Friday, June 6, 2008

Kriteria Utama


“Benarkah perempuan yang sakit perlu dielakkan dari dinikahi? Maknanya saya ni tak layaklah bernikah kerana saya sering sakit?”

Itu adalah soalan dalam satu pesanan ringkas yang saya terima. Tersenyum saya membacanya. Nampaknya sudah timbul kekeliruan. Mari kita teliti...
Menurut Imam al-Ghazali, “Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”
Wanita Ananah:banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat mengikat kepalanya. Maka mengahwini wanita yang memperalatkan sakit atau mengahwini wanita yang membuat-buat sakit, tak adalah kebajikan padanya.
Wanita Mananah:suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.
Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.
Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.
Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.
Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising. (maknanya berleter)
(rujukan: kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam Al-Ghazali, m/s 1155-1158, Pustaka Nasional Pte Ltd, 1988)
Pertama: apa yang dinyatakan Imam al-Ghazali boleh dikatakan diambil dari kebiasaan kerana dinyatakan dalam kitab itu, “berkata setengah orang arab”. Ini menunjukkan bahawa ciri-ciri itu adalah yang biasa dielakkan apabila memilih pasangan wanita. Walaupun demikian, tidak pula hal itu bercanggah dengan apa yang digariskan dalam Islam. Allah menyatakan dalam Quran,
“dan barang siapa yang tidak berkuasa (tidak mempunyai harta) di antara kamu untuk mengahwini perempuan merdeka yang beriman, hendaklah dia mengahwini hamba sahaya (iaitu) prempuan-perempuan muda yang beriman….” Surah An-Nisa: 25”
“dan hendaklah kamu kahwinkan orang-orang bujang di antaramu dan orang-orang yang saleh di antara hamba sahayamu lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan….” Surah An-Nur: 32
dan Rasulullah juga bersabda,
“wanita dikahwini kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Maka haruslah engkau dengan yang beragama. Jika tidak, niscaya melekatlah kedua tanganmu ketanah (miskin)” H.R Bukhari dan Muslim.
Pilih yang beragama, bermakna wanita yang bertaqwa, yang berakhlak mahmudah.
Kedua: kita lihat pada ciri Ananah yang telah menjadi kekeliruan. Ananah yang dinyatakan itu bukanlah ciri “sakit” iaitu berpenyakit. Makna yang sebenarnya mengikut huraian imam Al-Ghazali ialah banyak MENGELUH, MENGADU, BERPURA-PURA SAKIT, ATAU MEMPERALATKAN SAKIT. Jadi bukanlah sakit atau berpenyakit itu yang menjadi hal utama. Meskipun kemandulan (dikira sebagai penyakit) turut tersenarai sebagai kriteria dalam pemilihan bakal isteri seperti yang disenaraikan dalam Ihya’ Ulumiddin (begitu juga lebih kurang sebagaimana yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Haythami in Sharh al-Minhaj):
1. agama
2. kelakuan
3. kecantikan
4. ringan mas kahwin
5. tidak mandul
6. perawan
7. keturunan yang baik
8. bukan keluarga terdekat
namun perkara itu tetap tidak diletak sebagai yang utama kerana sudah semestinya yang pertama adalah yang beragama, yang beriman. Itupun yang dinyatakan adalah penyakit mandul. Tidak pula disebut penyakit-penyakit yang lain.
Ketiga: seandainya ditakdirkan berpenyakit mandul, jangan bersedih. Bersabar dan ikhlas. Berdoa dan memohon pada Tuhan. Isteri Nabi zakaria (Surah Maryam: 2-15) dan isteri Nabi Ibrahim (Surah adz-Dzariyaat: 24-37) juga menghadapi ujian ini. Namun mereka tidak berputus asa kepada Allah. Sesungguhnya kuasa Allah mengatasi segalanya. Jadi, bukanlah hal ini menjadi perkara besar yang menghalang dari bernikah.
Penekanan yang pasti dalam al-Quran dan hadis ialah wanita yang bertaqwa. Jadi janganlah bersedih dan menganggap diri tidak layak berkahwin kerana disebabkan berpenyakit. Yakinlah Allah telah aturkan hal yang terbaik buat hambaNya yang bertaqwa. Sungguh Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Yang penting keimanan di hati tulus, ikhlas kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim
*Jika ada sebarang kesalahan atau kesilapan mohon ditegur. Terima kasih. Inilah peringatan buat diriku yang sering lupa.

1 comment:

  1. assalamu'alaikum..
    satu posting yg byk memberi input..
    tak kira utk akhowat ataupun ikhwah.. ma'at taufiiq wan najaah..

    ReplyDelete