“I am sick of promises” tersentak saya membacanya. Berfikir sejenak. Ligat otak berputar, mengapa timbul ayat seperti ini? Setelah bermuhasabah sebentar, ya, ayat ini tepat mengena pada saya.
Mengapa? Kerana banyak janji-janji yang ditabur tidak dijaga, ditinggalkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Tindakan yang setanding dengan ungkapan dan kata-kata yang terpacul dari mulut. Semakin banyak semakin terlupakan. Bertimbun-timbun janji menanti untuk ditepati. Yang ingat belum tentu terlarat dipenuhi, apatah lagi yang hilang dari ingatan. Ya Allah, betapa aku lalai!
Memungkiri janji, itulah sifat munafiqun. Apakah saya mahu sifat itu tertanam dalam diri? Sudah tentu tidak mahu, tetapi tanpa sedar saya membiarkan sifat memungkiri janji ini mengakar di hati.
Dalam gerakan kita menabur janji kepada yang dinaikkan, “jangan risau, kamu boleh. Kami akan bantu. Kami yakin kamu boleh” kita kata dia boleh, tapi dia kata? Kita kata kita akan bantu, tapi dia dapat? Lalu kita berjanji lagi tanpa ditepati, akhirnya, orang yang dijanji tawar hati, fed up. Terus timbul keraguan dan hilang kepercayaan terhadap apa yang kita kata mahupun janjikan. Ah, sudahlah kau, manis mulut lempar janji, tak pernah sampai padaku. “Aku akan sentiasa berada di sisi kau“ kononnya, tapi rupanya tak ke sisi, menyepi.
Sejak mendapat mesej ‚aku bosan dengan janji’, saya semakin risau dan berfikir berkali-kali sebelum berjanji. Mungkin tak nak pun buat janji. Fokus kepada mengotakan yang sudah dilafazkan. Jangan lupa janji roh manusia semasa di Lauh Mahfuz.
Harus diteliti semula surah al-Kahfi ayat 23 dan 24. Manusia sering memungkiri janji, tetapi Allah pasti akan mengotakan janjiNya pada orang yang menjaga kata-kata dan janjinya! Kadang kala kita terlalu melihat kepada sesuatu yang dirasakan penting, tapi lupa dan lalai kepada perkara semacam ini.
No comments:
Post a Comment