Sunday, August 5, 2007

Menanti Ramadhan

Tidak lama lagi Ramadhan akan kita hadapi. Timbul di benak fikiran, apakah yang akan aku fikirkan dan utamakan? Persiapan untuk raya? Balik kampung? Masa untuk berniaga? Apakah aku benar-benar telah bersedia menghadapi Ramadhan? Apakah aku benar-benar tekad membersihkan diri? Layakkah aku berhari raya dalam erti kata sebenar andai sebulan puasa hanya sekadar lapar dan dahaga?

Berlalu Ramadhan, hati masih penuh noda, hitam legam dengan dosa. Apakah bagiku Ramadhan kali ini lebih teruk dari yang lepas, sama saja atau lebih baik? Apakah aku mahu dan berpeluang bermunajat di malam yang lebih baik dari seribu bulan, Laillatul Qadar? Mampukah aku istiqamah membaca dan tadabbur isi Kalamullah, al-Quran?

Terbentukkah dan terdidikkah akhlak mulia dalam diri ku sepanjang sebulan? Andai aku masih hidup akhir ramadhan, apakah aku akan berasa sedih kerana risau tidak berpeluang bertemu lagi Ramadhan atau aku akan gembira berhari raya sedangkan aku tidak ‘kembali kepada fitrah’ (aidil fitri) lalu lenyap segala azam dan hasil didikan sebulan? Apakah puasa dan amalku semasa Ramadhan akan memberi kesan pada hidupku yang bakal dilalui?

Untuk semua ini, apakah persiapan ku? Banyak lagi persoalan, namun yang penting jawapannya perlu disahkan dengan tindakan. Berakhir monolog hati dengan lelehan air mata tanpa saya sedar...

No comments:

Post a Comment