Tuesday, April 9, 2013

FENOMENA KELUCAHAN PERLU DIBENDUNG SEGERA



Industri seni tempatan baru-baru ini dihangatkan dengan adegan intim yang dipotong dari dua buah filem yang ditayangkan di pawagam. Budaya bangsa Malaysia tidak boleh dinodai dengan budaya kelucahan ini. Apatah lagi agama yang menolak unsur-unsur seks dan kelucahan yang bisa menghancurkan keimanan dan pegangan seseorang penganut. Adegan antara intim meskipun cuma melakonkankan hubungan antara suami adalah tidak perlu untuk diterjemahkan ke dalam bentuk wayangan dan gambar. Adab, akhlak dan kesopanan tidak menghalalkan adegan intim dipaparkan biarpun atas nama hubungan suami isteri.

Walaupun adegan intim dalam filem dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem, namun yang menjadi kerisauan utama adalah pemikiran kelucahan yang menjalar dalam industri seni negara ini. Jika kita tidak membendung dan bertegas menentang pemikiran seperti ini, pasti kelak nilai agama, budaya dan adab akan terhakis. Tindakan tegas dan boikot perlu dikenakan kepada penerbit, pengarah mahupun pelakon yang membenarkan budaya kelucahan dan seks ini diangkat. Kita tidak mahu muda mudi dan masyarakat kelak hilang rasa malu apabila unsur-unsur seks dan kelucahan ini dihidangkan di hadapan mereka. Seandainya perkara ini dibiarkan masyarakat akan terbiasa dan terbudaya dengan unsur-unsur seks dan kelucahan tanpa ada perasaan malu. Kehilangan rasa malu dan maruah diri akan mengakibatkan keruntuhan sesuatu bangsa.
Masyarakat Malaysia adalah satu bangsa yang punya jati diri dan maruah yang tinggi. Kita harus pertahankan bersungguh-sungguh bangsa ini dari dinodai pemikiran dan budaya buruk yang dihidangkan saban hari. Maka, usaha mengisi makna seni yang sebenar dari sudut pandang agama dan bangsa perlu digiatkan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian, Badan-badan Bukan Kerajaan, Jabatan-jabatan Agama dan Persatuan-persatuan seniman.
Justeru, para penggiat seni tempatan digesa agar tidak lagi memasukkan unsur-unsur seks dan kelucahan dalam seni karya mereka. Unsur-unsur ini tidak akan mengangkat karya seni  lebih tinggi malah menjatuhkan kualiti karya. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia tidak memerlukan kepada perkara-perkara seperti ini dalam seni dan hiburan tanah air.
Mohd Khairul Ridhwan Adhha Bin Akhiar
Timbalan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
www.pkpim.org.my

No comments:

Post a Comment