‘Allahu akbar! Allahu akbar!’ saat subuh menjelang, bergema deruan azan, gelombang takbir memecah ruang angkasa, membelah dingin subuh, menyelusup setiap celah, mencari pendengaran insan yang lena. Tiba saat muazin menyeru ‘assolatu khoirum minan naum! assolatu khoirum minan naum!’ bangunlah insan yang sedar amanah diri, insan yang tahu dan faham betapa penting dan baiknya solat berbanding lelap. Dalam gelap, ada yang lelap tanpa sedar, ada yang jaga tanpa sedar, ada yang bangun tanpa sedar, ada yang solat tanpa sedar.
Berjalan ke masjid dalam dingin dinihari, sujud merendah diri bersama mereka yang mencari redha Tuhan di pagi hari. Selesai solat subuh berjemaah, ucapkanlah dan dengarkanlah
“sesungguhnya kami terjaga (di pagi hari) dengan (kesedaran bahawa) kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya milik Allah, Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu bagi-Nya, tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan“
“kami terjaga dalam fitrah Islam, dan kalimat ikhlas dan dalam agama nabi kami, Muhammad saw, dan dalam ajaran bapa kami Ibrahim yang lurus sedang dia bukan seorang musyrik“
Naiklah matahari mengikut sunnatullah, tidak lambat, tidak cepat, tepat, memancar sinar terang bersama nur, memberi kemudahan, bagi yang bersyukur. Namun indah sinar mengganggu bagi yang lalai dan alpa, tanpa sedar bangkitnya di tengah rezeki melimpah.
Bersedekah dan beramal insan, bekerja penuh amanah, menjadi ibadah. Moga hari ini lebih baik dan barakah dari semalam. Hidup hari ini perlu penuh keihklasan dan tekad, ada tujuan yang perlu dilaksanakan. Sedang yang lain khianat, mengejar dunia, hari ini lebih buruk dari semalam. Hidup hari ini terumbang-ambing, tidak tahu mengapa hidup, tanpa sedar usia sia-sia.
Berlalu hari hingga tiba saat lenanya kembali. Ada yang masih lalai dan berterusan tenggelam lemas dengan kemaksiatan dan kezaliman ketika muslimin berdoa dan berzikir sebelum menutup mata untuk berehat seketika atau selamanya.
Apakah hari ini kita terjaga dalam kenikmatan iman dan Islam dan akhiri dengan redha Tuhan, setiap saat penuh amal? Atau kita bangkit hari ini dengan keingkaran dan kekufuran dan diakhiri dengan murka Tuhan, setiap saat penuh dosa?
No comments:
Post a Comment