Suatu hari semasa berada di rumah, bersiaranlah satu rancangan makan-makan. Macam-macam makanan ditunjukkan. Semuanya dikatakan sedap oleh pengacara. Makan itu makan ini. Tiba-tiba akal berfikir, asalnya makan dan makanan itu adalah keperluan. Mahupun bagi manusia ataupun haiwan. Namun, kini kelihatannya makan dan makanan bukan lagi keperluan bagi manusia. Hanya kekal menjadi keperluan bagi haiwan. Makan dan makanan seakan sudah menjadi perkara kehendak. Dari daruriyat menjadi hajiyat. Zaman ini orang bertanya, nak makan apa? Apa yang sedap? Nak makan di mana? Nak makan bila?
Waktu makan juga sudah tiada hadnya. Setiap masa boleh makan asalkan perut rasa nak makan. Atau sekadar nak makan saja-saja. Pernah sekali saya dengar dari radio IKIM, tetamu jemputan slot radio itu berkata, “antara faktor ramai manusia sakit ialah makanan yang boleh didapati 24 jam”. Saya tambah pula, termasuklah jenis makanan tertentu yang boleh didapati 24 jam. Ha! Ha! Ha!
Dahulu dan Sekarang
Dulu, lepas makan malam dah takde orang masak atau makan jam 2 3 pagi. Tapi sekarang lebih dari 2 3 pagi pun ada. Dulu nasi lemak atau roti canai jumpa pagi-pagi je, jam 8 pagi ke 10 pagi. Tapi zaman ni, pagi-pagi buta pun ada, jam 2-3 pagi. Makanan yang berkalori tinggi yang orang makan sebelum pergi kerja ni, sekarang orang makan sebelum nak tidur. Mana tak kadar obesiti tinggi dan penyakit pun banyak.
Tahap kesihatan manusia era moden ni rendah. Akhirnya, makanan itu yang disalahkan. Walhal manusia yang ada akal ni yang silap. Kenapa makan roti canai malam-malam atau pagi-pagi buta? Esok harinya makan lagi. Senamannya tak ada. Kalori dalam badan tak terbako! Ada juga yang minum air sejuk (minuman berais) pagi-pagi buta 2 3 pagi! Aduh! Rosak badan! Kasihan paru-paru! Sudahlah ais itu memang tak elok untuk diambil, ambil pula waktu yang sangat-sangat tidak kena!
Zaman nenek moyang kita dulu, mereka makan juga nasi lemak, pisang goreng, nasi goreng dan macam-macam lagi yang sekarang orang kategorikan sebagai ‘tak sihat’. Tapi kenapa mereka jarang-jarang sakit? Sebab mereka makan kemudian mereka berkerja kuat yang tinggi metabolismenya. Sekarang kita kita makan makanan yang sama kemudian kerja dalam tempat yang berhawa dingin. Banyak mana sangatlah metabolism badan kita? Sebab itu banyak penyakit yang berlumba-lumba datang ke dalam badan kita.
Atuk nenek kita juga makan makanan yang orang sekarang tak nak makan dah. Mereka juga kaya dengan petua-petua yang orang sekarang tak ikut dah. Perubahan zaman mendatangkan makanan yang sudah diubah genetiknya juga gaya hidup yang berubah, ‘diubah’ dan ‘paksa ubah’.
Pemilihan makanan
Orang-orang di Eskimo makan daging binatang yang berlemak sebab tempat mereka sejuk. Jadi mereka perlukan ‘penebat’ dalam badan. Keperluan mereka berbeza dengan kita di Malaysia. Pekerja binaan pemilihan makanan mereka tak sama dengan pekerja pejabat. Kita ni harus bijak pilih makanan yang sesuai dengan keperluan badan mengikut ‘gaya hidup keperluan’ dan bukan ‘gaya hidup kehendak dan nafsu’. Kita sendiri kena ‘faham’ biologi badan kita.
Metabolisma badan rendah, tapi nak melantak makanan yang berkalori tinggi, kan tak kena tu. Jadi kalau nak beli produk kesihatan, pilih yang sesuai dengan badan sendiri. Bukan semua orang sama. Sesetengah yang mempromosi produk-produk kesihatan, beri nasihat sama pada semua orang. Jika doktor atau pakar pemakanan, pasti beri nasihat yang berbeza bagi orang yang berbeza berdasarkan keperluan badan dan sejarah kesihatan seseorang itu.
Tatacara Makan
Oleh kerana nak menyelesaikan masalah-masalah kesihatan, antaranya datang pula makanan-makanan kesihatan itu dan ini. Menjadi fenomena sekarang ini. Secara jujurnya saya merasakan pada fenomena ini ada sesuatu yang tidak kena. Ada perkara yang tertinggal. Antara sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang utama adalah tatacara makan. Tapi hal tatacara makan jarang sekali dibicarakan. Barangkali kerana tatacara makan itu adalah perkara yang patut ada dalam diri individu itu sendiri. Dengan kata lain, tatacara makan itu mesti menjadi akhlak diri.
Apa dia tatacara makan berdasarkan Islam? Carilah dalam kitab-kitab yang telah ditulis oleh ulama-ulama (Ilmuwan dan pakar-pakar termasuklah pakar yang ada zaman ini). Cadangan: cari, baca dan faham dahulu tatacara makan ajaran Rasulullah s.a.w. (kerana prinsipnya asas ada pada apa yang diajar Nabi). Kemudian baru cari yang lain-lain.
Saya bukannya pakar pemakanan. Jadi tak layak nak tulis macam-macam walaupun sebenarnya banyak nak kongsi tapi risau terkena balik pada diri sendiri (Ya, Allah aku berlindung pada-Mu dari hal itu). Kesimpulannya:
1. Sebelum nak makan, betulkan niat dahulu. Makan kerana keperluan dan perintah Allah serta rasul. Bila niat kita betul, perkara yang kita buat berkaitan dengan makan pun akan lurus menurut tuntutan Islam (Barulah ‘makan’ itu jadi suatu ‘pengabdian’)
2. Ingat dan buat tatacara makan yang diajarkan Rasulullah s.a.w.
3. Walaupun keperluan dan pemilihan makanan berbeza antara individu, tapi tetap ada garis panduan makanan yang baik dan sihat. Jangan pula tiba-tiba kata “badan aku memang perlukan minuman sejuk”. Nak tipu la tu… (Nabi melarang makan makanan atau minuman yang sejuk)
4. Selain faham biologi badan kita, kita juga kena tahu biologi, sifat-sifat dan nutrien makanan. Baharulah kita boleh pilih makanan itu sebaik-baiknya.
5. Nabi Muhammad s.a.w beri peringatan pada kita bahawa “PERUT PUNCA PENYAKIT”.
Banyak lagi kesimpulan, pelajaran dan perkara-perkara yang berkaitan, tapi saya fikir elok pembaca cari dan fikir sendiri. Tulisan ini sekadar untuk mencetuskan. Kepada pakar-pakar berkenaan perkara ini, mohon betulkan saya jika saya silap. Sekian saja, terima kasih.
(Apabila orang selalu bertanya tentang sedap atau tidak sesuatu makanan itu di sesuatu tempat, hati pasti tertanya, sebab aku makan ni? Menangis dalam hati…)
Maka bersyukurlah dengan nikmat ingin nak makan,...
ReplyDeleteJika nanti pada waktu itu kamu tidak punya keinginan untuk makan lagi.. bagaimana?
Bersyukurlah.. berpada lah..
Ingatan untuk diri sendiri.
:: oRg JaWa