Monday, September 13, 2010

Visi Si Kecil

Raya, pulang ke kampung Raub. Karenah anak-anak sedara dan sepupu yang kecil-kecil terkadang mencuit hati. Abdullah Hadi, sepupu yang berumur dua tahun. Meskipun dua tahun tapi petah berkata-kata dalam pelatnya. pelat kedah. Anak yang lahir di negeri jelapang padi. Tempat permainannya adalah bendang. Hadi, punya satu sikap yang sangat aku gemari. sikap yang membuatkan aku teringat pada iklan raya Murai. Hadi, dia sangat suka bertanya dan dari pertanyaannya dia cepat belajar perkataan baru dan perkara baru.

“Abang! Abang! Ni apa ni?” tangan Hadi menunjuk pada gambar ikan pada baju yang dipakai aku.

“itu ikan”

“Ikan... Abang! Abang! Ni apa ni?” Hadi tanya lagi. Tangannya masih menunjukkan gambar ikan.

“Ikan...”

“Oh, Ikan... Abang! Abang! Ni apa ni?” sekali lagi Hadi tanya. Gambar ditujuknya masih lagi ikan.

“itu... Ikan...”

“Abang! Abang! Ni apa ni?” kali ini Hadi menunjuk kepada gambar penyu yang menjadi gambar utama pada baju aku.

“Penyu”

“Penyu” Hadi mengajuk.

“Tengok! Tengok! Penyu berenang!” Baju aku goyang-goyangkan bagi menunjukkan penyu yang berenang. Hadi ketawa. Dalam menjawab dan bermain itu, aku terasa seronok. Saat itu hati mula memahami perasaan seorang bapa dalam Iklan Raya Burung Murai. Selama ini cuma memahami nilai disebaliknya adalah kesabaran tetapi tidak memahami perasaan sebenar seorang bapa menjawab soalan anaknya berulang-ulang kali. Melayan Hadi, meskipun tidak faham dan cuba faham apa yang dicelotehkannya, aku sering mengiyakan dan menidakkan, ya... haah... ok... tidak... “Abang! Ayam! O kok kok kok!” “Haah... ayam...”

Hadi juga suka berselawat. Selawat dawam yang sering didendangkannya. “Abang nak endoi*!” “Nak endoi? Ok, jom!” berendoi la Hadi. Aku pun mengalunkan selawat dawan sambil Hadi mengajuk dalam pelatnya. Oh, senangnya hati melihat si kecil ini.

Suatu malam, di malam raya kedua, aku ke dapur lalu berkata pada Mak Usu.

“Mak Usu, Hadi ni bagus ya. Berpandangan jauh. Kecil-kecil lagi dah ada visi”, aku menyuarakan pandangan.

“Berpandangan jauh? Macam mana tu?” Mak Usu terpinga-pinga. Orang lain yang berada di dapur juga terpinga-pinga. budak semuda dua tahun sudah berpandangan jauh? Pelik... memang pelik...

Melihatkan keadaan yang terpinga-pinga itu, aku pun bersuara, “Ye la, dah dari tadi dok* sebut-sebut je, nak cucu! Umi, nak cucu! Nak cucu!” berderai ketawa satu dapur! yang diminta nya SUSU, meskipun aku tahu dia meminta susu, tapi aku suka untuk melihatnya sebagai mahukan CUCU... Satu visi pembinaan generasi... seorang budak yang berpandangan jauh.... Ha! Ha! Ha! Ha!

Diselam jauh di sudut hati, aku belajar sesuatu dari Hadi, seorang kanak yang berumur dua tahun yang air liur selalu meleleh membasahi bajunya kerana bercakap selalu.

Belajarlah tanpa berterusan! Bertanyalah tanpa henti selagi tidak faham! Jangan malu! biarpun berulang-ulang kali! Teruskan bertanya untuk memperolehi kefahaman meskipun dimarahi, kerana kepuasan itu ada pada diri sendiri! Kefahaman itu yang akhirnya membentuk peribadi diri!

(Endoi = Buai, dok = asyik)

1 comment:

  1. Haha, entri kali ni, penuh elemen lucu, comel, kagum dan suka..

    Juga belajar sesuatu dari anak angkat kami yang sudah genap setahun. Baru bertatih. Tak pernah rasa jemu untuk bangun setelah jatuh, jatuh dan jatuh.. Bahkan ada ketika terantuk, tersembam.. tapi terus berjalan, terus tersenyum. Terus ketawa dan terus membuat kami ketawa. Akhirnya berjalan dan mula berlari.. Tanpa sedar, kita dulu seperti itu juga.. Bila dah besar, mengapa tidak segigih itu?

    Kita sebenarnya, gigih.. kan..

    ~Jundah

    ReplyDelete