Tuesday, January 15, 2008

Pada Visi

pada visi,
timbul gambaran-gambaran,
yang pada sangkaan manusia tidak akan terjadi,
itu imaginasi,
hanya ilusi-ilusi,
pada benak empunya,
dia yakin dan percaya,
itu bukan mainan cuma,
tetapi satu lonjakan paradigma,
kebaikan bagi manusia yang bersedia berubah,

Pengajaran, Usaha dan Impian

masa lalu adalah pengajaran,
masa ini adalah usaha,
masa mendatang adalah impian,
pengajaran, usaha dan impian akan silih berganti,
bergerak dalam bulatan,
semalam menjadi pengajaran,
maka hari ini kita berusaha,
untuk mengejar impian esok,

The feels of falling down

I will not give up on what I do
What is wrong with falling down?
You can always stand up again,
Once you fall down,
You will learn something new,
That is very precious
That will never gained by those who never experience,
The feels of falling down

Thursday, October 11, 2007

Layakkah aku?

Riuh pasar, pusat-pusat membeli belah dan kedai-kedai dengan manusia yang sibuk mencari, memilih barang-barang untuk menyambut hari raya, atau ‘aidil fitri’. Ada yang bersama keluarga, bersama pasangan, pasangan yang sah dan juga pasangan yang tidak sah. Tidak kurang juga yang datang berkawan dan bersendiri. Apapun semuanya membeli-belah, kecuali seorang petugas jakim berkopiah duduk di tengah pusat beli belah yang hingar-bingar menanti orang datang membayar zakat.

Hmm… raya, kata orang Melayu, Arabnya Eid ul Fitr. Jika diteliti maksudnya kembali kepada fitrah. Bagaimana kembali kepada fitrah? Fitrah, suci setelah dibasuh dan disental dengan sabun amal, detergen ikhlas, syampu zikir. Selama sebulan. Ya, bersih suci barulah fitrah umpama bayi yang baru lahir. Setitik dosa pun tiada, terampun semuanya. Barulah layak untuk aku merayakan sesuatu, iaitu usaha dan kejayaan mencapai makna eid ul fitr itu.

Jika kanak-kanak tidak mengapalah, belum mengerti benar apa yang dilakukan. Seronok beraya. Makan kuih, main bunga api, dapat duit raya, bermain dengan kawan-kawan.
Tetapi diri yang makin meningkat usia ini semacam tidak layak je nak ‘beraya’. Macam kotoran degil. Hati tidak terasa bersih. Disental kotor semula, tak terjaga. Silap sendiri, entah apa yang dicari pun tidak tahu... hendak raya apanya, hati tak fitrah... (Y_Y)

Pengajaran

26 Ramadhan, saya sekali lagi ke kota Kuala Lumpur atas dua urusan, yang pertama mengambil seluar yang besar yang dikecilkan saiznya, dan yang kedua membaiki telefon bimbit yang rosak. Setelah selesai urusan pertama, saya terpaksa menunggu hamper setengah jam untuk menyelesaikan urusan kedua. Kaki melangkah mencari tempat duduk. Akhirnya punggung dilabuhkan di bangku dihadapan pusat membeli belah.

Hati pun bermonolog,
“ramadhan semakin berakhir, apa yang aku dah buat sepanjang Ramadhan?” sambil saya hati bermonolog, mata saya melihat orang ramai yang lalu lalang di hadapan kaki lima pusat beli belah tersebut. Pelbagai ragam manusia.

Tiba-tiba dari puluhan manusia yang alalu lalang saya terpandang seorang kanak-kanak sedang memimpin ibunya. Dibelakang ibunya, adalah ayahnya yang menuruti mereka dengan memegang bahu si ibu. Hati sungguh tersentuh, kerana anak yang celik itu memimpin kedua orang tuanya yang cacat penglihatan. Ke mana agaknya destinasi mereka? Membeli belah? Tapi bagaimana mereka hendak membeli belah? Tentunya bukan seperti manusia normal yang boleh melihat corak, warna atau saiz pakaian.

Sungguh besar! Sungguh besar pengorbanan anak pasangan itu. Memimpin orang tuanya. Memilihkan pakaian untuk orang tuanya.
“baju ni cantik ibu. Coraknya berbunga-bunga, warna biru campur kuning. Ada itu dan ini”
“ayah seluar ni sesuai untuk ayah, kainnya lembut. Fesyennya cantik. Warna hitam”

begitulah lebih kurang peranan anaknya. Menceritakan kesemuanya. Dan pastinya bukan hanya sekali tetapi berulang kali. Sahabat tentu faham bagaimana suasana membeli belah.
Mampukah aku berkorban seumpama itu?

Suci Hati

25 Ramadhan, selesai solat isya’, kaki melangkah mencari tempat untuk duduk sambil menanti untuk solat tarawikh. Di sebatang tiang di dalam masjid, kelihatan tiga orang kanak-kanak sedang duduk berbual.

Punggung dilabuhkan di sebalik tiang. Mata difokuskan pada 3 orang kanak-kanak itu. Seorang dalam lingkungan umur 11 ke 12 tahun, memakai jubah putih dan berkopiah merah. Bercermin mata dan agam tembam. Seorang lagi mungkin adiknya kerana memakai pakaian yang sama namun badannya lebih kecil dari abangnya. 9 ke 10 tahun umurnya. Yang paing kecil tubuhnya mungkin umur 7 ke 8 tahun.

Seronok mereka berborak. Sekali sekala tertawa kecil diselangi dengan senyuman yang manis. Jika diteliti perkataan yang digunakan baik dan sopan, sejuk hati mendengarnya. Tentu lebih sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka.

Tiba-tiba mereka beredar. Tidak lama selepas itu mereka kembali dengan masing-masing membawa kitab unggul al-quran.

“Nak baca surah apa?”
“Surah an-Naba”
“Surah amma ya tasaaaalun ye?“
“Haah”
“Siapa nak baca dulu?”
“Awak baca dululah”
“Takpelah saya baca dulu”. si adik kecil mula membaca dahulu. Bergilir dengan yang dua orang lagi. Lancar bacaan mereka.

Mereka ini masih suci hatinya. Bersih dari dosa. Berbeza dengan saya yang berat dengan bebanan dosa. Entah bila nak suci hati.

Solat tarawikh sudah mula, kaki melangkah menuju ke barisan saf meninggalkan tiga orang kanak-kanak itu dengan doa, moga mereka kelak menjadi penyejuk hati ibu bapa, pembela agama dan pemimpin ummah.

Tiada untuk direbut

Petang 25 Ramadhan, saya berjalan menuju ke masjid. Langit gelap sarat dengan awan hitam, menanti tiba waktu mencurahkan air ke bumi. Tiba di masjid, saya menapak ke sebelah kanan masjid, untuk meletakkan alas kaki. Lalu saya terserempak dengan seorang lelaki yang memegang dua bekas nasi yang disediakan oleh masjid untuk berbuka. Ah, mungkin ada lebih, tapi masih boleh dikira awal lagi untuk dikatakan ada lebih. Selalunya tidak cukup. Mungkin dia bawakan untuk temannya, mana tahu.
Saya meletakkan selipar di rak, dan menuju ke bahagian bawah masjid tempat berbuka puasa diadakan. Ada lebih kurang lima minit lagi waktu berbuka. Ruang bawah masjid sudah dipenuhi manusia.

Lalu saya terserempak dengan seorang lagi yang membawa dua bekas makanan di tangan. Saya perhatikannya. Eh, bekas nasi yang ditangan disimpan, kemudian dia duduk pula di tempat yang tersedia satu bekas nasi. Tiga bekas nasi, satu makan, dua simpan. Banyak sangatkah nasi yang disediakan sehingga ramai yang ambil lebih? Mata saya pun melilau. Bukan seorang dua, ramai rupanya yang ambil lebih, ada yang ambil lebih satu dan ada yang ambil dua.
Eh, ramai lagi rasanya orang yang hendak berbuka puasa di masjid ni. Kalau ambil lebih tentu tidak cukup.

Saya pun duduk bersandar di dinding, mengadap tempat nasi diagihkan. Orang masih ramai yang datang untuk berbuka. Nasi pula nampaknya tinggal sedikit. Pasti tidak mencukupi. “Allahu akbar Allahu akbar“, azan pun berkumandang. Semua mula menjamu makanan masing-masing. Namun hati saya gundah, apabila melihat orang masih datang untuk mendapatkan makanan. Dan apa yang berlaku, seperti yang dijangkakan. Nasi yang disediakan tidak cukup. Sedih rasanya melihat kerana ketamakan kita, orang lain teraniaya.

Mereka yang mengambil lebih boleh dikira telah mengambil hak orang lain. Tidak cukupkah satu? Ya, tidak cukup jika kita menurut hawa nafsu kita. Kadang-kadang kita risau, kita tidak dapat hak kita, menuntut hak kita sehingga kita lupa yang lebih utama sebenarnya adalah menunaikan hak orang lain.
“kena datang awal masjid, nanti tak dapat makanan”, “orang ramai”. Itu adalah antara alasan yang timbul. Sebenarnya tidak perlu risau akan semua itu. Yang perlu utama difikirkan ialah puasa kita. Kita lupa puasa belum tamat sehingga saat takbir pertama azan. Hakikatnya ibadah kita bukan habis setakat berbuka. Ada kesinambungannya. Saat berbuka itu kita dapat lihat hasil puasa kita selama sehari.
Tidak ada apa yang perlu direbutkan. Sekiranya Rasulullah s.a.w hanya berbuka dengan tamar masakan kita perlu risau andai kita cuma punya tamar untuk berbuka? Atau sekadar air. Berbuka itu bukanlah makan untuk kenyang, menampung makanan untuk sehari. Mengambil lebih dari keperluan sehingga mencabul hak saudara kita. Hakikatnya tidak begitu.

Teringat saya akan satu episod siri rancangan Bersamamu yang betul-betul memberi impak dan kesan pada saya. Sering saya teringat akan kisah sebuah keluarga di Felda jengka yang dipaparkan pada hari Jumaat malam Khamis. Begitu sedihnya kerana keadaan mereka yang begitu berbeza dengan kita. Tiada makanan pun untuk direbutkan. Tiada makanan pun untuk dibazirkan. Yang ada hanyalah pisang rebus yang dimakan oleh anak-anak dan ibu, tanpa dijamah oleh ayah. Itulah lauknya hampir setiap hari.

Hanya pelita minyak kelapa pengganti arus elektrik. Rumah pula hanya sebahagian berdinding. Lebih menambah sebak apabila si anak kecil tidak mahu bersekolah kerana diejek miskin oleh kawan-kawan. Sedih hati ayah yang berusaha mencari duit bagi menyekolahkan anaknya. “biarlah apa orang nak kata kakak, biarlah, selagi ayah hidup ayah akan jaga kita sekeluarga”.

Mereka inilah harus kita berikan makanan yang kita makan sehingga senak perut lebih dari keperluan. Mereka inilah yang harus kita bela. Mengikut hawa nafsu tidak akan pernah puas. Kata luqman al-hakim, “adalah lebih baik makanan yang dimakan sehingga kenyang itu diberikan kepada anjing yang lapar”