Wednesday, July 22, 2009

Kembara Menuju Ramadhan


Suatu hari terjadi perbualan dengan seorang sahabat yang terlibat dengan pelbagai aktiviti pendidikan.

“Assalamu alaikum” saya mengucap salam sebagai pembuka bicara.

“Walaikumusalam...” balasnya.

“Bagaimana aktiviti?” saya bertanya.

“Emm..soalan cepu mas. Sekarang ni tengah dalam urusan, saya serahkan pada jawatankuasa. Alhamdulillah… apa yang saya tahu, buat masa ini semua ahli jawatankuasa sudah mula menjalankan kerja masing-masing”.

“Baik. Bagus” ringkas saya membalas.

“Jangan cakap macam tu..” dia seakan risau.

“Rasa takut pula” dia menyambung.

”Tidak tahu la betul ke tidak apa yang saya buat ni… rasa bersalah pun ada... terutamanya pada ketua.” sahabat ini meluah.

“kalau hati rasa tenang betul la tu. Tak apa dia baik saja tu.” Ketuanya saya kenal. Sahabat baik saya.

“Saya ada cadangan untuk awak. Boleh saya utarakan?”

“Boleh-boleh, sangat-sangat di alukan” dia memberi keizinan. Lampu hijau.

"Saya cadang kita adakan Kembara Menuju Ramadhan” saya mengemukakan tajuk.

“Boleh terangkan secara terperinci macam mana aktivitinya? Nampak macam menarik”. Sahabat ini mula tertarik.

“Tak berat. Mudah saja. Perlu perkasa melalui usaha mendasar dan mendekati. Tak perlu program besar”.

”Tak faham...”

”Sekiranya dah nak raya kita buat macam-macam. Baju raya, ketupat, beli belah. Kali ini Ramadhan datang. Bajunya kuliah tentang Ramadhan. Ketupatnya aktiviti qiyamullail. Kalau raya kempen beli barang, tapi Ramadhan kempennya mengejar, mencari Lail Al-Qadar. Memang tak nampak sangat. Pelaksanaan lebih kepada pemerkasaan ahli-ahli. Tarbiyah ahli-ahli. Jadikan Rejab dan Syaaban medan persediaan untuk Ramadhan. Hmm boleh faham?” saya bertanya mohon kepastian.

”Faham..tapi pelaksanaannya?” dia masih kurang jelas. Barangkali huraian saya terlalu umum atau banyak berfalsafah.

”Tak perlu program baru. Mantapkan yang sedia ada. Majlis ada Qiam kan?” Qiam adalah program Qiyammullail yang diatur dengan pengisiannya.

”Qiam ni mantapkan dari segi pengisian dan penyertaan” saya menyambung. ”Risalah yang diterbitkan diselitkan artikel-artikel persediaan untuk Ramadhan”.

”Oh..” dia seakan sudah mula memahami.

”Usrah pun selitkan juga. Biar ahli-ahli nampak dan tahu. Kita ada bulan besar yang dinanti. Yang perlu persediaan rapi. Sebab konsepnya kempen”

“Oh... sudah faham sedikit”

”Kempen pelaksanaannya melibatkan peranan oleh setiap individu sendiri. Jadi mesti diwar-warkan. Setiap dari aktiviti yang dibuat kita sematkan. Kita lahirkan perasaan ghairah ahli-ahli. Tidak sabar-sabar menanti Ramadhan. Tidak sabar mengejar Lail Al-Qadar. Bukan tidak sabar nak cuti, nak raya. Cumanya dari sudut kita ialah merangka proses pemantauan”.

”InsyaAllah... boleh dibawa dalam perbincangan” dia bersetuju.
Perbualan diakhiri dengan

”Doakan semua berjalan lancar dan dipermudahkan urusan”
Pada saat ini apakah persediaan kita menyambut Ramadhan? Media mungkin saja mendoktrinkan kita dengan kemeriahan jualan murah sempena raya. Mengalpakan kita dengan program-program dan tayangan-tayangan cerita raya. Saat ini juga barangkali ada yang tidak sedar akan tibanya Ramadhan sehingga tersentak tiba-tiba esoknya mula berpuasa. Sekiranya sempat bertemu, apakah Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas atau lebih buruk?
Ruh dan semangat keazaman menggapai malam seribu bulan, menagih pengampunan Tuhan dari dosa perlu disemarakkan! Biarkannya menyala menjulang tinggi menuju pengakhiran ”Diri yang Fitrah”. Saat yang tidak harus dibiarkan berlalu sia-sia!

1 comment:

  1. Bismillah..

    Masa kian menginjak. Dari Rejab kini sudah bertemu Syaaban. Semoga persiapan menyambut Ramadhan semakin bertambah. Ramadhan bulan tarbiyyah. Sempatkah bertemu dengan Ramadhan kali ini?

    The Prophet (peace and blessings be upon him) used to say these words when the month of Sha`ban draws to a close: “O Muslims! A noble and generous month has come to you. A month in which a night is better than one thousand months, and this month is the month of charity, patience, and mercy. In this month the gates of Paradise become wide open and the gates of Hell are shut, and the devils are chained…” (Reported by An-Nasa’i)

    Kita berkehendakkan bulan Ramadhan kali ini, mudah-mudahan tidak berlalu begitu sahaja, bahkan semoga ia lebih baik dari yang sebelum-sebelumnya. Sepanjang 23 tahun, entah diterima entah tidak ibadah sepanjang Ramadhan yang telah dilalui. Bila dikatakan Ramadhan bulan tarbiyyah, sepatutnya kita sebagai seorang Muslim, tahun demi tahun menjadi lebih baik. Alangkah indahnya bulan Ramadhan bulan tarbiyyah itu! Namun, kita hanya melakukan kebaikan dan ibadah itu, tanpa meneruskannya dibulan-bulan lain. Terasa rugi apabila memikirkan amalan-amalan sepanjang Ramadhan yang tidak diteruskan di bulan-bulan lain. Jika ia diteruskan oleh semua kaum Muslimin, alangkah indahnya Islam zaman ini!

    Benar-benarkah kita menyambut kedatangan Ramadhan? Teringat afkar sebuah buku yang saya baca dulu, dimana manusia bila amat mengkehendakkan dirinya untuk ke sana, dia akan merasakan hatinya sudah disana walau jasadnya belum ke tempat tersebut. Misalannya, seorang Muslim yang bersungguh-sungguh mahu ke Tanah Suci, walau dirinya masih di tanah air, hatinya sudah disana, kerinduan dan kesungguhan semahu-mahunya dia menyebabkan dia merasa seakan dirinya sudah disana. Dijaga amalnya, perkataannya, ibadah ditingkatkan..

    Begitu juga kita yang bakal melangkah ke satu bulan mulia. Bulan Ramadhan. Bersungguhkah kita menyambutnya? Rasakah kita seakan kita sudah berada dibulan Ramadhan, tingkatkah amalan kita? Terjagakah perbuatan kita? Berkurangkah maksiat kita?

    Persediaan awal harus kita lakukan, agar Ramadhan tidak pergi begitu sahaja. Dan muhasabah kembali Ramadhan yang lalu, adakah kelemahan yang harus diperbaiki, apa yang harus kita tingkatkan, apa yang harus kita tinggalkan. Agar Ramadhan ini benar-benar menjadi bulan tarbiyyah, menjadikan kita lebih baik di setiap bulan yang berikutnya, bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja. InsyaAllah.

    Agar kita tidak tua dengan Ramadhan yang berlalu begitu sahaja, agar kita tidak menyesal dengan Ramadhan yang telah kita tinggalkan. Agar kita sentiasa menjadi lebih baik dari tahun ke tahun. Bulan ini, bulan tarbiyyah setelah muhasabah segala ibadah!

    Oh Allah, bless us in Rejab, bless us in Syaaban, bless us in Ramadhan, Ameen~

    Mari kita berlatih sekarang!

    ReplyDelete