Tuesday, January 19, 2010
Mesyuarat dengan Alam 4 : … …. . ..
Petang cerah. Awan berarak perlahan ditiup bayu petang. Seorang manusia bersenam berlari. Bersendirian. Jam 5.30 petang. Dilihatnya sekelompok manusia berlari di atas padang mengejar bola. Sebahagian lagi bermain di tepi hujung padang di atas trek balapan. Yang lain ada yang meregang-regang badan, berlari-lari anak di atas balapan merah dan ada yang duduk di pentas penonton memerhati gelagat manusia-manusia.
Kelas sudah tamat. Waktu kerja sudah habis. Kenderaan kereta dan motosikal bersusur di atas jalan. Sesekali bas Rapid KL dan Metro 91 muncul bergerak perlahan dan berhenti di hentian bas. Ada pelajar yang tinggal di luar kampus.
Dalam diam dia berfikir. Terkadang mengerut. Terkadang menunduk. Ada kalanya merenung jauh sambil kaki laju melangkah demi langkah.
Satu waktu, tertunduk dia. Merenung ke tanah yang berumput hijau. Melihat sesuatu yang bergerak di atas tanah itu. Dia diam. Akal dan hati berbicara.
”Sedang aku berlari tadi, rupanya aku tidak sedar akan kehadiran mereka.
Mereka ini pasti telah tahu akan kehadiran aku saat aku melalui jalan mereka.
Dan pastinya mereka ini menjadi huru hara mencari tempat berlindung apabila aku tiba tanpa menyedari kehadiran mereka. Kedatanganku ke kawasan mereka mengundang bahaya kepada kelompok mereka. Masakan tidak, bisa saja mereka itu hilang nyawa”.
Agak lama manusia itu merenung. Difokuskan ke arah kelompok itu. Wajahnya tiba-tiba menjadi sedih dan sayu.
”hai, entah berapa ramai kerabatmu yang telah aku bunuh. Nyawa kamu hilang kerana aku tidak sedar dan seronok joging tanpa menghiraukan bahawa kamu ada di sini”.
Menggeleng-geleng manusia itu. Diam. Lalu, bertukar wajahnya menjadi teruja dan tersenyum.
”Ya benar. Sungguh benar. Ini antara ibrahnya. Mengapa diceritakan Allah. Ini adalah supaya aku belajar. Supaya aku mengerti bahawa kalian juga sebenarnya berbicara denganku. Hari ini aku belajar dari kamu, wahai semut”.
Manusia itu berazam, setiap langkahnya akan diperhatikan agar tidak ada lagi semut-semut yang terkorban akibat dari tidak sedar...
Dan inilah apa yang diceritakan Allah dalam Quran:
"Dan telah dikumpulkan bagi Sulaiman tenteranya iaitu jin, manusia dan burung, sedang mereka berkelompok-kelompok".
"Sehingga apabila mereka sampai ke lembah semut, lalu berkata raja semut: wahai sekelian semut, masuklah kamu ke dalam rumahmu supaya kamu tidak dihancurkan oleh Sulaiman dan tenteranya, sedang mereka tidak sedar (terhadapmu)".
"Lalu Sulaiman tersenyum serta tertawa kerana mendengar perkataannya dan berkata:
Ya Tuhanku, tetapkanlah hatiku untuk mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku serta ku kerjakan amalan soleh yang Engkau sukai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam hamba-hambaMu yang soleh”
An-Naml: 17 – 19
( … …. . .. = deretan semut : )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
comellah semut2 abg wan ni.. :)
ReplyDeletesuka idea yang bawah sekali..
ReplyDelete....= semut.. hehe, menarik..