Saturday, January 17, 2009

Mesyuarat Dengan Alam 2



Hari itu langit cerah. Bayu bertiup perlahan lembut menyapa kulit. Langit bercorak awan putih tipis meregang mengisi ruang atmosfera bumi. Udara dalam kecerahan itu disedut sedalam-dalamnya. Terasa segar di dada dipenuhi oksigen yang meresap ke dalam salur-salur darah. Allah menghidupkan hidupan jagat ini dengan asbab sistem biologi yang cukup hebat.

Wahai langit, yang dicipta Tuhan berlapis-lapis sungguh indah fizikalmu. Namun hakikatnya lebih indah lagi apabila mengenal penciptamu. Segala kemuliaan milik Allah.

”Dan Allahlah yang mengirimkan angin; lalu menggerakkan awan, maka Kami arahkan awan itu ke suatu negeri yang mati lalu dengan hujan Kami hidupkan bumi setelah mati. Seperti itulah kebangkitan itu!” (Q.S 35:9)

Wahai langit, yang sentiasa patuh dan berzikir pada Pencipta, moga perumpaan yang diturunkan Allah ini menghadirkan kebangkitan dalam lubuk sanubari diri hamba. Kecelikan kepada keagungan al-Khaliq!

Apakah kebangkitan itu? Kebangkitan dari hamba yang tekad dengan kalimah ”la ilaha iLlah, muhammadur rasulullulah”. Hamba yang mengakui keEsaan Tuhan yang menurunkan nikmat dan rezeki dari langit dan mengeluarkan dari bumi. Keteguhan hamba yang tidak pernah kecewa apabila didustakan setelah memberi peringatan kerana dia mengerti bahawa rasul-rasul dahulu juga pernah didustakan. Utusan-utusan Allah tidak pernah berputus asa menyebar risalah. Teguh kesabaran mereka menghadapi cemuhan, merentangi bentakan. Tenang jiwa mereka kerana hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan.

Bangkitlah hamba yang berpaut kukuh pada janji Allah yang benar. Jauh sekali kehidupan dunia memperdayakannya. Pantang sekali tertipu oleh perdaya syaitan tentang kebenaran.

”Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala!” Q.S 35:6

Hamba yang beriman, kerjakan kebajikan! Agar memperoleh keampunan dan pahala yang besar! Jangan bersedih terhadap pendustaan kebenaran kerana Allah tahu setiap apa yang berlaku. Berlarilah kepadaNya yang sentiasa menanti kehadiran hambaNya yang menyerah diri kepada Tuhan!

Bersaksilah langit! Dengarkanlah awan! Perhatikanlah bayu! Hari ini aku bertekad bangkit mencapai untaian janji Allah demi kemuliaan di hari kebangkitan seluruh umat!

No comments:

Post a Comment