Wednesday, January 6, 2010

Isu Kalimah 'Allah': Kenyataan PKPIM

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

5 Januari 2010 / 19 Muharram 1431

PELANCARAN GERAKAN KEMPEN KESEDARAN GENERASI MUDA BERHUBUNG KES KALIMAH ALLAH

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memustuskan untuk membenarkan tuntutan pihak Herald Catholic terhadap kerajaan Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan ‘Herald: The Catholic Weekly’.

Keputusan tersebut telah mengundang kekeliruan khususnya dalam kalangan generasi muda tentang persoalan aqidah dan konsep ketuhanan. Kekeliruan ini boleh menyebabkan tergugatnya pegangan aqidah mereka yang menjadi kebimbangan utama PKPIM.

Sementara itu, perkembangan ini juga telah menimbulkan kemarahan sebilangan besar umat Islam di Malaysia yang dapat disaksikan menerusi siri bantahan terbuka dan laporan polis yang telah dibuat oleh NGO Islam di seluruh negara.

Atas kebimbangan tersebut, PKPIM merasakan perlunya satu gerakan kesedaran secara besar-besaran dilaksanakan di setiap peringkat masyarakat khususnya generasi pelajar dan mahasiswa. Sehubungan dengan itu, PKPIM melancarkan Gerakan Kempen Kesedaran ”Implikasi Kes Kalimah Allah Terhadap Islam di Malaysia” atau singkatannya GKK-PKPIM.

Tujuan utama pelancaran GKK-PKPIM adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan kefahaman Islam sebenar serta merungkaikan kekeliruan yang berlaku berikutan implikasi kes kalimah Allah terhadap Islam dan masyarakat umum.

Menerusi platform ini, PKPIM akan menggerakkan beberapa siri program kesedaran seperti forum dan wacana ilmiyah, diskusi umum, pengedaran risalah, penerbitan makalah dan poster kesedaran, serta munajat perdana. Gerakan ini akan dimobilisasikan ke seluruh negara dengan mensasarkan para pelajar dan mahasiswa secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, gerakan ini mendapat dokongan lebih 20 persatuan pelajar yang turut disertai oleh 13 Badan Gabungan Negeri (BGN) PKPIM dan kelab-kelab mahasiswa di IPTA dan IPTS.

PKPIM berharap agar dengan gerakan kempen kesedaran ini dapat menanam kesedaran generasi muda terhadap kes ini seraya merungkaikan kekeliruan dan salah tanggap yang melingkari persoalan aqidah dan teras kepercayaan umat Islam. Atas rasa tanggungjawab, PKPIM menyeru lebih banyak pihak untuk tampil dan memberikan sokongan untuk menjayakan gerakan ini.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

www.pkpim.net

No comments:

Post a Comment