Saturday, January 23, 2010

Dia yang Sentiasa Menguntum Senyum…

Malam. Gelanggang bola keranjang yang sudah merekah simennya. Pohon-pohon di sekeliling ditiup lembut sang bayu. Dalam kelincahan di gelanggang, dia tegar menuntut ilmu persilatan. Belum ku kenal dia. Fokusnya tidak terganggu dek telatah yang lain. Namun sesekali dia menguntum senyum.

.................................................................................................................................................

“Nak pergi mana?”

“Balik rumah”. Dia senyum bersama kumis nipisnya. Motosikalnya dilap-lap. Helmet terletak di antara tempat duduk dan bakul motosikal.

“Balik rumah lagi. Sebetulnya bukan minggu yang sudah kau dah balik?”

“Haah, minggu ni balik lagi”. Senyum lagi. Seakan dia sangat gembira dengan memberikan jawapan tersebut.

”Ai, rindu ke?” sengaja mengusik. Dia senyum.

”Aku ni bukan apa Wan. Mak ayah aku, aku kena jengok selalu. Orang tua. Dua-dua dah tua. Lebih-lebih lagi bila dekat, kena balik selalu”. Jawapan itu membuatkan mulutku terkunci. Ringkas tapi membuatkan aku terdiam dan berfikir. Dia anak yang baik. Anak, yang soleh, insya Allah. Aku doakan.

.................................................................................................................................................

”Hantar emel kat siapa tu?”

”Forum ni... bukan emel...”, terukir senyum.

”Forum apa?”

”Bikers...”, aik? Dia ni geng-geng bikers juga rupanya. Maka rancaklah perbualan hal motosikal. Berimpian itu dan ini. Motosikal berkuasa tinggi. Fuh!

Dia ni selalu balik rumah dengan motosikalnya. Balik seorang diri pada hujung minggu. Kadang malam bertolak. Kadang siang. Memang bikers...

.................................................................................................................................................

Sepanjang ingatan aku, apabila bertemu, pasti dia yang menguntum senyum dahulu. Pasti dia yang memanggil namaku dahulu. Wan! Tanpa pernah putus mengutus senyum. Ramahnya tak pernah menyakiti hati. Akhlaknya juga baik. Bila berborak bersama, tidak pernah bosan. Senyumnya pula seperti tidak pernah jemu! Tambahan kumisnya terkadang membuat aku ketawa kecil dan selalu ku tegur.

“Ai, dah tebal misai?”

“Saja nak menyimpan”. Senyum sambil tangannya membelai-belai misai.

.................................................................................................................................................

Dia ini boleh dikira sekampung. Walaupun nama kampungnya lain, tapi boleh dikira sekampung lah. Bagaimana boleh tahu sekampung aku tak ingat. Setiap kali balik kampung, mesti nak ziarah. Niat sahaja. Selalu tak dapat. Tempat tahu dah, sampai tak juga. Bila nak balik semula ke kota, adui! Tak pergi rumah dia!. Tak apa. Balik kampung lain kali kena pergi rumah dia.

Hati hendak sangat pergi sebabnya dialah satu-satunya kawan sekampung yang aku betul-betul kenal. 11 tahun di Sarawak, tidak memungkinkan aku untuk membina kenalan dan rakan di kampung. Sejak kecil dibawa merantau. Jadi aku sangat-sangat menghargai dan seronok bila bertemu orang kampung. Aku ini berjiwa sentimental kampung.... Makanya, aku harus menziarahi dia dan keluarganya.

.................................................................................................................................................

Akhirnya, aku balik ke kampung. Kali ini tekad menziarahi dia. Kereta di bawa meluncur di atas jalan raya. Menelusuri jalan-jalan kampung. Perasaan aku... tidak tergambarkan. Sudah tiba. Ya, di sini. Banyak kereta sudah ada. Orang pun agak ramai. Tempat yang tidak jauh dari rumahnya.


Tanah Perkuburan Islam.


Senyumannya tidak sempat ditatap.


Ziarah ku untuk dia rupanya di rumah yang selebar 3 kaki dan 7 kaki dalam...



.................................................................................................................................................

Moga dia menjadi ibrah buat diriku dan kita semua.... Aku terdiam.... Gamam...

1 comment:

  1. Al-Fatihah buat dia...bile bace je entri ni aku dah tau siapa sbb ko asyk ckp pasal senyuman...kali terakhir aku jmpa dia, waktu tu aku tnya bile ko grad? dgn senyuman tak pernah lekang dibibir dia menjawab, insyaAllah sama dgn ko...InsyaAllah...dia akan ditempatkan dikalangan orang2 yang soleh...

    ReplyDelete