Tuesday, April 9, 2013

PKPIM GESA USAHA BERSEPADU TANGANI MASALAH SAMSENG DALAM KALANGAN PELAJAR


SIARAN MEDIA
10 APRIL 2013
PKPIM GESA USAHA BERSEPADU TANGANI MASALAH SAMSENG DALAM KALANGAN PELAJAR
Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPIM) memandang serius video-video gangterisme pelajar-pelajar sekolah menengah (SM) yang tersebar melalui laman sosial ‘facebook’.  Saban tahun, gejala buli, pukul, ugut dan bunuh dalam kalangan pelajar sememangnya amat mendukacitakan dan membimbangkan.
Bagi PKPIM yang banyak terlibat dengan program-program pembangunan pelajar terutamanya di peringkat sekolah menengah, video berkaitan masalah buli dalam kalangan pelajar itu tidaklah mengejutkan. Hal ini disebabkan PKPIM mengakui masalah keterlibatan para remaja sekolah dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat sudah lama bahkan semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.
PKPIM menegaskan usaha menangani gejala samseng di sekolah-sekolah memerlukan pendekatan yang lebih bersifat proaktif daripada semua pihak. Usaha mendidik dan mendekati golongan remaja ini perlu dilakukan dengan lebih serius dan terancang. Ibu bapa, para pendidik, pertubuhan-pertubahan belia dan NGO serta seluruh agensi kerajaan perlu bertindak secara bersepadu dalam merangka pelan tindakan bagi menangani isu berkaitan.
PKPIM juga menggesa kerajaan Malaysia berperanan dengan lebih tegas dan melakukan reformasi dalam aspek hiburan yang disediakan. Pusat hiburan seperti pusat snoker, disko, karaoke, dan ‘video game’ perlu dikawal dalam aspek kelulusan permis. Lantaran, dapatan yang diperoleh oleh PKPIM, pusat-pusat hiburan ini mudah didapati dan membenarkan pelajar-pelajar di bawah umur untuk menggunakannya.
Selain itu, PKPIM juga menggesa agar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk berusaha membina persekitaran sekolah yang aman serta mempertingkatkan kualiti guru-guru. Hal ini disebabkan, faktor persekitaran dan para pendidik sangat berkait rapat dalam pembinaan sahsiah para pelajar. PKPIM yakin, kemajuan dan ketamadunan sesuatu negara tidak hanya diukur dengan faktor kebendaan dan prasarana yang hebat tetapi banyak bergantung kepada pembangunan keinsanan dan akal budi masyarakatnya.
Justeru, PKPIM menyeru agar semua pihak berganding bahu bersama-sama dalam usaha menangani masalah gangterisme yang berlaku dalam kalangan pelajar. PKPIM berharap agar pihak kerajaan mengambil tindakan yang lebih serius dalam usahanya untuk menangani masalah ini. Sesungguhnya, PKPIM bersedia dalam membendung dan menengani gejala negatif yang berterusan melanda generasi muda kini. Tambahan, hala tuju dan masa depan negara adalah terletak di atas bahu generasi muda hari ini.
Khairul Anuar bin Abdul Manap
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
www.pkpim.org.my

No comments:

Post a Comment