Petang 25 Ramadhan, saya berjalan menuju ke masjid. Langit gelap sarat dengan awan hitam, menanti tiba waktu mencurahkan air ke bumi. Tiba di masjid, saya menapak ke sebelah kanan masjid, untuk meletakkan alas kaki. Lalu saya terserempak dengan seorang lelaki yang memegang dua bekas nasi yang disediakan oleh masjid untuk berbuka. Ah, mungkin ada lebih, tapi masih boleh dikira awal lagi untuk dikatakan ada lebih. Selalunya tidak cukup. Mungkin dia bawakan untuk temannya, mana tahu.
Saya meletakkan selipar di rak, dan menuju ke bahagian bawah masjid tempat berbuka puasa diadakan. Ada lebih kurang lima minit lagi waktu berbuka. Ruang bawah masjid sudah dipenuhi manusia.
Lalu saya terserempak dengan seorang lagi yang membawa dua bekas makanan di tangan. Saya perhatikannya. Eh, bekas nasi yang ditangan disimpan, kemudian dia duduk pula di tempat yang tersedia satu bekas nasi. Tiga bekas nasi, satu makan, dua simpan. Banyak sangatkah nasi yang disediakan sehingga ramai yang ambil lebih? Mata saya pun melilau. Bukan seorang dua, ramai rupanya yang ambil lebih, ada yang ambil lebih satu dan ada yang ambil dua.
Eh, ramai lagi rasanya orang yang hendak berbuka puasa di masjid ni. Kalau ambil lebih tentu tidak cukup.
Saya pun duduk bersandar di dinding, mengadap tempat nasi diagihkan. Orang masih ramai yang datang untuk berbuka. Nasi pula nampaknya tinggal sedikit. Pasti tidak mencukupi. “Allahu akbar Allahu akbar“, azan pun berkumandang. Semua mula menjamu makanan masing-masing. Namun hati saya gundah, apabila melihat orang masih datang untuk mendapatkan makanan. Dan apa yang berlaku, seperti yang dijangkakan. Nasi yang disediakan tidak cukup. Sedih rasanya melihat kerana ketamakan kita, orang lain teraniaya.
Mereka yang mengambil lebih boleh dikira telah mengambil hak orang lain. Tidak cukupkah satu? Ya, tidak cukup jika kita menurut hawa nafsu kita. Kadang-kadang kita risau, kita tidak dapat hak kita, menuntut hak kita sehingga kita lupa yang lebih utama sebenarnya adalah menunaikan hak orang lain.
“kena datang awal masjid, nanti tak dapat makanan”, “orang ramai”. Itu adalah antara alasan yang timbul. Sebenarnya tidak perlu risau akan semua itu. Yang perlu utama difikirkan ialah puasa kita. Kita lupa puasa belum tamat sehingga saat takbir pertama azan. Hakikatnya ibadah kita bukan habis setakat berbuka. Ada kesinambungannya. Saat berbuka itu kita dapat lihat hasil puasa kita selama sehari.
Tidak ada apa yang perlu direbutkan. Sekiranya Rasulullah s.a.w hanya berbuka dengan tamar masakan kita perlu risau andai kita cuma punya tamar untuk berbuka? Atau sekadar air. Berbuka itu bukanlah makan untuk kenyang, menampung makanan untuk sehari. Mengambil lebih dari keperluan sehingga mencabul hak saudara kita. Hakikatnya tidak begitu.
Teringat saya akan satu episod siri rancangan Bersamamu yang betul-betul memberi impak dan kesan pada saya. Sering saya teringat akan kisah sebuah keluarga di Felda jengka yang dipaparkan pada hari Jumaat malam Khamis. Begitu sedihnya kerana keadaan mereka yang begitu berbeza dengan kita. Tiada makanan pun untuk direbutkan. Tiada makanan pun untuk dibazirkan. Yang ada hanyalah pisang rebus yang dimakan oleh anak-anak dan ibu, tanpa dijamah oleh ayah. Itulah lauknya hampir setiap hari.
Hanya pelita minyak kelapa pengganti arus elektrik. Rumah pula hanya sebahagian berdinding. Lebih menambah sebak apabila si anak kecil tidak mahu bersekolah kerana diejek miskin oleh kawan-kawan. Sedih hati ayah yang berusaha mencari duit bagi menyekolahkan anaknya. “biarlah apa orang nak kata kakak, biarlah, selagi ayah hidup ayah akan jaga kita sekeluarga”.
Mereka inilah harus kita berikan makanan yang kita makan sehingga senak perut lebih dari keperluan. Mereka inilah yang harus kita bela. Mengikut hawa nafsu tidak akan pernah puas. Kata luqman al-hakim, “adalah lebih baik makanan yang dimakan sehingga kenyang itu diberikan kepada anjing yang lapar”
No comments:
Post a Comment