Tuesday, December 30, 2008
Suarakan Untuk Mereka!
Hentikan! Hentikan! Hentikan! Segala perayaan dan sambutan tahun baru! Di saat bumi Palestine dibedil, masakan kita masih sanggup bersuka ria, bergelak ketawa mengakhiri tahun 2008 yang dengan kebiadaban Israel dan menyambut tahun 2009 dengan kebongkakan dan penghinaan Israel terhadap saudara kita! Lakukan sesuatu! Suarakan pendirian kita! Ini satu kebatilan! Bukan masa untuk bergembira bersulam kemaksiatan sambutan tahun baru.
Tidak ada maknanya tahun baru masihi andai kita masih kekal dengan sikap pentingkan diri. Kosongnya tahun baru masihi. Hadir muharram pembuka tahun hijrah yang penuh intipati sejarah yang harus dijadikan ibrar. Di saat seluruh dunia mengatakan yang haq itu batil, apakah kita sanggup bersabung, berpendirian mengangkat yang haq itu setingginya?
Sunday, December 21, 2008
Kenangan itu
Kenangan itu mengusik rindu,
menyentuh kalbu,
Lama bertapa tersulam padu,
Satu persatu, datang mengimbas ke silamku,
Susah senang sama bersatu,
kadang terselit selisih dan setuju,
kenangan itu,
Hakikatnya kenangan itu,
adalah masa dahulu,
pengalaman yang bertamu,
sebagai pengajaran untuk masa yang bakal dilalui,
aku dan kalian,
bagaikan setiap rumput yang tumbuh,
di atas tanah perang kehitaman,
akar kesatuan fikiran mencengkam bumi,
mengukuh sejahtera keimanan,
mendokong sesama dalam sengketa atau sekepala,
berpadu setiapnya menghijau bumi,
menyenangkan mata umat memandang,
aur yang setia pada tebing,
pada akhirnya unsur-unsur kenangan itu,
kini dan mendatang mungkin berbeda pada ruhnya,
mungkin mengepak terbang dari ingatan,
dalam udara yang setiap saat beredar dan beralih,
dalam aliran air yang lembut,
namun deras mengalir,
dalam ketuaan yang mengunjung,
yang amat pantas dalam rangkak kelalaian,
dalam perjuangan kelangsungan,
sabut belum tentu timbul,
batu tidak mesti tenggelam,
kenangan itu adalah sejarah,
tenggelam atau timbul,
menguatkan atau melemahkan,
berulang atau tidak,
dalam hidup yang berjalan,
mendekati penamatnya.
Keenakan kenangan akan hadir pada saat yang tidak disangka.
Ke mana pergi teman-temanku?
Ke mana pergi teman-temanku? Mereka ada, Cuma sering, jarang atau kadang-kadang bertemu. Mereka tetap ada di situ. Di tempat, kedudukan, keadaan dan kehidupan yang Tuhan tentukan. Mereka punya arah tuju. Masing-masing mengejar sesuatu. Ada yang bekerja, ada yang masih belajar, ada yang tidak diketahui berita, ada yang berada disisi. Ke mana pun perginya teman-teman jika tetap dan lekat di hati, kasih dan doa tidak akan berhenti dititip bibir.
Hakikat pertemuan dan perpisahan adalah sunnah Allah. Sebentar atau lama, bukan yang utama. Bersua muka pun sudah cukup gembira. Mencari keredaan Tuhan dalam landasan perjalanan yang dibina. Apa yang penting, sebagai seorang teman, jika berjauhan, doakan. Jika dekat bantukan. Tunaikan hak mereka bukan menuntut hak kita. Menghargai dengan sepenuhnya. Berpisah, terpisah atau bersama kita yang tentukan statusnya. Masa berlalu, keadaan berubah. Yang lama tetap ada, yang baru turut tiba. Sejati atas dasar keimanan. Sebati kerana kesatuan hati.
Amanah dicipta diri oleh Tuhan menjadi utama. Menuju destinasi melalui jalan lurus yang dipilih dari pelbagai pilihan. Meski wasilah berbeza, utamanya ialah tetap dengan pengakhiran kepada Tuhan yang Esa. Relakan mereka pergi menuju destinasi sendiri yang berpaksi Tuhan Rabbul Izzati.
Kehebatan alat komunikasi ciptaan Tuhan, walau tanpa bicara, hati mampu memahami dan mengerti.
Monday, November 3, 2008
Mesyuarat dengan Alam 1
Di suatu tempat yang indah menghijau terkandung udara bersih menyegarkan. Berlaku pertemuan antara manusia dan alam:
Manusia: Salam sejahtera, wahai alam. Bagaimanakah keadaan mu? Aku sungguh senang hati melihat keindahan mu. Cukup menenangkan dan mendamaikan. Sungai mengalir dengan jernih bersama hidupan yang riang ria berenang. Udara juga terasa segar. Alhamdulillah syukur pada Tuhan.
Pohon: Selamat wahai manusia. Kami disini masih hidup dengan nikmat Tuhan. Segar dan selamat. Kami berharap pertemuan kita kali ini mampu mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak terutamanya pihak kami.
Sungai: Wahai manusia, adakah kamu sedar terhadap apa yang berlaku pada kami?
Manusia: Ya, mohon maaf wahai sungai, pohon, dan yang lain-lain. Kami sedar apa yang telah terjadi. Kerana itu diadakan sua muka antara kita pada hari ini. Sekali lagi mohon maaf. Kerana kebongkakan dan kerakusan sebahagian kami menyebabkan kalian sengsara.
Tanah: sudahlah wahai manusia, sudah beribu kali memohon maaf, namun, dari dahulu hingga kini masih tiada perubahan. Malah kamu menjadi lebih dahsyat lagi.
Rerumput: Bukankah kamu khalifah di muka bumi ini?
Manusia: ya, kami khalifah di bumi ini. Tanggungjawab kami memakmurkannya dengan baik. Menyebarkan kebenaran, menghapus kebatilan. Ya, itu tugas kami sebagai umat yang terbaik. Tanggungjawab yang seharusnya menjadikan kami beriman. Meraikan hubungan mendatar bersama sekalian makhluk, memegang teguh pertalian lurus menegak dengan Tuhan Maha Esa.
Pohon: ya itu benar, tetapi mengapa kamu tidak menjalankan amanah kamu?
Manusia: apabila sebab hidup sudah jauh dari menuju kepada Tuhan, ramai kalangan kami tewas dengan kenikmatan sementara dan kepura-puraan dunia. Islam, ’sejahtera’ itu sudah tidak lagi menjadi keutamaan.
Bersambung
Sunday, October 26, 2008
Doesn't Necessarily
Company of Heroes
Sepi
Kadang kala terasa ingin menyepi. Berdiam diri. Mengelukan lidah. Mengunci bibir. Membatu. Bersembunyi jauh di ceruk. Minda dikosongkan dari dunia. Berkomunikasi hanya dengan Tuhan. Perasaan kecelaruan hati dilempar jauh. Tenang tanpa ada kegusaran. Biarkan saat itu menjadi kerahsiaan dari pengetahuaan siapa pun kecuali Tuhan. Keasyikan berdiam diri dan menyepi...
Saturday, September 27, 2008
Thursday, September 25, 2008
Keprihatinan seorang kakak!!!
Ku buka tudung saji merah di atas meja makan, hajat di hati hendak makan malam. Hmm… sedapnya nasi goreng. Ayam goreng pun ada, banyak pula tu. Boleh makan lebih. Sedang asyik menjamah ayam goreng, gegendang telinga menangkap dialog yang keluar dari pembesar suara televisyen.
“Mak, mana adik-adik? Mai makan sekali. Ni ada ayam goreng segera”
Adik-adik datang lalu dengan perasaan gembira mereka makan ayam yang dibawa pulang oleh kakak. Seronok kakak melihat adik-adik mereka makan. Namun jauh disudut hati, ada satu perasaan yang bercampur baur. Terharu, sedih gembira.
Sekali lagi ditanya, “kenapa awak tak makan ayam tu?”.
Hari itu ada jamuan di sekolah. Menunya ialah ayam goreng yang lazat yang sering diidam-idamkan.
“Awat hang tak makan sekali?” tersentak lamunan. Dicubanya makan. Namun tidak dapat digigitnya ayam itu. Tidak dapat ditelan. Kerongkongnya tidak boleh menerima walau secubit daging ayam itu. Sungguh, amat dalam, perasaan keharuannya. Berair mata, perlahan-lahan menitis air yang keluar dari mata yang tidak tegar melihat keghairahan adik-adiknya merasa makanan mewah yang tidak mungkin mampu diperolehi dengan senang. Perlahan-lahan air mata mengalir di pipi menuju ke hujung dagu lalu menitis jatuh ke atas lantai rumah yang usang. Ayam yang sedap itu tidak dimakan di sekolah kerana mahu dikongsi bersama keluarga. Bersama adik-adiknya yang tidak akan dapat merasa nikmat ayam itu sekiranya dia menjamahnya berseorangan.
Terhenti. Tergamam. Mulutku kaku sambil tangan memegang ayam goreng...
Inilah peringatan buat diriku yang terlalu sedikit bersyukur.
Puasa ku di bumi Malaysia dan “Puasa” dia di bumi bencana
Buka petang ni nak makan apa? Tak tahu nak makan apa? Terlalu banyak pilihan? Semua sedap?
Hanya ada air. untungnya dapat melegakan tekak walau hanya seteguk air...
Makan sampai kenyang? Senak perut sampai makanan nak terkeluar semula?
Entah berapa lama perut tak terisi...
Makanan berbuka banyak berlebih? Takde orang nak makan? Buang?
Jangan buang, mintak sikit saya lapar! Tolonglah!
Tak sabar tunggu masa berbuka? Lapar ye? Nafsu dah tak tertahan?
Sudah lama mereka bersabar. Kesabaran mereka lebih hebat...
Dah dekat nak raya. Beli baju baru untuk raya untuk tahun ni? Berapa helai? 1, 2 atau 3? Warna apa? Corak apa? Tahun lepas berapa baju yang baru?
Baju raya? Mereka, tiada pilihan... hanya ada kulit.
Tolonglah beritahu pada apa yang akan kalian lakukan? Apakah kalian tidak mahu mendoakan sekurang-kurangnya?
Kita hari ini, di bumi ini, cukup senang dan gembira. Tidakkah kita mahu berkongsinya dengan mereka bagi menghilangkan kesedihan dan keperitan yang tertanggung di bumi bencana?
Bersyukurlah!!! Hentikan segala perbuatan sia-sia, mula mengisi hidup dengan berjasa!!! Bentuk diri berakhlak murni hari ini, segala ilmu dipelajari, agar kelak kita mampu untuk berbakti!!!
SUARAKAN UNTUK MEREKA!