Tuesday, November 3, 2009

Seminar Pendidikan Tinggi Islam: Membina Generasi Ulu'l Albab

Pada hari Sabtu, bersamaan 31 Oktober 2009, beberapa wakil PKPIM UIAM telah menyertai sebuah seminar Pendidikan Tinggi Islam sempena sambutan 20 tahun Kolej Dar al-Hikmah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi . Tema seminar tersebut adalah ‘Membina Generasi Ilmuwan Ulu’l Albab.

PKPIM-ABIM-WADAH komited terhadap aspek pendidikan Islami yang menjadi tunjang utama dalam perjuangan kami. Justru itu, seminar ini adalah suatu manifestasi kepada perjuangan itu. Kehadiran peserta amat memberangsangkan dimana dewan auditorium dipenuhi dengan pecinta-pecinta ilmu pelbagai lapisan umur sehingga kerusi tambahan terpaksa disediakan.

Antara pembentang-pembentang kertas kerja yang menjayakan seminar itu adalah Prof. Emiritus Dr. Osman Bakar, Al-Fadhil Ustaz Uthman El-Muhammady, Dr. Ahmad Satori Ismail, Prof. Nik Aziz Nik Pa, Dr. Yap Sin Tian dan Prof Dr. Sidek Baba. Secara umum, kertas kerja yang dibentangkan berkisarkan tentang siapakah Ulu al-Albab, pendidikan al-Hikmah dan cabaran pendidikan yang liberatif.

Seminar yang berlangsung pada jam 9 pagi dimulai dengan ucaptama yang menampilkan ilmuwan yang banyak berjasa, Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Intipati ucapan beliau berkisarkan ‘Ulu al-Albab: Model Keintelektualan Islam yang Murni dan Masa Depannya yang Dinantikan’. Beliau menekankan konsep ‘intelek murni’ bagi tujuan memudahkan masyarakat awam dan bukan Islam mendekati wacana ilmiah Islam dalam menerangkan dan memahami konsep Ulu al-Albab.

Apakah yang dimaksudkan dengan intelek murni Ulu al-Albab (UA)? Dalam kertas kerja yang disediakan, beliau menyebut “intelek murni UA ternyata ialah intelek yang amat bimbang, bukan terhadap pertimbangan atau sanjungan manusia, tetapi terhadap pertimbangan negatif Ilahi yang membawa kepada kehinaan yang paling memalukan di hadapan Allah (S.W.T).......UA bukanlah ilmuwan atau cendikiawan yang dihimpit oleh penyakit ‘ujub atau inginkan sanjungan dan pujian manusia kerana merasakan kehebatan yang terdapat pada dirinya.”

Dalam perenggan lain, Prof .Muhammad Kamal menyebut, “ intelek-intelek murni inilah yang telah menggabungkan ilmu agama dengan ilmu dunya dan ilmu alam tabi’i sebagai asas pembangunan peradaban Islam yang bersepadu di zaman kegemilangannya.”

Umum telahpun mengetahui peri pentingnya pendidikan dalam melahirkan masyarakat manusia yang beramal soleh dan beradab. Namun, persoalan utama ialah penghayatan terhadap falsafah kependidikan ini yang masih lagi gersang dikalangan masyarakat. Faktor luaran seperi indusri pendidikan telah melahirkan golongan masyarakat yang berlumba-lumba menimba illmu untuk kepentingan peribadi, pendidikan humanis-sekular yang menolak kewujudan Tuhan telah melahirkan manusia-manusia ingkar dan angkuh dan pebagai faktor lain yang merugikan.

Sehubungan dengan itu, pendidikan Islami hadir sebagai alternatif kepada kepincangan-kepincangan pendidikan acuan Barat. Falsafah pendidikan Islam bertitik tolak daripada Falsafah tauhid, dimana pada akhirnya ia melahirkan manusia dan ilmuan yang disebut didalam al-Quran sebagai ULU AL-ALBAB. Jadinya, pemerkasaan pendidikan Islami harus dijayakan dari semasa ke semasa oleh semua pihak. InsyaAllah.

Bismillahirrahmanirrahim,

“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak didengar, dan amal yang tidak diterima.

Ya Allah, keluarkanlah kami dari kegelapan prasangka, muliakanlah kami dengan cahaya kefahaman, bukakanlah pengertian ilmu kepada kami dan bukalah untuk kami pintu-pintu anugerah-Mu, wahai Zat yang Paling Penyayang.

Ya Allah, terangilah pandangan kami dengan Al-Qur’an. Dan dengannya lapangkanlah hati kami dan dapatlah kiranya beramal dengannya. Lancarkanlah lidah kami dalam mengucapkannya, dan teguhkanlah hati kami dengannya dan percepatkanlah kefahaman kami dengannya serta teguhkanlah tujuan kami dengannya dengan sebab daya dan kekuatan-Mu, kerana tiada upaya untuk menjauhkan maksiat, melainkan dengan pertolongan-Mu, Ya Tuhan Maha Pengasih sekalian yang berkasih sayang.

Ya Allah, kami menitipkan kepada-Mu ilmu yang telah Engkau ajarkan kepada kami, maka perkenankanlah kiranya Engkau mengembalikannya lagi kepada kami ketika kami memerlukannya. Dan janganlah hendaknya Engkau melupakannya, wahai Tuhan semesta alam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

rujukan: momentumuiam.blogspot.com

No comments:

Post a Comment