Sunday, October 31, 2010

M. A. R. A. H


Imam Al-Ghazali kata marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga berbara kemudian diselaputi abunya. Dalam kitab bimbingan Mukminin dituliskan, diriwayatkan, ada seorang telah mendatangi Rasulullah s.a.w sambil memohon supaya baginda mewasiatkan sesuatu yang pendek dan sedikit sahaja. Maka baginda bersabda kepadanya: Jangan marah! Diulangi permintaannya lagi, maka baginda bersabda sekali lagi: Jangan marah!

Iman Ghazali membahagikan marah (anger faculty) kepada tiga kategori:

1. Ketiadaan sifat marah / (BM) Pengecut / (BI) Cowardice / (BA) Jubn

2. Kelampauan sifat marah / (BM) Semberono / (BI) Recklessness / (BA) Tahawwur

3. Pertengahan antara marah dan tidak marah / (BM) Berani / (BI) Courage / (BA) Shaja’ah

Ulasan terus kepada yang ketiga, iaitu berani. Prof Hamka kata dalam buku Peribadi, peribadi yang berani, iaitu yang sanggup menghadapi segala kesulitan atau bahaya, dengan tidak kehilangan akal. Berani yang sebenar ialah pada berani menempuh hidupnya. Kesusahan tidak dapat dielakkan, hanya dapat ditempuh dengan hati yang tabah. Pada saat bertemu kesulitan, ketika itulah dapat dilihat mana yang berani mana yang penakut. Selama tampang keberanian masih ada dalam jiwa suatu bangsa, maka betapa juapun besarnya kesulitan yang ditempuhnya, percayalah! Keberanian itu adalah keteguhan, ketabahan.

Dalam bahasa arab, berani itu disebut sebagai Shaja’ah. Asal dari perkataan syaja’ – Syim. Jim. ‘ain. Jika ditambah huruf ta, menjadi - ta. syim. Jim. a’in (tasyaja’) - sokong menyokong. Jika dieja, syim. Alif. Jim. Ain. (syajaa’a) – saling memberi semangat. Syim. Jim. Alif. Ain. – yang berani. Lelaki yang berani dieja – syim. Jim. Alif. Ain. (syija’ / syaji’). Maka pengertian berani dalam bahasa arab turut berkait dengan kekuatan sokongan dan semangat. Sokongan dan semangat pada diri. Sokongan dan juga semangat pada orang lain.

Bahasa inggeris menggunakan perkataan courage yang dijelaskan sebagai “the ability to do something that frightens one; bravery”, kemampuan melakukan sesuatu yang ditakuti seseorang atau “strength in the face of pain or grief”, kekuatan dalam kesakitan atau kesedihan. Asal perkataan courage dari “Middle English (denoting the heart, as the seat of feelings): from Old French corage, from Latin cor 'heart'”, melambangkan hati. Oleh itu, berani melambangkan kekuatan hati menghadapi ketakutannya, kegelisahan, kegundahan. Keupayaan hati berdepan masa depan yang tidak diketahui.

Orang yang kelampauan marah, hatinya tak kuat. Semberono, melulu, tak fikir. Egonya pada saat marah itu sangat tinggi. Pada saat itu merasa dia yang paling betul. Yang lain semua tak kena. Menghilangkan sokongan terhadap diri dan menghapuskan semangat orang lain. Mukanya jadi buruk, menakutkan. Cakapnya jadi tak betul, bahasanya kasar, hikmahnya hilang.

Prof. Hamka kata lagi, tanda berani ialah sikap tenang walaupun bagaimana hebatnya yang dihadapi. Tidak gugup. Beliau juga menulis, di dalam memilih suatu pendirian, pun kita tidak perlu takut dibenci orang (maknanya berani dibenci). Sebab hal itu (pendirian) adalah berdasarkan pandangan dan penyelidikan kita. Kita pun bias mengubahnya, kalau datang alas an yang kuat membantah pendirian kita. Kalau kita telah berani menentukan pendirian, mengapa kita tidak akan berani mengubah pendirian itu? Prof. Hamka membuat satu pertanyaan, beranikah engkau mengenepikan kepentingan sendiri, hal sendiri untuk mengabdi pada suatu kebenaran?

Tips meredakan hati yang sedang marah

1. Ubah Posisi diri. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)

2. Berwuduk. Api terpadam dengan air. Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .

3. Minum air. Sejukkan badan dan hati.

4. Mendiamkan diri ketika marah kerana diam itu memberi ruang dan masa pada diri untuk tenang dan berfikir.

5. Berlindung kepada Allah daripada syaitan. Baca doa “Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”. Syaitan dicipta dari api, padamkan nyalaan hasutan dengan zikrullah.

6. Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

7. Berfikiran positif.

8. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

9. Bawa bertenang seperti menarik nafas. Ambil masa, kerana masa itu adalah untuk berfikir. Phunsukh Wangdu kata sebut, “All is well”.

10. Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

Dalam web http://www.mayoclinic.com pun ada 10 cara. Antaranya bersenam dan baca buku!
Ada satu lagi cara, yang menggabungkan perubahan posisi, air, diam, ketenangan, doa perlindungan, zikrullah… itulah SOLAT!

Jadi tak usah marah. Tenang saja ya wahai Ridhwan!

(Dalam keutamaan diri sendiri mengawal marah, ingin sekali pada saat ‘losing temper’ ada bantuan yang berani menyuruh bersabar, suruh duduk atau baring, nasihat supaya berwuduk atau solat atau suruh diam. Ada yang berani berdepan si ‘recklessman’, kerana tidak mahu kebenaran diketepikan atas sebab ketakutan pada si “recklessman”. Kebenaran itu bukan hanya pada fakta atau kesahihan, tapi kebaikan atau kesejahteraan itu juga adalah kebenaran)

3 comments:

  1. tenang ye cik khairul ridhwan
    all iz well

    ReplyDelete
  2. =) terbaik. even membaca ini sahaja dah meredakan marah. nak minta kongsikan? boleh tak post kan di facebook?

    ReplyDelete