Sunday, June 28, 2009

Huraian Makna Puisi Retorik Hati

Rangkap pertama, hati yang bobrok, hati yang telah rosak. Mulut berkata tetapi tidak beramal

”wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Besar kebencian AllaH jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” As-Saf:2-3


Rangkap kedua, meskipun manusia lain tidak dapat tahu apa yang ada di dalam hati kita tetapi ”ketahuilah bahawa Allah tahu apa yang terkandung di dalam diri kamu, maka takutlah kepadaNya” Al-Baqarah:235


Rangkap ketiga, lidah alat yang digunakan untuk bercakap hal-hal dalam hati. Petah berbicara, akhirnya binasa kerana kata-kata sendiri.

Walaupun si lembut (lidah) diam; mulut tidak berkata-kata, hati yang berpenyakit akan merosakkan diri.


Rangkap keempat, berkaitan dengan rangkap ketiga mengenai hati yang berpenyakit. Dalam diam, hati mencaci, memaki membuat fitnah. Insinuasi bermaksud berkata yang tidak benar (sila rujuk kamus dewan bahasa)


Rangkap terakhir, Pemikiran yang tidak bijak berpunca dari keruntuhan iman. Zikir dan fikir tidak ada. Yang batil, yang salah, yang dosa terasa benar, betul dan sebaliknya. Keterbalikan ini yang ditegakkan oleh hati yang rosak. Saat itu hati sudah jauh dari Tuhan dan menjadi hitam, kotor tidak lagi suci.


kesimpulannya, tuan-tuan fikirkan sendiri.

Tuesday, June 16, 2009

Zikir Fikir Siang dan Malam

Pagi diterangi cahaya fajar suci
Langit jahiliah biru kelam berdikit-dikit
Mencair membawa cahaya syahadah
Dalam detikan masa
Paduan merah jambu dan biru bertemu kuning
Sungguh indah sejahtera cahaya syahadah
Menghapus kelam biru langit jahiliah
Harapan baru permulaan hari
Semangat baru bakal menjulang tinggi
Kenikmatan kebebasan dari kegelapan malam batil
Menghadirkan bibit-bibit cahaya kuning jingga dhuha

Dalam jangkaan masa yang panjang,
Nur cahaya tersebar, menular menguasai alam,
Memberi cerah pada yang tidur,
Dalam mamai jahiliah dan sedar kebenaran
Buka mata mu, bangkit dari lena,
Mandi, bersucilah dalam rela atau terpaksa
Demi menjadikan diri bersedia
Menerima tauhid dan pembebasan dari kefanaan


Kemuncaknya tengahari kebenaran
Dari satu sumber tenaga yang tidak mencemar
Kalam itu jelas, nyata, inilah al-haq!
Tidak ada lagi keraguan
Terang lagi bersuluh nur islam,
Memberi saujana pandangan mata
Melihat luasnya kuasa Yang Satu
Membawa celik kepada petanda-petanda Yang Maha Esa
Terlihat segala, ini buktinya wahai orang yang berfikir
Garap nur cahaya dan pegang teguh tali itu
Sematkan dalam hati,
Buat bekalan saat menjelang gelincir mentari
Kerana tenggelamnya diri dalam kenikmatan terang cahaya

Tergelincir ruh nur matahari islam
Dicabut akar cahaya semakin malap
Perlahan lahan ditenggelamkan si barat
Saat itu sudah petang menghampiri senja,
sayup-sayup kuning terang cahaya
berganti jingga kemerahan
berhempas pulas bersaing cahaya kuning
bertahan dari dilingkungi hitam
akhirnya muncul mega-mega merah darah
Terhambur mengisi ruang angkasa


Penatnya ummat yang goyang
Mencari kerehatan dari mempertahankan cahaya
Momokan ufuk barat
Nur cahaya islam yang semakin tenggelam itu
Suasana kelam gelap yang menutupi nur cahaya itu
Tidak perlu dirisaukan
Malah bukankah suasana itu indah cantik?
Propaganda itu, ah sudahlah dengan cahaya itu,
Nikmatilah kegelapan
Usah gusar terhadap petanda
Yang menghilang ditelan gelap
Tidak ada apa-apa

Kini kegelapan sudah melata
Khayal sementara dalam nikmat fana hitam
Namun gelap ini seakan membawa masalah
Sesat jalan perjalanan kehidupan

Di langit isya’
Nur cahaya yang digarap bergetar
Memberontak untuk diangkat dan dijulang
Agar terang jalan menuntun kepada kebenaran


Dalam kegelapan, cahaya yang indah itu asing
Nur yang sejahtera itu dagang
Hadirlah halaqah bulan daie tegar memantulkan nur
Dikeliling bintang-bintang tompokan cahaya kecil
Semangat perwira dakwah yang bertabur
Berjuang menghapus dominasi malam gelap batil
Meski kelipannya kecil, cahaya tetap sampai
Pencerahan menyerlahkan antara khair dan syar

Berlalu waktu bersama pengharapan dan doa
Menanti tenang ruh jihad bebintang dan rembulan
Bertahanlah hingga sampai saatnya
Muncul sinar agung sang mentari kegemilangan
Janji itu pasti tiba dalam putaran detik masa

Wednesday, May 27, 2009

Retorik Hati

Kebobrokan hati,
Merungkai bicara,
Beda dibibir, jauh sekali amali,
Tercicir liur lantang kata,
Terjadi jua tuntunan,
Kalamullah as-Saf: 2 dan 3,

Tuhan lebih tahu,
Hakikat sepi,
Halus bicara hati insani,
Mana mungkin bersembunyi,
Sebesar zarah khair,
Juga sebesar zarah syar,
Dari pengetahuan rabbul alamin,

Lancang si lembut bergaya,
Memuntahkan disebalik retorik hati,
Bermain kata memakan diri,
Meski tidak bermuka-muka si lembut,
Diam kaku sepi bersembunyi,
Akar hati meluluhkan budi,

Insinuasi hati,
Fitnahnya meletus-letus,
Membedil dalam diam senyap,
Sasaran mengena, bukti tiada,

Pendek akal dek robohnya iman,
Berdiri tegak bulu-bulu hangit,
Berbara membakar perlahan,
Keihsanan dan fitrahnya hati,

Tuesday, May 5, 2009

Hikmah: Kekuatan Kenabian

Zaman ini disebut sebagai ”the age of wisdom”. Hikmah lebih dari sekadar keilmuan. Hikmah adalah kemanfaatan penggunaan ilmu (beneficial use of knowledge) yang sarat dengan nilai-nilai yang diberikan kepada ulul albab. Ulul albab adalah golongan yang memiliki hikmah (possess of wisdom) yang berupaya memahami intipati sesuatu hal (understand the core). Menurut Harun Yahya, ulul albab digambarkan sebagai ”people of deep understanding”. Ulul albab diiringi dengan ibrah. Ibrah berasal dari perkataan abara yang bermakna merentas (crossing). Keupayaan merentas dari sesuatu kepada sesuatu yang lain. Dari sesuatu yang tampak kelihatan kepada sesuatu yang limunan, tidak kelihatan (something visble to invisible).

Ulul albab boleh disebut sebagai golongan yang mampu mencapai hal-hal yang tersembunyi (being able to reach the hidden things). Perkataan ibrah mempunyai sesuatu makna yang besar kerana itu sering disebut dan dianjurkan dalam Quran ul Karim agar kita mengambil ibrah dari kisah-kisah sejarah. Oleh sebab itu, Ibn khaldun telah menulis sebuah kitab sejarah tidak meletakkan judul kitabnya itu sebagai “kitab al tarikh”, tetapi memberi judul “kitabul ibarah”.

Oleh kerana itu, Kita harus mampu menterjemahkan sesuatu hal yang berlaku itu kepada mesej sebenarnya (from an incident to the real message).

Hikmah terkandung kualiti muslim yang membawa kepada puncak keimanan tertinggi iaitu khasyatillah (taqwa). Hikmah menyangkut tentang kemampuan merasakan, kemampuan membaca situasi, kemampuan merasakan dan melihat dengan mata hati, sensitif dan visi (daya melihat kehadapan). Hikmah adalah jalinan antara intelektual, emosional dan spiritual (kerohanian).


Rasulullah adalah pedagang atau usahawan yang berhasil. Usahawan yang cemerlang. Kekuatan yang dimiliki adalah kekuatan kepercayaan, keyakinan (trust). Kepercayaan mampu memangkin sesuatu proses (will speed up the process). Di dalam dunia perdagangan, semua orang berburu-buru untuk menjadi yang pertama tiba di pasaran (in business everybody is in rushing to be the first in the market place). Kepercayaan adalah nilai yang menjadi keutamaan. Al-qawiyul amin.

Rasulullah dididik oleh Allah dengan akhlak yang hasanah, yang mulia supaya seluruh bangsa arab memberi kepercayaan dan keyakinan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. selama 40 tahun lamanya beliau diterapkan dengan kekuatan al-qawiyul amin (al-Qasas:26) bagi meraih hati bangsa arab dan membolehkan baginda akhirnya merubah seluruh masyarakat arab kepada suatu keadaan suci daripada jahiliyah. Rasulullah meraih hati bangsa arab dengan berakhlak mulia, dengan sentiasa benar, tidak berbohong dan berdusta sehingga tidak ada yang menafikan tentang karakter dan kebenaran kata-kata baginda. Mustahil untuk dinafikan.

Bersambung...

Tuesday, April 28, 2009

Manusia dan Kucing


Aduh laparnya, dah beberapa hari tak makan. Anak-anak aku pun kelaparan. Merengek mereka sebentar. Minta disusukan. ”Miau, miau. Pergilah bermain dahulu sementara ibu mencari makanan”. Ke hulu ke hilir aku melangkah. Meminta sana meminta sini. Namun tidak diperolehi makanan. Orang yang ku kenal lama juga tidak mahu memberikan apa-apa padaku, pada anak-anakku.

Dua tahun lamanya. Itu tempoh si ibu kucing dijaga oleh tuan rumah itu. Ini kali ketiga ibu kucing itu beranak. Melihat gelagat si ibu kucing dengan 3 ekor anak-anaknya yang terbaru, hati menjadi seronok. Kadang-kadang si Gendut, Rusgi dan Comot bermain-main bersama. Bergusti antara satu sama lain. Berlarian-larian dalam rumah. Telatah mereka ’kawai’. Geram! dicium-cium, dipeluk-peluk si Gendut, Rusgi dan Comot..

Dahulu seekor adik-beradik kucing ni mati di lenyek kereta. Oleh kerana peristiwa itu, lelaki yang selama ini cukup sukar menangis, bergaya rock akhirnya mengalirkan air mata kerana melanggar si anak kucing itu hingga hilang nyawanya. Sedih sangat. Kucing bukannya ada 9 nyawa pun, karut!

Namun kerana tekanan dari jiran-jiran,
”Kucing ni dah buang najis di laman rumah saya”.
”Semalam ada kucing masuk rumah. Curi lauk, mencarik langsir rumah saya. Kucing awak ke tu?”. ”Eh, bukan! Kucing lain tu!”

Bila dikhabarkan kepada seisi rumah, kucing ni perlu dihantar ke satu tempat lain. Masing-masing terdiam. Masing-masing berwajah sugul. Sedih, tak sanggup rasanya. Sayang. Comel. Namun keputusan perlu dibuat. Ke mana hendak dihantar kucing-kucing ni? Kena cari tempat yang senang nak cari makan. Tempat yang banyak kedai makan. Tak pun kawasan pasar.

Hari itu, dimasukkan 4 beranak kucing itu ke dalam kotak. Mengiau si ibu kucing. Sayu... sayu sangat. Terasa seperti hendak disumbat telinga supaya tidak mendengar ngiau si kucing meminta belas. Kali ini tidak pula meragam perangainya bila dibawa naik kereta. Dahulu semasa dibawa naik untuk berjalan-jalan tak keruan dibuatnya. Melompat ke sana sini dalam kereta, mencakar-cakar. Tapi kali ini elok pula. Seakan tahu hari itu menjadi episod sedih buat kucing itu sekeluarga.

Berpusing-pusing kereta mencari tempat yang paling sesuai untuk kucing-kucing itu. Teringat satu rakaman video tentang seekor singa betina yang dijaga dua orang lelaki hingga besar. lalu akhirnya dilepaskan ke habitat asal singa itu. Setelah beberapa tahun dilepaskan, dua orang lelaki itu kembali semula ke tempat singa itu. Apakah si singa masih kenal akan tuannya? Saat bertentang mata, si singa perlahan-lahan berjalan menuju ke tuannya. Tiba-tiba berlari menerkam kedua-dua tuannya. Menjilat manja wajah orang yang telah membelanya hingga dewasa. Berpelukan haiwan itu dengan tuannya. Diusap-usap. Digaru-garu. Binatang yang ganas pada cirinya bermesra dengan tuannya setelah bertahun tidak berjumpa. Kenangannya masih ada. Cukup mengharukan.

Apakah si ibu kucing akan masih ingat pada tuannya andai bertemu semula? Bagaimana pula dengan si Gendut, Rusgi dan Comot? Mungkin tidak, kerana tiga beradik itu masih kecil. Hmm... siapa tahu.

Maha Suci Tuhan yang menjadikan segala makhluk. Dihadirkan kasih dan sayang sebagai suatu nikmat yang tiada tandingan!

Tuesday, March 17, 2009

Ar-ra’in

Ar-rain itu kental melaung seruan,
Memacu kuda perang dakwah,
Menghunus pedang hikmah,
Menusuk ke segenap jiwa hamba,
Menjulang panji syariah yang Esa,

Disebalik deras kencang kemaraan,
Tersirat hakikat keimanan,
Keihklasan, keehsanan,
Penyerahan seluruhnya,
Kepada empunya segala ketenangan,

Moga kekal hakikat itu,
Menjadi darah merah pekat,
Yang mengalir sebati,
Meluncur di setiap urat nadi,
Insan lemah pemegang amanah,

Bangkitnya Ar-Ra’in itu,
Di celah kegawatan,
Menggenggam gagasan khayra ummah,
Membawa ciri at-taibun, al-a’bidun,
Al-haamidun, as-saihuun, ar-rakiu’n,
As-sajidun, al-amiruna bil ma’ruf,
Wa nnahuna a’nilmunkar,
Wal haafizhuna lihududillah,

Ar-Ra’in itu bangkit,
Bukanlah kerana menanti keredaan manusia,
hanyalah demi sebuah keredaan agung Ilahi,
Maka gembirakanlah! Bergembiralah!
Orang-orang yang beriman!

Sunday, March 15, 2009

Mesyuarat dengan Alam 3: Alam Sekunder




Kipas di syiling ligat berputar. Berkejaran bilah-bilah menari mengikut kelajuan yang diaturkan. Asbabnya tarian bilah, angin turut mengikut rentak. Bertiup menghembus lembut mengdatangi tubuh insan yang sujud pada Ilahi. Sejuk menyejat peluh dan menghapus kehangatan dari keriuhan pasar. Dari kepanasan kelakuan manusia-manusia. Sesekali kreok kipas mencelah bersama deruan halus melodi angin. Sayup-sayup gemersik zikir tasbih, tahmid, takbir. Jam berdetak, tik tik. Jarum jam, minit dan saat silih berganti berikit-dikit bergerak.

Wajah ditemukan dengan hamparan sejadah. Wahai sejadah hari ini aku menyaksikan betapa hebatnya ruh berjemaah. Kekuatan solat bersama-sama. Bahu bertemu bahu. Tumit lurus bersiri. Namun di sebalik kesedaran ini, aku juga menyaksikan manusia yang hanya berdiri sendiri. Melaksanakan perintah bersendirian meski nyata kelompok jemaah di depan mata.

Wahai sejadah, alangkah indahnya andai mereka mengerti bagaimana hebatnya solat berjemaah. Seperti kau sejadah. Dari seurat benang, bertemu uratan benang yang lain. Lain saiznya dan lain warnanya. Pertemuan itu pada satu kesatuan menjalin antara satu sama lain dan akhirnya lahirlah kau sejadah. Manusia juga lain saiznya dan warna kulitnya. Mereka bertemu pada hal yang satu, pengabdian pada Allah Tuhan sekelian alam.

Penaka juga dengan dinding yang membentuk musolla ini. Menjadi pelindung kepada kerendahan hati yang sujud tunduk pada Tuhan yang Satu. Dari ketulan bata yang merah kejinggaan. Satu satu disusun. Rapat antara satu sama lain. Lurus dan tepat. Menjalin ikatan bersama adunan simen dan pasir halus. Disapu, diraup, diratakan. Akhirnya semua sama. Tidak ada tinggi darjat antara bata, pasir atau simen. Kamu semua tetap sama diciptakan oleh Tuhan. Keutuhan mu yang diperkirakan.

Pada saf-saf solat, manusia semua sama. Darjat dan pangkat keduniaan tidak dipeduli. Sujud sama rendah. Solat berjemaah menjalin perasaan mengenali dan menyayangi. Yang diperhitung Tuhan ialah keimanan dan ketaqwaan. Tidak ada kaitan rupa parasmu. Wahai, dinding caknakan keutuhan hubungan mu antara bata, pasir dan simen pada manusia-manusia ini.

Hai tasbih yang bergantungan di sudut dinding. Berayun –ayun ditiup sang angin. Khabarkan pada mereka bijih-bijih tasbihmu bersatu tanpa kira masa dan musimnya. Bukan hanya waktu tengahari jumaat. Bukan hanya menanti hadirnya puasa. Sentiasa, bergabung menjadi dorongan kepada hamba manusia mendekati Tuhan. Bijih-bijih dihitung bersama ucapan pujian, syukur dan pengagungan,.

Sejadah, dinding musolla, tasbih, jam kitab-kitab, kipas, alas tikar kalian dan lampu kalimantang menjadi penyeri kepada ruangan sujud manusia ini. Keutuhan generasi terdahulu ditemani pelepah dan batang kurma, pasir-pasir gurun dan hamparan kain serta kulit. Kini kalian menemani generasi moden ini. Generasi yang masih meniti mencapai suatu kualiti. Sungguh pada kalian itu ada pengajaran bagi orang-orang berakal. Keinsafan dan peringatan pada ulul albab. Sungguh ini pati dalam hal yang ku perkatakan. Pesanan dari utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w.