Showing posts with label Dialog. Show all posts
Showing posts with label Dialog. Show all posts

Friday, May 20, 2011

Mengabdi

Suatu hari, seorang teman bertanya khabar pada saya.

“Salam, sihat?” soalnya.

“Sihat” jawab saya ringkas.

“Abang Wan, buat apa ya sekarang?” Tanya teman ini lagi. Selepas selesai pengajian, agak lama juga tidak berbual dengan dia.

“Tengah “chat” dan melayari internet”. Saya berseloroh. Sememang saya sedang melayari internet dan “chatting” dengannya.

“Lama rasa tak berborak dengan abang Wan”, katanya tanpa peduli pada seloroh saya. Teman ini sudah biasa dengan perangai saya.

“Ya kah? Hendak borak apa?”. Teman saya ini memang rajin bercerita dengan saya.

“tak ada apa lah”, jawabnya pendek.

“Ustaz Pahrol Mohd Juoi ada menulis buku baru dah sudah diterbitkan oleh Telaga Biru. Tajuknya Apabila Beduk Diketuk”, pantas saya bercerita bagi memulakan topic perbualan. Namun teman ini hanya tersenyum dan bertanya semula soalan yang tadinya.

“Abang Wan buat apa ya sekarang”, dia benar-benar mahu tahu apa yang saya lakukan.

“Maksud saya, kerja?”, jolok beliau agar saya tidak berseloroh.

“Ya, kerja. Berusaha untuk mengabdi”. Sengaja saya menjawab begitu.

“Hah? Tak faham”

“Berusaha untuk menjadi hamba pada setiap tindakan dan amal. Berusaha untuk ber”ibadah”. "Ibadah" itu ertinya "mengabdi". Mengabdi ertinya memperhambakan diri”. Saya memberi penjelasan.

“Oh, okey”, dia tersenyum.

“Setiap kali hendak berbuat sesuatu, berfikir kerana apa aku berbuat semua ini. Jadi perkara pertama betulkan niat. Mari kita sama-sama berusaha mengabdi ya!” Saya menambah.

“Mmm!”

“Mengabdi hanya pada Yang Satu!”, tegas saya.

Sejak mula bekerja, terasa lain dalam kehidupan. Saya banyak merenung… sebab apa. Sentiasa meyakinkan dan menguatkan hati untuk ikhlas. Setiap saat mesti dijadikan pengabdian pada Allahu Ahad. Berhenti dari mengeluh dan mula banyak berfikir positif.

Thursday, December 9, 2010

Mengurus Anugerah

Suatu hari, seorang rakan bertanya kepada saya tentang seorang rakan lain yang baru lepas kemalangan motosikal kerana terlelap.

“Sudah lawat dia?”

“Belum” saya menjawab. Rancangnya sudah, buatnya belum.

“Rupa-rupanya dia langgar divider kerana terlelap. Saya pun selalu terlelap semasa menunggang motosikal”.

“Eh, bahaya tu!” Saya tekankan perkataan bahaya.

“Memang lah bahaya. Tapi mengantuk adalah perkara anugerah”.

“Memang mengantuk itu suatu anugerah, tetapi mengantuk (anugerah) harus diuruskan”.

“Erm...”

“Anak pun anugerah tetapi perlu “diuruskan”. Bukan diterima sahaja. Allah bagi anugerah, tanggungjawab manusia menguruskannya. Kerana itu manusia dilantik menjadi khalifah. Urus tadbir setelah itu baru serah pada takdir”.

Hidup itu pun suatu anugerah dari Yang Maha Hidup, jadi perlu “diurus” sebaiknya ke arah mencapai redha-Nya!

Monday, November 29, 2010

Apa itu matang?

(11/29/2010 3:58:56 PM)Suatu hari saya berbual-bual dengan seorang rakan tentang perancangan masing-masing dan berbagai-bagai persoalan. Lalu, tiba-tiba sahabat saya itu berkata, “Saya tidak matang. Entahlah”. Lantas saya berfikir, mengapa sahabat ini berkata begitu? Apa maksud matang itu sendiri? Lalu saya bertanya kepadanya,

“Apa maksud matang?”

“Mature”

“Ya, itu sinonimnya. Pengertian matang itu apa?”

“Bersikap dewasa. Dewasa dalam semua benda. Boleh menimbang secara rasional dan bukan menurut nafsu. Meletakkan serta melihat dan bertindak terhadap sesuatu perkara pada tempatnya. (11/29/2010 4:03:19 P

Wah, bagus sahabat ini dengan baik dalam masa yang ringkas! Lalu saya juga segera mencari maksud matang dalam internet menerusi laman web DBP. Lalu saya membalas dengan mengambil maksud yang diperolehi.

“Maksud matang yang pertama ialah sudah masak; sudah cukup besar atau sudah cukup tua. Maksud yang kedua ialah sudah banyak pengetahuan atau pengalamannya; banyak mengetahui serta memahami sesuatu”.

(Hmm, sudah cukup tua? Pemikirannya yang tua, bukan usia. Usia juga ada matangnya kerana jika tidak ada matangnya usia, maka tidak tua-tua juga kita. Maksud kedua lebih menerangkan kaitan matang dengan tua. Bukankah orang tua itu sememangnya “Banyak pengetahuan atau pengalaman; banyak mengetahui serta memahami sesuatu”? The wisdom of the eldest. Perkataan pengetahuan itu ada kaitan dengan ilmu. Perkataan pengalaman ada kaitan dengan perjalanan hidup. Manakala memahami pula sanmgat berkaitan dengan kekuatan perasaan dan pemerhatian. Ketiga-tiga ini sangat berkaitan antara satu sama lain, lalu berhubung kait pula dengan hikmah). Kemudian saya menambah setelah member maksud matang itu,

“Pematangan itu suatu proses berterusan. Sentiasa akan ada matang selepas matang”. Lihat saja kepada umur, kan berterusan tidak berhenti hingga ajalnya.

“Nabi Muhammad juga melalui proses pematangan. Pada usia 20-an, baginda membuat keputusan perihal hajarul aswad. Ini matang pada peringkat umur itu”. Rasulullah mendapat didikan pematangan terus dari Allah bermula dari kecil hingga menjadi rasul.

“Kanak-kanak matang pada peringkat umur mereka dipanggil mumaiyiz. Tahu beza baik dan buruk. Apabila meningkat tua, matangnya naik kepada memahami keadaan dan situasi. Mampu membuat keputusan yang lebih baik. Seterusnya matang itu naik lagi dan lagi dan lagi. Sentiasa meningkat. Barangkali kita belum sampai tahap matang peringkat 30-an 40-an (kerana kami masih 20-an) sebab itu ada kesilapan dan pembelajaran. Kesilapan dan pembelajaran adalah proses pematangan. Kalau orang tua dok tengok anak muda kuat bersukan dan mengembara ke hulu ke hilir, mereka kata tidak matang silap la sebab semula jadinya anak muda memang begitu”. (Kalau yang kata begitu). Haji Rhoma Irama ada satu lagu bercerita tentang anak muda bertajuk “Darah Muda”.

“Proses pematangan itu juga bergantung kepada apa pengalaman (background) dan cara orang itu menghadapi cabaran itu. Kalau berkata, “Ah, aku memang tak matang, suka buat itu buat ini, biarlah”, jadi matangnya setakat tidak main-main seperti budak-budak kecil saja lah. Matang setakat tidak berhingus di hidung”. Panjang pula celoteh saya.

“Bahagian akhir itu tidak faham. Bahagian, “aku memang tidak matang” dan matang dia takat tidak main macam budak-budak kecil saja la”.

“Contohnya, umur sudah 20 tahun. Matangnya sudh boleh memahami situasi untuk bertindak. Emak tengah mengemas rumah tapi dok tercongok depan TV, buat tak tahu emak tengah mengemaih. Serupa budak la nak kena suruh baru tahu kena buat perkara itu”.

“Oh, faham! Faham!”

“Matang setakat tak berhingus di hidung tu, contoh, dah besar sedikit, dah mula masuk alam remaja, sudah pandai mahu hensem-hensem dan mahu comel-comel. Jadi hinguih tak boleh meleleh sebab penampilan perlu dijaga” Ha! Ha! Ha! Saya ketawa.

“tapi kalau orang-orang tua kata, budak tu tak matang lagi, tak boleh kahwin lagi tu, apa definisi matang macam tu?” Ah, terngadah saya nak menjawab!

“Bergantung pada orang itu tengok matang tu bagaimana. Jika dia tengok matang tu, kerja pun tiada lagi, ngemaih rumah pun tak reti, takat tang tu saja la. Tak ditengok sangat perkara dalaman. Kalau begini lain sikit, ini pandang orang beriman, solat dia bagaimana? Al-Quran hafal banyak mana? Kalau orang gerakan, dia aktif tak dalam dakwah? Dia rajin dating usrah? Maleh datang? Uih, tak payah! Tak payah!” entah sesuai entah tidak contoh yang diberikan saya. (jika tidak betul tolong betulkan). Saya rasa orang tua yang kata begitu, lebih melihat kepada sikap. Sahabat saya ini lebih banyak mendengar. (atau sebenarnya saya yang bercakap tidak henti-henti, (T,T)

Saya menambah lagi

“lalu dia kata, tak sampai tahap (matang) yang saya hendak”. (walaupun tidak guna istilah matang secara langsung tapi kena pada konsep)

“Apa pun, sekali lagi, bergantung pada orang yang pandang ‘matang’ itu. Yang penting sentiasa sedar bahawa matang itu proses berterusan dan pendidikan. Dah budak tu macam tu, buatlah sesuatu bagi dia menngkat lebih baik. Awak dok kata dia tak matang, tapi tak buat apa-apa, maknanya yang kata tu pun tak matang (secara jahatnya)” saya berseloroh.

Standard matang yang perlu dicapai saya kira boleh kita teliti seperti yang ada dalam al-Quran dan sirah. Pada pandangan saya, untuk menilai di mana tahap kematangan kita, nbleh kita sama-sama kaji, sifat-sifat dan kematangan Rasulullah dan para sahabat pada peringkat-peringkat umur mereka untuk dibandingkan dengan kita.

Thursday, September 2, 2010

Ramadhan yang Memang Mulia

Suatu Hari, saya terlihat status Yahoo Messenger seorang rakan. statusnya berbunyi, "Ramadhan, Bulan Mulia". Lalu akal teringat mesej pesanan ringkas yang diterima pada malamnya. Berbunyi, "Macam mana Ramadhan awak?". dan diri ini hanya mampu menjawab, "Entahlah, Allah yang nilai. Ikutkan belum sempurna..."

Status itu membuatkan hati sayu...
Saya menghantar mesej YM.

"Assalamu 'alaikum"

"Waalaikum salam"

"Ya, Ramadhan sememangnya mulia. Tapi adakah manusia itu menjadi mulia selepas Ramadhan?" keluhan hati... panjang diri ini berfikir... Pertanyaan itu ditujukan pada diri sendiri...

"Sudah pasti tidak semua... mengharap pada yang terbaik"

Ya, mengharap yang terbaik. Adakah harapan bakal tercapai akhirnya di hujung hari? di hujung bulan?

Dalam perlumbaan menyambut raya,
akal terlupa pada hari-hari yang tersisa,
al-qadar, kita masih belum bersua,
Allah, jangan biar aku alpa...
Sunyi... angin bertiup lembut...

Wednesday, March 17, 2010

Langit yang biru...


Suatu hari, di awal pagi, saya menerima mesej pesanan ringkas.

“Kenapa langit warna biru? kenapa awan yang mendung macam kelabu? matahari lari ke?” Saya tersenyum sendirian membacanya. Saya melihat langit pagi itu. Cerah. Lalu mesej itu saya balas..

“Langit berwarna biru kerana pantulan cahaya pada air. Awan mendung berwarna kelabu kerana awan yang tebal menghalang cahaya dari tembus, jadi dari bawah nampak kelabu. Macam kita tengok benda dari arah cahaya datang tetapi dihalang sesuatu kan nampak kelabu dan gelap”. Sudah lama tidak berbicara hal-hal kejadian langit. Hari itu memerah kembali ingatan pelajaran sains semasa sekolah dahulu. Mesej sampai lagi.

”Tapi kan bumi ada daratan, tak semua laut?”

”Pantulan cahaya itu amat banyak, merangkumi banyak sudut sehingga mampu mencakupi kawasan yang cukup luas dan ketinggian langit juga menjadi faktor”. Faktor kenapa banyaknya sudut pantulan cahaya (berserakan) itu kerana permukaan laut yang bergelombang. Saya rasa cukup senang hati melayan mesej sahabat ini.


“Macam mana pula dengan warna langit ketika senja? langit jadi warna oren tapi laut kan warna biru?”
”Kerana cahaya yang sampai adalah cahaya yang tidak datang secara terus atau menegak dari matahari. Sampainya samar-samar bercampur dengan gelap. Seperti lampu kereta, kalau dilihat secara terus secara menegak kan silau, tapi bila lihat dari tepi kan nampak (warnanya) lain”.

Kes ini berlaku pada tempat yang gelap gelita yang hanya ada satu sumber cahaya. Jika ada banyak sumber cahaya, tidak dapat nampak secara jelas kerana cahaya sudah bercampur dari sumber yang berbeza.

Cahaya, jika dilihat secara terus menegak, kelihatan putih (sehingga silau). Tetapi jika dilihat dari tepi, boleh nampak kuningnya (kalau tak banyak, ada sedikit) sebab sumbernya berwarna kuning atau jingga iaitu dari filamen dalam mentol yang membara. Matahari kan warnanya jingga? (Penjelasan ini setakat ilmu sains yang sedikit sahaja yang ada pada diri. Jika salah mohon dibetulkan)
“Betul juga. Teruk tak teruknya sebab tidak dapat fikir jawapan pada persoalan tadi. Puas duk fikir. Camne leh jadi camtu. Tanya orang lain, diorang gelak, senyum sinis, ada yang cakap soalan tu tak berkaitan budaya ilmu, geleng kepala. Terima kasih”.

”Segala puji bagi Allah, alam menjadi tanda bagi orang yang berfikir. Cukup indah alam ini kalau kita renungkan. Surah-surah dalam juz amma' banyak yang awal surahnya,bercerita tentang yang ada di langit dan bumi.There are so many things to be explored”.

Syukur, sahabat ini berfikir... Kita lalui setiap hari, tetapi jarang berfikir alam yang ada depan mata. Bila sesuatu sudah berada terlalu dekat dengan mata pun boleh menjadi kabur. Cuba dekatkan tangan ke mata kita, pasti penglihatan mata kasar jadi kabur. Kita tahu itu tangan apabila melihat dengan akal sebab ilmu yang sudah ada pada kita, itu adalah tangan. Melihat dengan mata hati, kita akan tahu itu tangan yang menjadi nikmat pemberian Allah untuk dijaga sebaiknya dan digunakan dengan amanah.

Dan Allah berfirman, ”Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkan-Nya bumi setelah mati, dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, (semua itu) sungguh, menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang mengerti”. Al-Baqarah: 164

Mengembara


Dia: Sebelum saya terlupa, Sarawak tu macam mana. jadi tak?


Saya: Oh, jadi, cumanya saya mugkin tidak jadi pergi. Kalau awak betul-betul nak pergi, saya beri nombor telefon kawan Sarawak saya.


Dia: Segan lah. kalau macam tu tak apa lah. Saya cuba hubungi seorang kawan saya. dia ada di sana. Mengajar di Politeknik Kuching. Mungkin dia boleh membantu.


Saya: Oh, nak mengembara tidak boleh segan.


Dia: Ermm. Alah. Segan.


Saya: Ya saya faham. Sebab tidak kenal lagi kan. Tidak apa. Ada masa saya perkenalkan. Boleh join aktiviti mereka di sana.


Dia: Hmm. Kenapa tak pergi?


Saya: Saya perlu ke Johor.


Dia: Sebenarnya saya tertarik dengan kata-kata awak tadi. Nak mengembara tak boleh segan. bagaimana ya, nak buang rasa segan tu?


Saya: Awak ada jawapannya. Bukankah selama ini awak selalu mngembara?


Dia: sekurang-kurangnya ada teman. Saya terkesan juga. dalam diri saya ni, saya susah nak masuk dengan orang kalau pertama kali jumpa. Entah. Segan.


Saya: Tidak mengapa itu biasa. Seperti mana awak buat pada amek-amek dan abe-abe. Konsepnya sama je.


Dia: Hmm, mungkin boleh diaplikasi, dan diatasi lepas ni. insyaAllah..


Saya: Sebab itu saya nak kenalkan awak pada mereka. (kawan-kawan Sarawak)


Dia: Tapi orang yang saya kenal tak ada, itu yang saya segan tu. Ermm. Kalau macam tu, awak kenalkan je la. InsyaAllah, berguna.


Saya: Ya faham. Ya, ada masa Insya Allah. Apa kata awak buka web Ust Hasrizal. Ada artikel yang menarik tentang pertemuan sesama manusia.


Dia: Ok. Sekejap. Yang mana satu?


Saya: Akhirnya ku temui nilai ukhuwah. Itu tajuknya


Dia: Sekejap saya cari


Saya: Sudah jumpa?


Dia: Sudah, tengah baca. Hmm. Menarik. tapi, macam soalan dekat ruangan komen tu. kenapa segalanya berubah bila tiba di tanah air..


Saya: Koreksi diri kita. Pandangan awak?


Dia: Betul, betulkan diri.. dan akhirnya berbalik kepada kata-kata awak mengenai gelombang ketidak pedulian itu balik.


Saya: Alhamdulillah, nampaknya awak nampak point dan kaitannya


Dia: Dan point nye kena batang hidung saya balik la juga. Jadi koreksi diri la kan


Saya: Kena pada saya juga. Ada peristiwa sejarah yg selalu kita terlepas pandang, nilainya. Semangat yg ada disebaliknya. "persaudaraan Ansar dan Muhajirin"


Golongan Ansar yang tempat diamnya Madinah menerima kehadiran golongan Muhajirin dengan perasaan yang sangat menggembirakan. Mereka memberi layanan yang cukup baik sekali. Sanggup berkorban demi saudara mereka dari Makkah. Persoalannya apakah mereka ini saling kenal antara satu sama lain? Tidak, hanya segelintir sahaja yang mengenali sesama mereka. Apakah yang membuatkan Ansar sanggup bertindak sedemikian rupa kepada orang yang tidak mereka kenali pun? Malah pendatang yang hadir ke tanah mereka.

(Oh, Sarawak! Aku rindu pada kamu! Kapan kita boleh berjumpa lagi?)

Tuesday, February 2, 2010

Nilai Seorang Gadis


Suatu hari saya terlihat ada gambar seorang rakan pada YM nya. Dipandang dua tiga kali. Ermm….

Saya: aik terkejut muncul gambar. La tukar lagi gambar.

Dia: he he he he. Tak suka gambar tadi. Gambo ni comel sikit. he he he. Saya betul-betul tidur waktu ni. (merujuk kepada gambar YM nya). Tak perasan bila kawan ambil.

Saya: Maaf ya, tapi tidak elok lah kan nak tunjuk gambar tidur pada semua? Suami awak je boleh tengok awak tidur .

Dia: mmmm... saya dah banyak kali tidur. Dah ramai tengok saya tidur

Saya: jika begitu jangan bagi lebih ramai tengok heheh (memeberi maksud kepada paparan gambar YM)

Dia: tak boleh ke?

Saya: tidak manis bagi anak dara. Kesucian maruah kena jaga. Hah! barulah betul-betul anak dara sunti. Anak dara suci. kan?

Dia: hemmmm. Ok. Ok. Maaf.

Saya: tak apa.

Dia: gambar ni? (pantas sahabat ini menukar gambar kepada yang lebih baik. Saya menghantar icon senyuman)

Saya: Pada saya awak ni sangat-sangat berharga

Dia: Ea? kenapa?

Saya: Ok. Gambar tu ok. Maksud saya. Sangat-sangat kita ini berharga

Dia: ?

Saya: tinggi nilai.

Dia: aa. Ok. Ok. (Nampaknya dia mula faham). Saya cuba jadi baik. He he

Saya: Jadi menjaga hal-hal seperti tadi. Memberi nilai yang tinggi pada diri.
(Sekarang ini, anak perempuan diletak pada nilai-nilai material, wang (tak semua orang). Eh, mana boleh macam tu!)

Dia: oo…. Baik. Baik. Terima kasih.

Pulang ke rumah. Bercuti. Mengajar adik saya yang perempuan mengaji. Dia membaca surah al-Ahzab muka surat 442. Ayat 31 hingga 35. Seperti kebiasaannya, sebelum habis, akan dibacakan dan diterangkan mengenai maksud ayat apa yang dibacanya. Namun, ayat yang mahu saya kaitkan dengan perbualan di atas ialah ayat 35.

Saya: Ha, faham tak apa yang dibaca tadi?

Adik: Tak.

Saya: Tengok ayat yang terakhir tu. Yang panjang tu. Baca maksudnya.

“Sesungguhnya, lelaki yang muslim, dan perempuan yang muslim, dan lelaki mukmin dan perempuan mukmin, dan lelaki yang taat, dan perempuan yang taat, dan lelaki yang benar, dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang khusyuk, dan perempuan yang khusyuk, lelaki yang bersedekah, dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa, dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang memelihara kehormatan, dan perempuan yang memelihara kehormatan, lelaki yang banyak mengingati Allah, dan perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar”

Lalu diterangkan pada adik mengenai ayat ini. Untuk artikel ini saya pendekkan terus kepada ayat “dan perempuan yang memelihara kehormatan”. Nah, adik… sekarang yang dikatakan memelihara kehormatan itu bukan hanya memelihara kemaluan sahaja. Tetapi merangkumi juga dari sudut menjaga keperibadian, akhlak, harga diri, pertuturannya.

Begitu juga gambar-gambar yang hendak dipaparkan dalam facebook atau myspace atau friendster. Tidak sewenang-wenangnya dipaparkan gambar kita bergaya-gaya, posing bahasa Inggerisnya. Gambar-gambar yang diambil dari sudut tertentu supaya nampak ‘cute’nya. Nampak hebatnya. Nampak bergaya. Nampak apa-apa lagilah. Jangan dijadikan kebiasaan. Di sini ada hal menjaga kehormatannya. Menjaga kesuciannya. Menjaga malunya.

Harus berhati-hati. Perlu ada rasa malu apabila orang melihat gambar kita itu. Lebih-lebih lagi apabila gayanya kurang manis! kata orang melayu. Ngak enak! Bahasa Indonesianya. Tidak seharusnya mudah-mudah kita memberi ruang untuk orang menatap-natap kita yang ada dalam gambar itu. Ee… cute la. Fuiyo, lawanya. Cantiknya. Comelnya. Itu kalau komennya begitu, kalau sebaliknya. Dah menjadi cakap-cakap orang pula. Macam seronok je letak gambar, orang tengok. Yang ditatapnya itu belum tentu lagi hanya wajah anda… Elakkan dari gambar kita itu menjadi punca menggoyah nafsu orang. Tanpa kita sedar…

Jadi, bagi yang perempuan, yang terlebih layak melihat awak seperti yang dalam gambar itu ialah suami. Sekiranya, benar-benar dijaga, barulah si suami itu mendapat seorang isteri yang benar-benar suci, terjaga kehormatannya. Seorang isteri yang betul-betul tinggi nilai maruah dirinya. Seperti sebutir berlian yang sangat berharga. Yang hanya boleh dilihat, disentuh dan dimiliki oleh yang berhak sahaja.

Oleh itu, puji-pujian, cute, comel, cantik, itu biar suami yang sebut. Lebih romantik, tak gitu? Nanti akhirnya akan dirasakan suatu kepuasan dalam diri. Kepuasan yang sukar digambarkan. (Barulah nantinya boleh nak jadi seperti Anna Althafunnisa dan Abdullah Khaerul Azzam ye tak? Ops… Gara-gara KCB nih… he he he). Darjat kita akan diangkat jika punya ciri-ciri seperti dalam ayat 35, surah al-Ahzab. Hal ini pun sama juga bagi yang lelaki. Era moden ni, kena berhati-hati ya…

Ini pandangan saya. Jadi sahabat-sahabat bagaimana?

(Terima Kasih kepada yang berdialog bersama saya. Moga isi dialognya mampu memberi kebaikan kepada yang lain)

Wednesday, January 27, 2010

Kotak Penuh

Insan: Assalamu alaikum
Dia: Wa alaikum salam. maaf.
Insan: Ada apa nak cakap semalam?
Dia: Oh..dah luper… Tak tau la ni… tak tau… la ni jadi lagu tuh… rindu sangat kat family kut…
Insan: Lagu apa? nasyid?
Dia: Ya ya…
Insan: Hah ye la tu… Merepek pula kita ni.
Dia: Ya... baik
Insan: Hah ada apa nya semalam?
Dia: kan saya dah kata lupa...
Insan: Tua juga awak rupanya.
(ayat ini sebenarnya refleksi pada diri sebab bila diri sendiri selalu terlupa, monolognya adalah ayat ini)
Dia: humm… cam tu la gamaknya… tapi amal tak banyak lagi…
Insan: Yang utamanya amal itu "suci".
(metafora kepada Ikhlas seperti yang ada dalam kitab Bimbingan Mukminin. Berbuat semata-mata kerana Allah. Suci dari menyekutukan Allah dengan balasan-balasan)
Dia: Ya… awak sihat?
Insan: Sihat
Dia: Kenapa tak bertanding SRC? He he.
Insan: Wasilah dakwah ada banyak.
Dia: Baik. Saya kelupaan perkara...
Insan: Hah apa dia?
Dia: Banyak sangat di kotak fikiran ni... sampai pagi tadi jadi macam tak betul sikit… tak sedar apa yang dilakukan… kuiz pun tak tahu apa yang dijawab…
Insan: Kotak kalau tak muat kita keluarkan isinya. Kotak kalau tak muat, dipadatkan, koyak nanti.
Dia: Kotak tu jenis menyerap… kuang-kuang
Insan: Kalau dah jawab tu maknanya tau la apa yg ditulis. He he he
Dia: Entah la… ada masalah hati kot… humm… biarlah... biarkan ia berlalu…
Insan: Sekiranya sudah begitu, pergilah bersihkan diri.
(Sebenarnya suruh pergi mandi sebab dia memang nak pergi mandi pun. Tapi jawapan tu dah jadi serampang dua mata)
Dia: Baik.

Wednesday, July 22, 2009

Kembara Menuju Ramadhan


Suatu hari terjadi perbualan dengan seorang sahabat yang terlibat dengan pelbagai aktiviti pendidikan.

“Assalamu alaikum” saya mengucap salam sebagai pembuka bicara.

“Walaikumusalam...” balasnya.

“Bagaimana aktiviti?” saya bertanya.

“Emm..soalan cepu mas. Sekarang ni tengah dalam urusan, saya serahkan pada jawatankuasa. Alhamdulillah… apa yang saya tahu, buat masa ini semua ahli jawatankuasa sudah mula menjalankan kerja masing-masing”.

“Baik. Bagus” ringkas saya membalas.

“Jangan cakap macam tu..” dia seakan risau.

“Rasa takut pula” dia menyambung.

”Tidak tahu la betul ke tidak apa yang saya buat ni… rasa bersalah pun ada... terutamanya pada ketua.” sahabat ini meluah.

“kalau hati rasa tenang betul la tu. Tak apa dia baik saja tu.” Ketuanya saya kenal. Sahabat baik saya.

“Saya ada cadangan untuk awak. Boleh saya utarakan?”

“Boleh-boleh, sangat-sangat di alukan” dia memberi keizinan. Lampu hijau.

"Saya cadang kita adakan Kembara Menuju Ramadhan” saya mengemukakan tajuk.

“Boleh terangkan secara terperinci macam mana aktivitinya? Nampak macam menarik”. Sahabat ini mula tertarik.

“Tak berat. Mudah saja. Perlu perkasa melalui usaha mendasar dan mendekati. Tak perlu program besar”.

”Tak faham...”

”Sekiranya dah nak raya kita buat macam-macam. Baju raya, ketupat, beli belah. Kali ini Ramadhan datang. Bajunya kuliah tentang Ramadhan. Ketupatnya aktiviti qiyamullail. Kalau raya kempen beli barang, tapi Ramadhan kempennya mengejar, mencari Lail Al-Qadar. Memang tak nampak sangat. Pelaksanaan lebih kepada pemerkasaan ahli-ahli. Tarbiyah ahli-ahli. Jadikan Rejab dan Syaaban medan persediaan untuk Ramadhan. Hmm boleh faham?” saya bertanya mohon kepastian.

”Faham..tapi pelaksanaannya?” dia masih kurang jelas. Barangkali huraian saya terlalu umum atau banyak berfalsafah.

”Tak perlu program baru. Mantapkan yang sedia ada. Majlis ada Qiam kan?” Qiam adalah program Qiyammullail yang diatur dengan pengisiannya.

”Qiam ni mantapkan dari segi pengisian dan penyertaan” saya menyambung. ”Risalah yang diterbitkan diselitkan artikel-artikel persediaan untuk Ramadhan”.

”Oh..” dia seakan sudah mula memahami.

”Usrah pun selitkan juga. Biar ahli-ahli nampak dan tahu. Kita ada bulan besar yang dinanti. Yang perlu persediaan rapi. Sebab konsepnya kempen”

“Oh... sudah faham sedikit”

”Kempen pelaksanaannya melibatkan peranan oleh setiap individu sendiri. Jadi mesti diwar-warkan. Setiap dari aktiviti yang dibuat kita sematkan. Kita lahirkan perasaan ghairah ahli-ahli. Tidak sabar-sabar menanti Ramadhan. Tidak sabar mengejar Lail Al-Qadar. Bukan tidak sabar nak cuti, nak raya. Cumanya dari sudut kita ialah merangka proses pemantauan”.

”InsyaAllah... boleh dibawa dalam perbincangan” dia bersetuju.
Perbualan diakhiri dengan

”Doakan semua berjalan lancar dan dipermudahkan urusan”
Pada saat ini apakah persediaan kita menyambut Ramadhan? Media mungkin saja mendoktrinkan kita dengan kemeriahan jualan murah sempena raya. Mengalpakan kita dengan program-program dan tayangan-tayangan cerita raya. Saat ini juga barangkali ada yang tidak sedar akan tibanya Ramadhan sehingga tersentak tiba-tiba esoknya mula berpuasa. Sekiranya sempat bertemu, apakah Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas atau lebih buruk?
Ruh dan semangat keazaman menggapai malam seribu bulan, menagih pengampunan Tuhan dari dosa perlu disemarakkan! Biarkannya menyala menjulang tinggi menuju pengakhiran ”Diri yang Fitrah”. Saat yang tidak harus dibiarkan berlalu sia-sia!

Bila Nak Kahwin?


Pada peringkat umur mencecah 23 tahun, ramai kawan-kawan yang mengakhiri zaman bujang. Bernikah, itu adalah sunnah yang besar. Apakah pernikahan itu adalah mengenai umur? Umur yang sesuai bersuami isteri? Atau sebenarnya berkaitan dengan kematangan diri seseorang yang membenarkan dia bernikah? Atau apa? Banyak persoalan yang timbul. Syukur persoalan terjawab setelah membaca “Dua Hati, Satu Rasa” tulisan saudara Pahrol Md. Juoi. Penuh informasi yang disampaikan secara logik dan santai.
Suatu hari datang satu soalan kepada saya.

“Wan, boleh tanya?”

“Ya, silakan”

“Wan nak kahwin bila?“. Huh, soalan yang tidak disangkakan! Saya termenung sebentar.

“Tak apa kalau tak nak jawab”. Jawapan sebenarnya dah ada, cuma berfikir bagaimana ayat perlu disusun supaya sesuai dengan keadaan dan boleh difahami.

”Tekadnya bukan dalam jangka 5 tahun mendatang. Itu adalah perancangan saya. Apa yang Allah aturkan tak dapat nak tahu”. Itu tekad saya saja, jodoh milik Allah.

”Bila?” seakannya sahabat ini mahu jawapan yang lebih terperinci. Barangkali untuk kepastiannya.

”Selepas selesai tempoh 5 tahun itu”

”5 tahun dari sekarang?” dia bertanya lagi.

”Ya” jawab saya ringkas. 5 tahun dari sekarang bermakna umur waktu itu 28 tahun. Lewat atau tidak bukan dalam perhatian saya.

“Dah ada calon?” sahabat ini sekali lagi membuat saya terperangkap dengan soalan cepu emasnya.

“Itu serah pada Allah. Siapa pun yang datang, itulah pasangan yang Allah aturkan”. Hingga saat ini belum ada lagi sesiapa calon isteri di hati saya. Belum lagi. Saya menyambung.

“Pada saya, perasaan untuk bernikah ni bukan cinta. Bukan kita cari, tapi diberi oleh Allah. Anugerah. Sebab itu abang serah pada Allah”

“5 tahun dari sekarang... hmm... macam tu ye” dia kembali kepada hal tekad 5 tahun saya. Barangkali dia ingin mengetahui lebih mendalam hal itu.

”Hal ini tak ada orang lain yang tahu. Rahsia.” cepat-cepat saya memintas.

“Yela, yela, rahsia” akhirnya dia terpaksa akur. Saya meneruskan perbualan

“Utamanya, dalam 5 tahun saya persiapkan diri jadi seorang yang soleh. Jadi seorang yang menangis kerana takutkan azab Allah. Jadi seorang yang cintakan masjid. Jadi seorang yang bertemu dan berpisah kerana Allah”. Keazaman itu dibulatkan bukanlah kerana hendak membuat persediaan bagi bernikah, tapi kerana itu adalah apa yang harus dilaksanakan. Keazaman untuk termasuk dalam golongan yang dijamin oleh Allah. Mesti dan perlu. Ini adalah proses yang berterusan yang berjalan selagi masih bernyawa.

“Seorang suami patut cintakan masjid...cintakan ilmu...cintakan jihad..cintakan Allah...dan berkongsi cinta itu dengan isteri dan anak-anak...” dia menambah. Ulasan yang masih dalam isu pernikahan.

“Ya, benar itu. Mencintai Pencipta Cinta dulu baru cinta yang termeterai antara makhluk itu ada berkatnya, ada ketenangannya”

“Saya setuju dengan bila hati ni betul-betul diserahkan pada Allah. Bila diri ni bersungguh-sungguh merayu agar 'dipandang' olehNya, bila jiwa ni bersungguh-sungguh meminta cintaNya. Kebahagiaan semua itu sangat sukar digambarkan. Terlena dengan keasyikan cinta Ilahi sesuatu perkara yang sangat indah. Saya akuinya. Sungguh.” Ulasan yang saya kira terus dari hatinya.

“Bila Cinta Allah diletak pertama, cinta yang lain akan jadi suci.” Menjadi suci kerana pergantungan hanya pada Allah. Dia yang menentukan kadarnya. Dia juga yang menganugerahkannya.

“Setuju sangat-sangat” dia mencelah.

“Saat itu urusan nikah tidak menjadi masalah lagi. Cinta antara suami isteri ni, tidak kisah siapa pun pasangan kerana masing meletakkan cinta utama tadi.”

”Kalau saya... saya tak ada jodoh di dunia pun tak apa. Bukan menolak sunnah... tapi macam saya cakap tadi... bila hati diserah bulat-bulat pada Allah... apa pun kita tak kisah... saya suka perasaan ni... atau lebih tepat... redha...” sahabat saya ini meluah.

“Ya redha. Iktibar dari kisah Rabiatul Adawiyah.” celah saya.”Saya tak nak jadi macam dia. Bukan niat nak jadi macam dia. Cuma... macam mana nak cakap, nak terangkan. Wan faham kan?”

”Tak apa, saya faham” saya tidak mahu memaksa dia untuk perjelaskan. Lebih baik menjadi pendengar.

”Ruhnya, pengajarannya ada pada kisah beliau.” sekadar menambah sedikit supaya lebih jelas contoh yang diberikan. Kisah yang tidak ada pergantungan kepada makhluk.

“Kamu tanya saya, sekarang saya tanya balik. Boleh?”

”Tanya apa? Tanya la” dia membalas.

”Hah, kamu pula bila nak...” lambat saya habiskan ayatnya.

“Hmmm... jika boleh secepat mungkin....tapi takde lagi calon yang dapat pikat hati umi abah saya...” pantas dia menjawab. Meskipun niat sebenarnya hendak tanya hal lain.

“Hati umi abah pun milik Allah. Jadi faham-faham la apa patut dibuat ye tak?”

”Saya tak ada masalah. Tapi saya lebih suka biar umi abah redha dulu..” dia memberi penekanan.

“Jodoh yang Allah tentukan tidak cepat tidak lambat. Jadi kita doa supaya sentiasa dalam redha Allah dan Rasul serta ibu bapa. Hadir redha Allah hadirlah redha ibu bapa kan?”. Terasa banyak pula saya berkata-kata malam itu (macam hebat saja). Lalu saya akhiri perbualan kami dengan doa...

“Ya Allah moga apa yang aku nukilkan ini tidak mndatangkan dosa dan murkaMu”