Monday, May 24, 2010
Intelek, Intelektual dan Ilmiah
Intelek bermaksud kemampuan (daya) berfikir dan memahami (menganalisis dan sebagainya), mempunyai dan menggunakan akal budi.
Intelektual adalah golongan intelek. Golongan yang mempunyai daya fikir dan memahami.
Ilmiah bermaksud bersifat ilmu pengetahuan.
(sila rujuk Kamus Dewan)
Al-quran menggunakan istilah ‘Ulul Albab bagi merujuk pada golongan ini. Orang Melayu menggunakan istilah cendiakawan.
Suatu cerita ringkas untuk membawa kita kepada kerangka kotak intelek yang lebih luas.
“Suatu hari, seorang lelaki berjalan-jalan. Sinar matahari yang memancar mula terasa bahangnya. Lelaki itu melihat sekeliling lalu terlihat sepohon pokok yang rendang. Lalu dia berjalan ke arah pohon itu untuk berteduh. Pohon itu sarat dengan buah yang berwarna merah. Bergayutan di hujung-hujung ranting. Sedang lelaki itu berehat, lalu jatuh sebiji buah ke atas ribanya. Diambilnya buah itu lalu ditenung. Dia cuba memahami sesuatu.”
Rakan-rakan, hasil dari daya fikirnya itu, dia berjaya membuat seluruh dunia memahami tentang sesuatu hal, GRAVITI. Lelaki itu adalah ISAAC NEWTON. Bagi kita barangkali melihat sebiji buah jatuh itu tiada apa-apa. Tapi bagi orang yang berfikir dan mahu memahami, dia nampak sesuatu.
Jadi, adakah intelek, intelektual dan ilmiah itu terletak pada nama-nama seminar, konferen, diskusi atau aktiviti? Tidak. Intelek, intelektual dan ilmiah itu terletak pada bagaimana akal kita berfikir. Bagaimana kita menggunakan akal kita. Bagaimana kita mampu mengarahkannya untuk memahami. Memahami apa? Memahami petanda dan bicara Tuhan pada kita. Oleh sebab itu, seringkali ayat-ayat al-Quran, menceritakan tentang alam ini. Sejarah umat terdahulu, tumbuh-tumbuhan, haiwan langit dan bumi. bagi menunjukkan kekuasaan Tuhan dan diakhiri dengan
“sesungguhnya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir”, “menjadi pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal” atau ayat-ayat yang berbentuk soalan supaya kita berfikir, seperti
“Tiadakah mereka melihat burung-burung di atas mereka, yang mengembangkan sayapnya dan mengatupkannya? Tiadalah yang memegangnya melainkan Ar-Rahman. Sungguh dia maha melihat tiap-tiap sesuatu” (al-Mulk: 19)
Maka untuk kita berfikir mengapa bayang-bayang warna hitam, bagaimana kita boleh melihat, boleh mendengar, bagaimana dari telur menjadi suatu makhluk bernyawa, bukanlah sesuatu yang remeh. Bukanlah sesuatu yang tidak ilmiah atau tidak intelektual. Bukan pula soalan keanak-anakan.
(kalau ada yang menganggap begitu, ketahuilah kerana ada orang yang berfikir hal-hal itu atau soalan-soalan seperti itulah, maka anda mendapat pengetahuan tentang hal itu. Jadi berterima kasihlah kepada mereka yang berpenat lelah berfikir dan memahami tanda-tanda Tuhan sehingga kita mendapat manfaatnya).
Tuhan menjadikan ALAM ini dari ILMUNya supaya menjadi ALAMAT untuk kita akhirnya kembali pada DIA!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment