Beberapa hari sebelum tanggal 31 Ogos 2007, saya telah menyertai rehearsal perbarisan menyambut hari kemerdekaan. Setibanya di tempat rehearsal, sudah banyak kontinjen yang sudah berbaris bersedia untuk berjalan lalu. Pelbagai badan menyertainya, dan pelbagai juga ragam manusia. Sepanjang rehearsal, saya lebih banyak memerhati dari menyertai. Saya lebih banyak menggeleng. Menggeleng bersama tersirat kesedihan di hati. Seolah-olah semua ini adalah lakonan semata-mata. Aduhai generasi merdeka ini! Aduhai generasi muda!
Terfikir di benak fikiran, andai saya boleh turut merasa kepahitan, perit jerih perjuangan 50 tahun dahulu, pasti saya akan lebih menghayati erti merdeka, pasti saya akan lebih menghargai merdeka ini! Tetapi tidak ada ‘andainya’ kerana hakikatnya saya lahir dalam suasana negara sudah merdeka.
Bersorak-sorai generasi merdeka menyambut merdeka, melaung ‘merdeka’, mengibar jalur gemilang, bergembira bergelak ketawa. Namun sebenarnya tiada apa yang dirasakan, tidak terkesan di hati, tidak berfikir menghayati.
Meskipun kita lahir dalam suasana sudah merdeka, merasa nikmat, tetapi itu bukan alas an untuk kita lalai dan tidak menghormati peruangan 50 tahun dahulu. Apakah kita telah khianat kepada perjuangan dahulu dengan merosakkan diri dan masyarakat, memundurkan dan mendoktrin, merosakkan minda. Apakah agaknya perasaan tokoh-tokoh perjuangan dahulu andainya melihat generasi pewaris mereka berkeadaan seperti ini?
Kita lalai dan lupa untuk bersyukur kepada yang memberi kemerdekaan ini, kerana kita sebenarnya terbelenggu jiwa, terjajah minda kepada nafsu dan syaitan. Suasana kebejatan akhlak, kehilangan jati diri, kekaburan agama dalam hati terlihat jelas sekali.
Generasi muda inilah, ya kitalah yang akan mencorakkan merdeka 50 tahun akan datang. Apakah merdeka yang akan datang lebih baik atau kita akan menyaksikan keruntuhan akhlak muda-mudi? Pejuang dahulu telah membuat pilihan untuk kita merasa merdeka seperti ini, kini tiba masa kita untuk membuat pilihan, merdeka bagaimanakah yang akan kita sediakan dan berikan kepada generasi mendatang?
Kulit tanpa isi tiada nilai, maka generasi muda sebagai isi yang akan membentuk imej negara. Bentuk generasi merdeka mendatang yang berkualiti dengan membentuk diri!
Ramadhan bakal mendatang, inilah peluang memerdekakan diri dari nafsu, dari noda-noda, menyucikan hati! Inilah merdeka yang sebenarnya, terhapus perhambaan kepada makhluk, nafsu, dunia. Mengabdi pada Tuhan, meski dijajah fizikal, namun jiwa tidak gentar menentang kerana perjuangan demi redha Allahu Ahad!
No comments:
Post a Comment