Wednesday, June 13, 2007

Sekilas Coretan

Dengan nama Allah yang Mencipta manusia, permulaan bicara…

Wanitalah yang melahirkan manusia agung Muhammad Rasulullah. Wanita juga yang melahirkan para rasul dan nabi, tabi’in dan ulama’. Begitu tinggi kemuliaan seorang wanita, betapa besar pengorbanan wanita dalam perit, dengan derita, penuh sengsara yang bersulam kasih sayang, beserta belaian lembut, halus penuh rasa, melahirkan, mendidik manusia-manusia hebat, pejuang agama.


Wanita juga yang menjadi syahidah pertama dalam permulaan pengembaraan pengembalian manusia kepada Tuhan yang Esa oleh Rasulullah s.a.w. Juga disisi Rasul terakhir kekasih Allah, sentiasa ada wanita yang memberi sepenuh jiwa raga pengorbanan. Begitu Allah mengurniakan nikmat pada manusia perempuan.


Ada erti yang mendalam dalam kata pepatah syurga di bawah tapak kaki ibu. Wanita ibu, menjadi antara penentu syurga neraka manusia lelaki, redha ibu juga redha Allah, begitu makbul doa, rasa hati, seorang wanita ibu.


Jadilah wanita yang taat seperti Maryam, patuh pada Tuhan dikala dikhabarkan akan bertanggungjawab melahirkan dan mendidik Nabi Isa. Contohilah Sumayyah teguh iman dan tekad pada Tuhan Allah dalam sengsara yang perit. Jadilah seperti Khadijah yang berkorban jiwa dan raga, sentiasa disisi suaminya Muhammad Al Amin hingga akhir hayatnya. Jadilah seperti Fatimah yang zuhud hingga menitiskan air mata kekasih Allah melihatkan keadaannya yang tidak memikirkan dunia.


Wanita jaga dirimu dikala manusia lelaki rakus meragut kehormatanmu, mohon perlindungan daripada Tuhan yang Satu. Jangan pernah membenarkan kejahiliyahan menjatuhkan martabat wanita sesudah penat lelah Rasulullah menyebar Islam, mengangkat wanita ke darjat yang tinggi. Jangan pernah membuka peluang kepada nafsu dan syaitan merobek keimananmu. Petanda akhir dunia, kebanjiran wanita bukan hanya menjadi peringatan kepada lelaki, tetapi juga kepada wanita. Apakah bilangan itu dipenuhi dengan muslimah solehah? Atau redhakah kita jika bilangan itu mengecewakan?

Bersama pohonan kemaafan, sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget