu dan sebagainya. Ini adalah sungguh suatu TIPU DAYA yang AMAT BESAR dan BERBAHAYA!!!

Juga melihat dan memperingatkan pada diri, cabaran hari ini perlu menongkah songsang dari kebiasaan beracun yang diserap secara halus....

Al-hubb itu apa sebenarnya?
Al-hubb antara yang berbeza,
Antara ro dan nun,
Bersatunya memenuhi sunnah,
Bersatunya menjadi ibadah,
Bersatunya menuruti perintah,

Penerangan rangkap 1:
Al-Hubb adalah bahasa Arab bermakna kasih sayang. Kasih sayang antara yang berbeza iaitu lelaki dan perempuan. Lelaki dalam bahasa Arabnya 'Rijal' yang perkataannya bermula dari huruf 'Ro'. Tahukan huruf jawi? Jadi 'Ro' itu adalah untuk 'rijal'. dan 'Nun' pula adalah untuk 'Nisa' yang beerti perempuan. Jadi apa yang sebenarnya diharapkan antara seorang rijal dan seorang nisa? Apa sebenarnya hikmah antara dua jantina ini?

Itulah dia, memenuhi sunnah Nabi. Juga sebagai suatu ibadah. Pengabdian pada Tuhan. Juga adalah menuruti perintah Tuhan dan Rasul.

Hadir padaku yang aku tidak tahu,
Yang ada belum tentu,
Memilih? apakah ini saatnya?
Atau sebenarnya belum sampai waktunya?
Memutus yang terbaik bagi semua
Maslahah semua yang utama,

Penerangan rangkap 2:
Dunia ini Allah jadikan penuh dengan ragam. Ada kejutan. Ada warna-warninya. kita tidak akan pernah tahu apa yang diaturkan Tuhan. Ada masa kita tidak minta diberi. Ada masa Tuhan tidak beri saat kita mahu. Itulah Tuhan. Memahami erti sifat "Qudrat" Tuhan.

Waktu. Selalu memainkan peranan yang penting. Apakah pada saat membuat keputusan itu sudah tiba masanya? sesuai masanya? Keputusan yang dibuat juga tidak harus mementingkan diri.Mementingkan nafsu. Harus mengambil kira faktor yang ada disekeliling.

Enggan bermadah pujangga
Enggan menitip kata meruntun rasa
Agar tidak layu jiwa diperdaya
Jelas perlu jelas, kabur ditinggalkan
Mengharap jangan dibiarkan
Yakinlah ada dia untukmu
Dan ada dia untukku

Biarlah engkau yang menentukan,
Sememangnya Engkau penentu,
Terkejar ku tidak,
Membiar juga tidak,
Ya Allah, Engkau dan RasulMu,
Pilihan utamaku,

Penerangan rangkap 3 dan 4:
Soal jodoh ini ada yang kata 'mesti berusaha'. Ada yang kata 'jodoh itu kuasa Tuhan, berserah lah'. Di antara dua ini mesti diharmonikan. Usaha perlu ada tetapi tidak menafikan ketentuan Tuhan yang menentukan. Berkait dengan rangkap dua, boleh jadi usaha belum diarahkan kepada hal pernikahan kerana ada yang lebih utama. Bagi diri aku usaha belum terarah ke hal ini. Yang pasti pengharapan teratas mesti pada Yang Menciptakan. Keutamaan yang mula-mula ialah Allah dan Rasul. Bermaksud melihat apa kata Allah mengenai pengharapan, lelaki dan perempuan dalam Quran. Begitu juga apa kata Nabi s.a.w dalam hadis dan sunnah baginda. Bukan mengutamakan pandangan sendiri juga bukan pemikiran-pemikiran yang merosak.

Saat ini,
Kukuhkan setiap langkahku,
Berderap langkah bertaruh setiap nadi
Bangkit memuliakan hidup,
Menggenggam nafas akhir syahid,

(Semoga aku tidak berbohong kepada diri sendiri)

Penerangan rangkap 5:
Hidup adalah suatu nikmat. Juga adalah suatu pengharapan. Juga adalah suatu perjuangan. Jangan pernah mengalah. Orang muda semangatnya tinggi. Jiwanya berapi-api. Harus punya kemahuan dan semangat yang tidak pernah lelah!

”Ya Allah, di saat aku ditimpakan ujianMu,
Kuatkan imanku, tegarkan kesabaranku,
palingkanlah aku di atas ketaatan kepadaMu
eratkan genggaman ku terhadap agamaMu,
hindarkan aku dari terpedaya,
lindungi aku dari kata dusta dan fitnah-fitnah,
Engkau tempat aku kembali,
Engkau tempat berlindung,Tetapkan cintaku rinduku padaMu, pada RasulMu“

No comments:

Post a Comment