Tuesday, May 25, 2010

Soalan seterusnya untuk pembaca


Terima kasih kepada rakan-rakan yang menjawab soalan tentang intelek, intelektual dan ilmiah. Soalan seterusnya...

Apa itu ILMU?
Apa itu ALAM?
Apa itu ALAMAT?

Apa kaitan antara Ilmu, Alam dan Alamat?

Monday, May 24, 2010

Intelek, Intelektual dan Ilmiah


Intelek bermaksud kemampuan (daya) berfikir dan memahami (menganalisis dan sebagainya), mempunyai dan menggunakan akal budi.
Intelektual adalah golongan intelek. Golongan yang mempunyai daya fikir dan memahami.
Ilmiah bermaksud bersifat ilmu pengetahuan.

(sila rujuk Kamus Dewan)

Al-quran menggunakan istilah ‘Ulul Albab bagi merujuk pada golongan ini. Orang Melayu menggunakan istilah cendiakawan.

Suatu cerita ringkas untuk membawa kita kepada kerangka kotak intelek yang lebih luas.
“Suatu hari, seorang lelaki berjalan-jalan. Sinar matahari yang memancar mula terasa bahangnya. Lelaki itu melihat sekeliling lalu terlihat sepohon pokok yang rendang. Lalu dia berjalan ke arah pohon itu untuk berteduh. Pohon itu sarat dengan buah yang berwarna merah. Bergayutan di hujung-hujung ranting. Sedang lelaki itu berehat, lalu jatuh sebiji buah ke atas ribanya. Diambilnya buah itu lalu ditenung. Dia cuba memahami sesuatu.”

Rakan-rakan, hasil dari daya fikirnya itu, dia berjaya membuat seluruh dunia memahami tentang sesuatu hal, GRAVITI. Lelaki itu adalah ISAAC NEWTON. Bagi kita barangkali melihat sebiji buah jatuh itu tiada apa-apa. Tapi bagi orang yang berfikir dan mahu memahami, dia nampak sesuatu.

Jadi, adakah intelek, intelektual dan ilmiah itu terletak pada nama-nama seminar, konferen, diskusi atau aktiviti? Tidak. Intelek, intelektual dan ilmiah itu terletak pada bagaimana akal kita berfikir. Bagaimana kita menggunakan akal kita. Bagaimana kita mampu mengarahkannya untuk memahami. Memahami apa? Memahami petanda dan bicara Tuhan pada kita. Oleh sebab itu, seringkali ayat-ayat al-Quran, menceritakan tentang alam ini. Sejarah umat terdahulu, tumbuh-tumbuhan, haiwan langit dan bumi. bagi menunjukkan kekuasaan Tuhan dan diakhiri dengan

“sesungguhnya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir”, “menjadi pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal” atau ayat-ayat yang berbentuk soalan supaya kita berfikir, seperti

“Tiadakah mereka melihat burung-burung di atas mereka, yang mengembangkan sayapnya dan mengatupkannya? Tiadalah yang memegangnya melainkan Ar-Rahman. Sungguh dia maha melihat tiap-tiap sesuatu” (al-Mulk: 19)

Maka untuk kita berfikir mengapa bayang-bayang warna hitam, bagaimana kita boleh melihat, boleh mendengar, bagaimana dari telur menjadi suatu makhluk bernyawa, bukanlah sesuatu yang remeh. Bukanlah sesuatu yang tidak ilmiah atau tidak intelektual. Bukan pula soalan keanak-anakan.

(kalau ada yang menganggap begitu, ketahuilah kerana ada orang yang berfikir hal-hal itu atau soalan-soalan seperti itulah, maka anda mendapat pengetahuan tentang hal itu. Jadi berterima kasihlah kepada mereka yang berpenat lelah berfikir dan memahami tanda-tanda Tuhan sehingga kita mendapat manfaatnya).

Tuhan menjadikan ALAM ini dari ILMUNya supaya menjadi ALAMAT untuk kita akhirnya kembali pada DIA!

Sunday, May 23, 2010

Kupu-Kupu Kertas


Setiap waktu engkau tersenyum
Sudut matamu memancarkan rasa
Keresahan yang terbenam
Kerinduan yang tertahan
Duka dalam yang tersembunyi
Jauh di lubuk hati
Kata katamu riuh mengalir bagai gerimis

Seperti angin tak pernah diam
Selalu beranjak setiap saat
Menebarkan jala asmara
Menaburkan aroma luka
Benih kebencian kau tanam
Bakar ladang gersang
Entah sampai kapan berhenti menipu diri

Kupu kupu kertas
Yang terbang kian kemari
Aneka rupa dan warna
Dibias lampu temaram

Membasuh debu yang lekat dalam jiwa
Mencuci bersih dari segala kekotoran
Aku menunggu hujan turunlah
Aku mengharapkan badai datanglah
Gemuruhnya akan
Melumatkan semua kupu kupu kertas

Kupu kupu kertas
Yang terbang kian kemari
Aneka rupa dan warna
Dibias lampu temaram

Kupu kupu kertas
Yang terbang kian kemari
Aneka rupa dan warna
Dibias lampu temaram

Kupu kupu kertas
Yang terbang kian kemari
Aneka rupa dan warna
Dibias lampu temaram

(Ebiet G. Ade)

Monday, April 26, 2010

Soalan untuk Rakan-rakan pembaca

Intelek itu apa?
Intelektual pula apa?
Ilmiah?


Kali ini saya ingin berinteraksi bersama pembaca-pembaca sekalian. Rakan-rakan pembaca boleh jawab di ruangan komentar ya... silakan...


Selamat menjawab!

Sunday, April 25, 2010

Mereka yang Dagang

Mereka yang tetap pada yang Satu
Mereka yang berada di jalan yang lurus
Mereka yang berada di luar aturan dunia fana
Mereka itu akan berada dalam dagang
Mereka itu bersedia
Dan sudi berada dalam dagang

Mereka yang dagang itu kelihatan pelik
Lain dari amalan biasa dunia kawalan
Menentang arus perdana
Terbalik dari normal ilusi minda
Keluar dari sistem ciptaan dunia

Mereka yang dagang itu bebas
Mereka yang dagang itu tidak gentar
Kerana mereka benar-benar gentar
Biarpun berdiri bersendirian
Sebenarnya mereka tidak bersendirian

Mereka yang dagang itu kelihatan salah
Meski sebenarnya benar
Mereka itu orang yang sabar
Mereka yang dagang itu
Awalnya sedikit, akhirnya banyak
Yang bersedia untuk dagang itu sedikit

Mereka yang dagang itu akan bangkit
Mereka tahu dan yakin
Dagang itu akhirnya akan hilang dagangnya
Itu janji...

Get out of the system! Get rid of the illusion!

Friday, April 23, 2010

Bahagian Orang Lain


Hidup adalah pemberian Tuhan. Segala yang ada dalam hidup adalah pemberian Tuhan. Setiap pemberian Tuhan pada kita, ada bahagian untuk diberi dan dikongsi bersama orang lain.

Rumah ada bahagian untuk dikunjungi tetamu, harta ada bahagian untuk yang memerlukan, tenaga kita ada bahagian untuk orang lain, ilmu kita ada bahagian untuk disampaikan pada orang lain, rezeki kita ada bahagian untuk binatang dan juga manusia. Apabila ada yang meminta dari kita, maka berikanlah. Memberi tanpa mengharap balas. Memberi tanpa meminta.

Pemberian itu adalah nikmat dari Tuhan. Tuhan Maha Memberi, masakan manusia terlalu bakhil utk memberi. Maka, berilah apa yg Tuhan beri pada kita. Maha Suci Allah.

Sunday, April 18, 2010

Dimana Praktiknya?


“Ni kerja kerani.”
“Takde kaitan langsung dengan apa yang di belajar.”

Keluhan-keluhan rakan-rakan yang diberi tugas yang kelihatan tidak ada kaitan dengan apa yang dipelajari di universiti sewaktu latihan praktikal.

Apabila kita melihat dan menilai ilmu itu hanya pada apa yang dipelajari di sekolah dan universiti maka pandangan kita terhadap ilmu telah menjadi sempit. Pandangan begini akan menyebabkan kita akan payah untuk mempraktikkan ilmu. Ilmu itu adalah sesuatu yang memberi nilai pada kita untuk digunakan dalam kehidupan untuk kebaikan.

Sekolah dan universiti sering dikatakan sebagai pendidikan secara formal. Setuju? Jadi apa pula pendidikan secara tidak formal? Barangkali apa yang diperolehi bukan melalui kelas-kelas di sekolah dan universiti. Tapi tahukah anda formal itu apa? Formal itu adalah menurut peraturan (bentuk, ciri-ciri, cara dsb) tertentu (yang sudah diterima atau yang dianggap wajar dsb), menurut aturan, menurut adat kebiasaan, rasmi. (Rujuk Kamus Dewan)

Sepanjang kehidupan yang kita jalani dari kecil hingga besar itu terkandung ilmu-ilmu yang diberi Allah mengikut peraturanNya. Menurut sunnatullah. Allah memberi ilmu kepada kita secara formal di Universiti Kehidupan. Cara-cara penyampaian ilmuNya sangat banyak dan unik. Alam ini, manusia itu sendiri. Kelas-kelas didikan Allah kepada manusia letaknya merata di atas muka bumi ini. Di pejabat, di kelas, di kedai makan, di hutan, di laut, di udara. Secara bersendirian, secara beramai-ramai. Waktu malam, waktu siang. Segala-galanya. Jadi ruang untuk kita mempraktikkan ilmu itu sangat luas.

Selagi menurut peraturannya selagi itu kita akan memperolehi ilmu. Barangkali disebabkan kita tidak menurut peraturan Allah kerana itu meskipun ada di depan mata, walaupun diulang berkali-kali masih juga tidak memperolehi ilmu itu. Sesungguhnya ilmu itu disisi Allah (Al-Mulk: 26). Oleh kerana ilmu itu milik Allah, maka untuk benar-benar memperolehinya (dalam erti kata ilmu itu memberi manfaat pada diri dan orang lain) bukankah kita harus menurut peraturanNya?

Manusia yang menurut peraturan Tuhannya (boleh dikatakan sebagai orang yang bertaqwa, sila rujuk surah Fathir: 28) akan menjadi seorang yang mudah dan banyak memperolehi ilmu. Mudah memahami ilmu. Tahu bila, dimana dan bagaimana mempraktikkannya. Itulah orang yang bijak. Itulah orang yang punya hikmah.

Orang yang sabar, dia akan peroleh sesuatu...