Saturday, January 24, 2009
Aku Tua Sebelum Usia!
“Kau dulu pernah datang rumah aku kan Zak?”
“Eh, tak! Ni lah pertama kali aku datang”
”Eh mana pulak, kau ada datang dulu dengan ’Izzat”
”Tak Wan. Tak pernah pun”
Hmm... bila difikir semula agak lama, rupanya memang betul. Razak tidak pernah ke rumah sebelum itu. Itulah pertama kali dia ke situ. Sebenarnya ’Izzat datang ketika itu dengan orang lain, Cik Su!
itu adalah salah satu contoh kelupaan yang dialami. Banyak lagi yang berlaku. Walhal perkara itu sebenarnya baru sahaja berlaku. Tak sampai pun belas tahun, malah ada yang peristiwa baru beberapa hari, ada yang beberapa jam sudah terlupa. Semakin lama, semakin teruk! Mengingat nombor jarang sekali.
Teman-teman kata,”Kau ni pelupa lah!” ”bahaya ni wan!”
Ya diakui. Diri ini memang pelupa. Tapi, saya selalu mencatatkan peristiwa-peristiwa atau hal-hal yang perlu dan penting. Sudah catat pun lupa lagi. Seperti suatu cerita. Seorang isteri meminta suaminya keluar membeli barang dapur. Lalu akibat sering lupa si suami meminta isterinya menuliskan senarai barang-barang yang hendak dibeli di atas kertas. Setelah ditulis, diserahkan senarai barang itu kepada suaminya. Tidak berapa lama selepas suaminya keluar, telefon rumah berdering.
”Assalamu alaikum, yang apa barang-barang yang hendak dibeli tadi?”
”Eh, abang ni! Kan saya dah bagi senarai tadi. Tengoklah pada senarai
tu”
”Bukan abang tak nak tengok tapi abang terlupa nak bawa senarai tadi”
Berat, berat. Payah kalau macam ini. Dalam berfikir panjang, aku ni dah nyanyuk ke? Teringat pula suatu cerita Korea tentang seorang isteri muda seorang arkitek yang mengalami penyakit nyanyuk, Alzheimer. Seram... seram... aku tak nak jadi macam tu! Sedih dan kesian. Pernah beberapa kali berdoa, ”Ya Allah, kuatkan ingatanku. Jangan biarkan aku berada dalam penyakit kelupaan. Sekiranya tidak sembuh pun, jangan biarkan kerana penyakit ini, aku menjadi beban kepada orang lain.”
Suatu hari ada seorang teman yang mengambil jurusan Sains Kemanusiaan berkata, ”Inilah yang dikatakan Short Term Memory Loss”
Short Term Memory Loss? Apakah halnya itu? Bila dicari di internet, banyak maklumat yang dijumpai tentang Short Term Memory Loss. Setelah membuat pembacaan dan penelitian, ini yang diperolehi. Punca kehilangan memori dalam masa singkat
1. Penyakit Alzheimer – penyakit ni muncul pada usia yang tua dan tiada ubatnya. Analisis: Uii, saya belum tua lagi. Baru dua puluhan. Lagipun, Allah dah berfirman setiap penyakit ada penyembuhnya. Yang di atas adalah tiada ubat secara saintifik.
2. Gula dalam darah – ini berkaitan dengan cara hidup moden. Kecenderungan tidak makan siang hari dan menggantikannya dengan makan banyak pada waktu malam. Ini menyebabkan ketidakstabilan gula dalam darah. Kurang gula dalam darah menyebabkan otak jadi lembap dan menjadi punca hilang ingatan masa singkat. Jadi amalan pemakanan perlu dijaga. Analisis: Gulp! Ini selalu saya amalkan. Bahaya!
3. Ketidakstabilan hormon – yang ini pun berkaitan dengan usia tua. Hormon tidak stabil menyebabkan sistem badan tidak berfungsi dengan sempurna. Analisis: jawapan yang sama dengan yang pertama, usiaku masih muda, hu hu hu.
4. Kemuraman dan minuman keras – tekanan dan masalah menyebabkan otak mengalami tekanan. Minuman keras dan dadah- termasuk ubat-ubatan boleh menggagalkan fungsi otak yang waras. Analisis: Alhamdulillah, setakat ini tidak bermuram. Minuman keras dan dadah jauh sekali. Larangan Allah cukup jelas terhadap benda yang menghilangkan kewarasan. Ubat... mungkin juga. Imunisasi badan tidak kuat, jadi kerap juga sakit ringan. Sekali telan dua tiga pil.
Punca sudah diketahui. Mari kita teliti cara-cara mengatasi kehilangan memori ini:
1. Berjumpa dengan doktor. Tujuannya untuk mengenalpasti tahap penyakit yang dialami dan punca-puncanya.
2. Memahami bahawa memori jangka pendek disimpan dalam otak hanya untuk beberapa minit dengan sedikit pengolahan atau pemprosesan. Adalah baik untuk menggabungkannya dengan memori jangka panjang.
3. Memori jangka pendek terhad mengingati beberapa hal. Biasanya 7 ke 15 hal bergantung kepada seeorang itu.
4. Mengulang-ngulang perkara yang mahu dikekalkan dalam minda. Ulangan mampu mengekalkan hal-hal dalam memori.
5. Dapatkan sekurang-kurangnya 8 jam tidur. Tidur yang mencukupi mampu membantu memori jangka pendek.
6. Jika hendak mengingati perkataan, jadikan perkataan itu satu ayat. Jika hendak mengingati nama orang, sebut berulang kali namanya bila bertemu.
7. Sebut dengan kuat perkara yang hendak diingati kerana itu melibatkan deria yang lain, justeru menambah peluang mengingatinya.
Selain cara-cara di atas, boleh juga ikhtiar dengan makan setiap hari vitamin A, C, E, B-complex vitamins, mineral seperti magnesium. Calcium, zinc dan selenium. Acid lemak omega-3 pula dimakan 1-3 sudu besar sekali ke tiga kali sehari. Banyak lagi yang makanan tambahan yang boleh diambil.
Moga-moga dengan apa yang tertulis sedikit sebanyak dapat memberi maklumat kepada teman-teman. Dan moga-moga permasalahan yang dihadapi berjaya diselesaikan atau dikurangkan dengan izin Allah.
Penyakit itu dari Allah, maka kepadaNya perlu kita kembali.
rujukan:
http://www.progressivehealth.com/short-term-memory.asp
http://hubpages.com/hub/Memory-Loss-Advisory
Thursday, January 22, 2009
Kebangkitan Hero Palestin
Hari ahad. Apa aktiviti hari ini yang hendak dibuat? Lalu timbul di benak, ”Ziarah bilik teman-teman lah”. Kaki menyarung sandal merah hitam yang sudah sedikit rosak tapi masih boleh berfungsi. Langkah dimulakan.
Sebuah rancangan. Ah gosip-gosip. Cerita merepek! Teringat suatu ketika pulang ke kampung, ke rumah Atuk. Di rumah Atuk, ada sebuah televisyen lama yang masih terjaga dan baik. Televisyen itu, jika anak cucunya tidak ada, tidak pulang ke kampung, duduklah TV itu atas almari lama, tidak ada sesiapa yang membukanya untuk ditonton. Atuk dan Wan memang tidak menonton tv. Membazir masa katanya. Dia lebih suka menelaah kitab-kitab dan buku-buku ilmiah.
Lalu siaran hiburan tadi ditukar. Tekan sekali, tekan dua kali, tekan tiga kali. Tup, terkeluar suatu rancangan! Hah, cerita Tamil! Sepertinya menarik!
Ada seorang hero tamil, seorang manusia, sedang bersembunyi, mencuri dengar perbualan seorang lagi lelaki yang bermisai tebal, bermuka bengis dengan konco-konconya. Si bengis adalah dewa neraka. bertanya kepada dua orang konconya iaitu nyamuk,
”Bukankah aku suruh kalian membunuh manusia?”
Dijawab salah seorang konco itu, ”Manusia-manusia berjaya membunuh kami. Mereka ada ubat mengubati denggi, malaria dan chikungya”.
Dewa itu berkata, ”Kita harus menambah jumlah manusia yang masuk ke neraka”.
Dipendekkan cerita, hero turun ke bumi dan mengajak semua manusia berbuat baik, menyebarkan perkara kebajikan dan berkasih sayang. Berhenti membuat dosa, kerosakan dan kejahatan supaya manusia tidak masuk ke neraka.
Setelah sekian waktu, pembantu dewa neraka, memberitahu dewa, hari ini tidak ada seorang pun manusia yang memasuki neraka. Lalu marah si dewa itu dan ditanyakan mengapa. Lalu pembantu itu menceritakan bahawa manusia semua sudah beramal baik dan masuk ke syurga.
Si hero mempengaruhi konco dewa supaya dihapuskan si dewa yang kejam. Terkejut konco-konco lalu semua lari menjauhi hero. Si hero bertegas dan memberitahu sebab dan kebaikan menghapuskan si dewa. Bersorak konco-konco itu. Lalu, seperti biasa cerita tamil dan hindustan, bermulalah alunan muzik, dan menyanyilah hero,
”Hei, dewa neraka! Kau memang kejam”
Dewa menyahut dengan menyayi
”Ya aku memang kejam,bunuh, bunuh!“
Disambut hero,
”Kau bunuh wanita dan orang tua“
”Aku akan terus membunuh”
”Kau juga bunuh kanak-kanak,yang tidak berdosa”
”Bunuh, bunuh, bunuh!”
Hero mula bersemangat, melibas-libaskan pedangnya sambil konco-konco dewa menyerang dewa.
”Hari baru telah muncul! Hari semalam sudah berlalu! Hayunkan pedang! Tegakkan keadilan”
Konco-konco mengepung dewa, dipukul ditabrak si dewa. Sambil itu si hero menyanyi. Dewa melawan namun akhirnya diangkat dan dicampak ke dalam minyak mendidih.
Itu sebahagian apa yang ditonton. (saya tidak faham bahasa tamil, jadi dialog dan lagu yang dinyanyikan adalah berdasarkan sarikata. Itupun bukannya tepat-tepat saya ambil dari sarikata sebab tidak berapa ingat). Apa yang penting, cerita ini mengingatkan kepada isu Palestin.
Dewa yang zalim umpama Israel yang bergembira dengan serangan ke atas rakyat palestin. Setiap hari mesti ada nyawa rakyat yang perlu dikorbankan.
Hero ibarat pemimpin-pemimpin palestin beserta rakyatnya yang berjuang menentang kezaliman israel. Mempertahankan tanah sendiri.
Konco-konco seperti negara-negara Islam yang mengikut telunjuk A.S dan israel. Mereka perlu dibangkitkan supaya sama-sama menentang kebiadapan Israel. Buang rasa gentar terhadap mainan A.S dan Israel.
Hari baru seperti gelombang baru yang besar, menggesa supaya kita berjuang bersama-sama rakyat palestin yang harus diberi gelar ”Everyday Heroes” dan ”Everyday Survivors”! BANGKIT! BANGKIT! BANGKIT!
Saturday, January 17, 2009
Kemas kini
Dahulu sewaktu orang lain asyik dengan blog, terasa ingin tahu dan memiliki blog sendiri. Seronok tengok orang lain memuat naik pelbagai perkara dalam blog mereka. Ada yang rajin menulis artikel, ada yang papar gambar-gambar, ada yang seronok dengan muzik.
Waktu itu semangat berkobar-kobar mahukan sebuah blog. Macam-macam hendak isi. Pelbagai konsep hendak diterapkan.
Kini nak mengemaskini pun payah. Setelah sekian lama tidak menulis, otak seakan membeku. Apabila nak mula menulis, duduk di depan komputer termemung apa aku nak tulis, bagaimana nak mula, ayat apa nak mula dulu… bila dah mula, tiba-tiba terhenti di pertengahan ayat. Artikel tulis tidak habis. Suku jalan, separuh jalan, yang hanya ada tajuk pun ada. Hilang idea. Tergantung ayat tidak tahu bagaimana nak sambung. Isi pula berterabur. Melompat-lompat dari satu isi ke satu isi. Dating idea, tak dapat pula nak kembangkan. Berhari-hari nak tulis satu artikel.
Tulis artikel, berkisar tentang apa? Fasal diri? Entahlah... Bila difikirkan kembali, diri ini ketandusan. Ketandusan ilmu! Ketandusan membugar budaya ilmu!
Mesyuarat Dengan Alam 2
Hari itu langit cerah. Bayu bertiup perlahan lembut menyapa kulit. Langit bercorak awan putih tipis meregang mengisi ruang atmosfera bumi. Udara dalam kecerahan itu disedut sedalam-dalamnya. Terasa segar di dada dipenuhi oksigen yang meresap ke dalam salur-salur darah. Allah menghidupkan hidupan jagat ini dengan asbab sistem biologi yang cukup hebat.
Wahai langit, yang dicipta Tuhan berlapis-lapis sungguh indah fizikalmu. Namun hakikatnya lebih indah lagi apabila mengenal penciptamu. Segala kemuliaan milik Allah.
”Dan Allahlah yang mengirimkan angin; lalu menggerakkan awan, maka Kami arahkan awan itu ke suatu negeri yang mati lalu dengan hujan Kami hidupkan bumi setelah mati. Seperti itulah kebangkitan itu!” (Q.S 35:9)
Wahai langit, yang sentiasa patuh dan berzikir pada Pencipta, moga perumpaan yang diturunkan Allah ini menghadirkan kebangkitan dalam lubuk sanubari diri hamba. Kecelikan kepada keagungan al-Khaliq!
Apakah kebangkitan itu? Kebangkitan dari hamba yang tekad dengan kalimah ”la ilaha iLlah, muhammadur rasulullulah”. Hamba yang mengakui keEsaan Tuhan yang menurunkan nikmat dan rezeki dari langit dan mengeluarkan dari bumi. Keteguhan hamba yang tidak pernah kecewa apabila didustakan setelah memberi peringatan kerana dia mengerti bahawa rasul-rasul dahulu juga pernah didustakan. Utusan-utusan Allah tidak pernah berputus asa menyebar risalah. Teguh kesabaran mereka menghadapi cemuhan, merentangi bentakan. Tenang jiwa mereka kerana hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan.
Bangkitlah hamba yang berpaut kukuh pada janji Allah yang benar. Jauh sekali kehidupan dunia memperdayakannya. Pantang sekali tertipu oleh perdaya syaitan tentang kebenaran.
”Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala!” Q.S 35:6
Hamba yang beriman, kerjakan kebajikan! Agar memperoleh keampunan dan pahala yang besar! Jangan bersedih terhadap pendustaan kebenaran kerana Allah tahu setiap apa yang berlaku. Berlarilah kepadaNya yang sentiasa menanti kehadiran hambaNya yang menyerah diri kepada Tuhan!
Bersaksilah langit! Dengarkanlah awan! Perhatikanlah bayu! Hari ini aku bertekad bangkit mencapai untaian janji Allah demi kemuliaan di hari kebangkitan seluruh umat!
Subscribe to:
Posts (Atom)