Tuesday, September 11, 2007

Bunga api dan bunga api

Pada 2 september 2007, saya menemani umi membawa sekumpulan guru agama Islam bersiar-siar di putrajaya melihat hari terakhir acara letupan bunga api. Guru-guru ini datang dari Thailand dan berkunjung ke Malaysia untuk menghadiri kursus di sebuah maktab di bangi. Sempat saya berkenalan dan berborak dengan beberapa orang guru Thailand tersebut. Banyak ceritanya, seronok dan sedih saya mendengarnya.

Kami bertolak ke putrajaya selepas maghrib dan tiba kira-kira jam 930 malam. Jalan cukup sesak, maklumlah hari terakhir acara bunga api ini. Ada yang datang dengan keluarga tak kurang juga dengan pasangan dan ‘pasangan’. Ada yang datang dari jauh, semata-mata untuk melihat bunga api. Tak lupa juga golongan muda mudi motoran. Sememang cukup ramai orang yang berkumpul di dataran masjid putrajaya.

Sejurus tiba saya dan umi segera menunaikan solat isya’ di masjid berwarna merun, yang tersergam indah, cantik di luar, tapi.... hanya ada seorang dua yang solat dan mengaji al-Quran. sayu hati apabila berada di dalam masjid. Sebak di dada, tapi tak tahu mengapa. Timbul pelbagai persoalan dalam minda. Apa yang aku perolehi dengan melihat bunga api ini? Berdiri mendongak ke langit mata melihat percikan api dari belerang yang terbakar kemudian habis, itu saja?

Melangkah saja keluar masjid umi sudah menunggu, dan bunga api pun mula meletup-letup di udara... dalam keasyikan manusia menonton bunga api, saya masih tertanya-tanya dan berfikir akan persoalan-persoalan yang timbul tadi... lalu Allah memberi Ilham...

kita menanti saat dan waktu muncul bunga api,
mereka menanti saat bunga api hilang untuk menyelamatkan diri

kita lari berpusu-pusu mendekati bunga api,
mereka lari lintang pukang menyelamatkan diri dari percikan bunga api

Anak-anak dan keluarga kita bawa melihat bunga api,
mereka membawa anak-anak dan keluarga lari bersembunyi dari bunga api

kita tertanya-tanya bunga api ini dari negara mana? Kanada? Jepun? Malaysia?
Tetapi mereka hilang nyawa kerana bunga api tanpa sempat bertanya,

Kita sebut wah! Wow! Cantik! Apabila muncul bunga api, mereka sebut Argh! Argh! Sakit! terkena bunga api!

Kita gembira tatkala bunga api terpancar dan meletup di udara, mereka gerun dan gentar, gelisah dan ketakutan saat bunga api meletup depan mata

Langit kita dipenuhi bunga api,
langit mereka dipenuhi pesawat melancarkan bunga berapi,

Di langit kita bertalu-talu bunga api memancar, meletup-letup tanpa henti,
tetapi mereka bertalu-talu menerima bunga api yang pasti meletup mengundang mati,

kita lihat banyak percikan bunga api, berwarna-warni, hijau, merah, kuning, biru, ungu,
tapi mereka lihat banyak percikan darah angkara bunga api dan warnanya cuma satu, merah!

Bersyukur kita hidup hari ini dalam suasana aman, namun dalam aman jangan kita lupa pada mereka yang dahagakan keamanan dan berjuang demi keamanan dan keadilan. Malaysia sudah 50 tahun merdeka, api perjuangan tetap menyala berterusan di mana-mana sahaja, tak kira masa, tak kira bangsa apa, tak kira agama apa. Yang haq akan berdiri, yang batil akan tumbang. Ya Allah letakkanlah aku dalam golongan pejuang agamaMu!

No comments:

Post a Comment